oleh: zizi hashim
13 Mar
13Mar

Dentum enjin, gema gitar, hiruk-pikuk suara pengunjung dan semangat subkultur yang tidak pernah benar-benar padam bakal kembali bertaut dalam satu nadi yang sama apabila Art of Speed 2026 kembali menghamparkan edisi ke-15 pada 1 dan 2 Ogos 2026 di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS). Selepas melakar perjalanan panjang sejak penganjuran pertamanya, acara ini sekali lagi hadir sebagai titik temu buat pencinta automotif, seni, muzik dan budaya pop yang selama ini menjadikan Art of Speed sebagai ritual tahunan yang sukar digantikan.

Bertempat di lokasi ikonik yang sudah begitu sinonim dengan festival ini, MAEPS menawarkan keluasan tertutup mencecah 452,084 kaki persegi dengan kawasan luar seluas 320 ekar, menjadikan setiap dewan dan ruang terbuka bakal dipenuhi pelbagai aktiviti, pameran, persembahan serta pengalaman yang merangsang deria. Bermula seawal 10 pagi hingga larut malam pada kedua-dua hari, Art of Speed 2026 tidak hanya menjanjikan hiburan, tetapi juga sebuah ekosistem budaya yang bergerak dan berdenyut dalam ritma tersendiri.

Kehadiran semula Festival SoundCircus menjadi bonus yang paling dinanti. Selepas tidak hadir selama dua tahun penganjuran, festival ini kembali menempati ruang seluas 4 ekar dengan enam pentas persembahan dan aktiviti, sekali gus memperluas lagi skala serta impaknya terhadap landskap hiburan langsung di Malaysia. Kembalinya SoundCircus memberi isyarat bahawa Art of Speed 2026 bukan sekadar sebuah festival automotif dan gaya hidup, tetapi sebuah perayaan budaya yang merangkumkan pelbagai komuniti dalam satu ruang yang sama.

Selaku Pengarah Festival Art of Speed Malaysia dan SoundCircus Summer Festival 2026, Asep Ahmad Iskandar menyifatkan edisi kali ini sebagai evolusi yang lebih besar dari segi impak terhadap industri kreatif dan pembangunan pelancongan negara. Menurut beliau, SoundCircus sejak awal penubuhannya pada 2017 memang dikonseptualisasikan sebagai platform muzik terpilih yang memberi sokongan kepada bakat mapan dan juga yang baru muncul, terutama dalam ekosistem muzik bebas dan bawah tanah Malaysia. Dorongan sambutan yang semakin kuat pada 2019 membolehkan festival itu berkembang ke ruang luar MAEPS dan mengalu-alukan lebih 5,000 pengunjung, satu pencapaian yang menandakan pengaruhnya semakin kukuh dalam litar hiburan langsung serantau.

Tahun ini, SoundCircus tampil dengan konsep-konsep persembahan yang lebih eksklusif dan berani. Antara yang paling mencuri perhatian ialah Cokelat X Ella, sebuah gabungan legenda dari Indonesia dan Malaysia yang disatukan di atas satu pentas menerusi konsep “Takhta Ratu Nusantara”. Pertemuan ini menjanjikan sesuatu yang lebih daripada nostalgia; ia membawa simbol dua sosok kuat dari dua negara yang pernah membesarkan ramai pendengar dengan suara dan jiwa yang tersendiri.

Gabungan Jemson X Def Gab C pula memperlihatkan pertemuan dua generasi rock dalam konsep “Legends X Renegades”, sebuah persembahan yang dirangka khusus untuk peminat rock yang sentiasa menginginkan sesuatu yang keras namun tetap berakar pada sejarah. Slatan 0108 pula meraikan ulang tahun mereka menerusi konsep “010.8 FM present: Hari Slatan”, manakala Issey dan The Clique membawa kelainan menerusi persembahan dikir barat bertema budaya kustom yang diberi nama “Dikir Kustom”.

Satu lagi momen yang diyakini bakal menyentuh emosi ramai ialah perkongsian pentas buat pertama kali antara Couple dan Adnan Othman, mewakili dua generasi ayah dan anak dalam konsep “Power Pop Yeah Yeah”. SoundCircus 2026 turut memperkenalkan tema “30 Years of Asian Hardcore”, satu penghormatan kepada aliran muzik hardcore yang selama ini menjadi darah kepada banyak komuniti bawah tanah di rantau ini.

Asep menegaskan bahawa penganjuran kali ini juga sangat bermakna kerana Art of Speed dan SoundCircus menerima sokongan serta kerjasama Tourism Selangor sebagai rakan kongsi strategik. Kerjasama ini, katanya, sejajar dengan usaha lebih luas untuk meletakkan Selangor sebagai hab pelancongan kebudayaan, industri kreatif dan acara gaya hidup berskala besar. Melalui sokongan tersebut, SoundCircus dijangka menarik bukan sahaja pengunjung tempatan, tetapi juga pelawat serantau dan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan domestik, sektor hospitaliti dan keseluruhan aktiviti ekonomi negeri.

Beliau turut menyatakan bahawa dengan sokongan Tourism Selangor, pihak penganjur berhasrat mengangkat SoundCircus menjadi pengalaman muzik destinasi yang memperkukuh profil Selangor sebagai destinasi kreatif dan pelancongan terkemuka di rantau ini. Pengenalan enam pentas untuk edisi 2026 pula mencerminkan komitmen untuk mengembangkan skala festival tanpa mengorbankan integriti dan kepelbagaian artistik yang sejak awal menjadi nadi acara ini.

Barisan pemuzik yang diumumkan dalam Fasa 1 dan Fasa 2 sahaja sudah memperlihatkan keluasan spektrum muzik yang akan mengisi dua hari festival. Fasa pertama menghimpunkan 20 pemuzik, antaranya The Jansen dari Indonesia, Masdo, Midnight Fusic, Sweetass, Johny Comes Lately, Dannqrack & Eemrun, Second Combat sempena ulang tahun ke-30, Krusty, After Midnight, The World Ends With You, Iron Gaze, Heavener, BesSka Tok Saad, Open Privacy, Kosmik, serta deretan DJ seperti DJ Queizham, DJ Miko Naiko, S4d.kl, DJ Zu dan DJ Creamminalsm.

Fasa kedua pula dibarisi 34 pemuzik dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Jepun. Nama-nama yang diumumkan termasuk Freshtown All Stars, Cokelat X Ella, Hari Slatan, Nadin Amizah, Tenxi, Johnny Pandora dari Jepun, Sukses Lancar Rejeki, Issey & The Clique, Couple X Adnan Othman, Iqbal M, Moneybag, Empty Page, Tricks, Ya Bunayya, High Therapy, Ibliss, Straight Answer sempena ulang tahun ke-30, Piponation, Jahvalion, Ruckyard, Omnisync, Aimampus, K.O.I, Rina-Hime, Paylark, Nemesys, Mind Blank, Zafri Romai, D’Pujanggas, Piring Terbang, Citykops, Overthrown dari Singapura, Jemson X Def Gab C, serta DJ Mekanik. Pengumuman Fasa 3 pula akan dibuat dalam masa terdekat, menjadikan keterujaan terhadap festival ini terus memuncak.

Asep menjelaskan bahawa setakat pengumuman Fasa 1 dan 2, festival tersebut sudah menghimpunkan 34 pemuzik dari empat negara, sementara pemuzik Fasa 3 bakal melengkapkan lagi keseluruhan pengalaman festival. Beliau turut menekankan bahawa buat pertama kalinya hanya di SoundCircus 2026, sehingga empat pentas akan berada di dalam dan luar lokasi bagi memastikan setiap persembahan dapat dinikmati secara lebih meluas oleh pengunjung.

Barisan artis yang terlibat juga sudah mula membayangkan aura persembahan mereka. Masdo memilih tiga kata, “Adrenalin, Resonansi, Ikonik” sambil menjanjikan sebuah persembahan yang lebih keras daripada kebiasaan. Mereka mengakui kali terakhir beraksi di pentas SoundCircus ialah pada 2019 dan kini terasa sangat teruja untuk kembali selepas tujuh tahun. Sweetass pula mengusung semangat “Sweet As Hell” dan memberi bayangan bahawa mereka akan memainkan lagu-lagu baharu yang belum pernah dirilis. Kosmik tampil dengan aura “Baddie, cool guy & Hot Wheels” dan menjanjikan persembahan tanpa henti untuk para mosher dan stage diver, sambil mengakui rasa teruja mereka luar biasa kerana daripada menjadi penonton tegar, kini akhirnya berpeluang menjadi sebahagian daripada line-up festival.

Krusty pula memilih kalimat “tak pernah dibuat orang” dan secara berseloroh memaklumkan rancangan membawa Aliff Syukri ke atas pentas. Moneybag datang dengan bahasa yang lebih keras, “Pain and violence” sambil menjanjikan muzik baharu dengan breakdown lebih berat dan groove yang membuat penonton terus bergerak sama ada untuk skank, headbang atau mosh. Ruckyard pula menyebut “Chaos! Lifestyle! Music!” sebagai cerminan semangat mereka selepas empat tahun memohon dan akhirnya berjaya menembusi pentas SCF2026. DJ Zu menggambarkan setnya sebagai “Epic! Sexy! Chaotic!” dengan pilihan genre Jungle, UKG dan Drum & Bass yang jarang didengar ramai, tetapi diyakini mampu membuat sesiapa sahaja merinding bila energinya mula mengalir. BesSka Tok Saad pula menyatakan rasa teruja, gementar dan bangga, sambil menjanjikan susunan lagu yang lebih agresif dan interaksi penonton yang liar. Dari Indonesia, Straight Answer memberi isyarat ringkas tetapi jelas: mereka sangat gembira dan tidak sabar menanti 1 dan 2 Ogos.

Selain festival muzik, Art of Speed 2026 tetap mengekalkan identitinya sebagai medan utama budaya automotif, fesyen, seni dan pop culture. Pengunjung bakal menikmati pelbagai acara lain seperti Show & Shine untuk kereta dan motosikal tempatan serta antarabangsa, 4th Official Hot Wheels Collectors Convention Malaysia, Project Car Invitational Showcase dengan kerjasama NoEqual.co, ThunderCircus Brotherhood Rally & Mega Ride In, Santai Scooterist & Roda Rumble 2026 Two Wheels Gathering, Car Club Gathering, Kulture Kartel yang menghimpunkan pasaran vintaj, thrifting dan streetwear bersama B-Boy SEA Qualifier, forum industri Kustom & Koffee Talk, Collectible Alley, Moto4sale Marketplace, Test Ride Zone, Visitor Passport & Wheel of Speed Lucky Draw, serta deretan vendor makanan dan zon gaya hidup.

Dari segi tiket, pengunjung boleh mendapatkan tiket masuk AOS 2026 pada harga RM35, manakala tiket SoundCircus General Admission ditawarkan dari RM89 hingga RM169, SoundCircus Rockzone dari RM139 hingga RM219, dan Hero Guest Care Pack dari RM188 hingga RM388. Fasa jualan tiket bermula dengan Early Bird pada 27 Januari 2026 yang telah habis terjual, disusuli Fasa 1 pada 1 Februari 2026 dengan harga RM129 untuk GA dan RM179 untuk Rockzone.

Fasa 2 mula dijual pada 12 Mac 2026 dengan harga RM149 untuk GA dan RM199 untuk Rockzone, termasuk tawaran Group Buy. Fasa 3 pula akan dibuka pada 1 Jun 2026, manakala tiket di pintu masuk akan tersedia pada hari acara, 1 dan 2 Ogos nanti. Pemegang tiket juga boleh memilih naik taraf tertentu, termasuk daripada AOS ke SoundCircus atau daripada GA ke Rockzone, bergantung kepada kategori masing-masing. Malah, pra-jualan barangan rasmi SCF2026 turut ditawarkan pada harga khas buat pemegang tiket.

Art of Speed 2026 akhirnya berdiri sebagai lebih daripada sekadar festival tahunan. Ia ialah ruang pertemuan bagi mereka yang hidup dalam adrenalin, dibesarkan oleh muzik, terpesona dengan rekaan mesin, jatuh cinta pada fesyen jalanan dan percaya bahawa budaya pop sentiasa menemukan jalannya sendiri untuk bertahan. Pada 1 dan 2 Ogos nanti, MAEPS bukan cuma menjadi lokasi acara. Ia akan berubah menjadi semesta kecil yang menyatukan bunyi, cahaya, enjin, peluh, seni dan kenangan dalam satu naskhah yang sukar diulang dengan cara yang sama.

Comments
* The email will not be published on the website.