oleh: zizi hashim
05 May
05May

Denyut gelap yang dibawa Verity, sebuah thriller psikologi menggusarkan bakal menemui penonton di pawagam bermula 1 Oktober 2026. Diadaptasi daripada novel sensasi karya Colleen Hoover yang pernah mendominasi carta New York Times, filem arahan Michael Showalter ini hadir dengan atmosfera penuh manipulasi emosi, obsesi dan permainan minda yang sukar dijangka arah akhirnya. Sebuah dunia yang membuat penonton sentiasa tertanya-tanya: siapa sebenarnya pemangsa, dan siapa pula mangsa?

Mengemudi naskhah ini ialah Anne Hathaway sebagai Verity Crawford, seorang penulis terkenal yang hidupnya kelihatan sempurna dari luar, namun menyimpan sisi gelap yang perlahan-lahan mula terdedah. Bersama beliau, Dakota Johnson memegang watak Lowen Ashleigh, penulis yang sedang bergelut dengan kehidupan dan diberikan peluang untuk menjadi ghostwriter kepada Verity selepas tragedi yang menimpa penulis tersebut. Namun peluang yang awalnya terlihat seperti penyelamat karier itu berubah menjadi sesuatu yang jauh lebih mengerikan.

Ketika Lowen berpindah ke kediaman keluarga Crawford yang terpencil dan suram, dia menemui manuskrip autobiografi milik Verity yang mengandungi pengakuan-pengakuan mengganggu tentang kehidupan rumah tangga Verity bersama suaminya, Jeremy, lakonan Josh Hartnett. Dari situ, batas antara realiti dan manipulasi mula kabur. Apa yang ditulis Verity terasa terlalu kejam untuk dianggap fiksyen, namun terlalu mengerikan untuk diterima sebagai kebenaran. Semakin jauh Lowen menyelami manuskrip tersebut, semakin kuat obsesi dan tarikan aneh yang mengikat dirinya dengan Jeremy.

Dalam masa yang sama, kehadiran Verity terasa seperti bayangan yang tidak pernah benar-benar hilang dari rumah itu. Penonton bakal dibawa masuk ke dalam ruang psikologi yang penuh rasa curiga, sensual, ketakutan dan konflik moral yang perlahan-lahan menghimpit emosi. Apa yang membuat Verity terasa lebih menarik adalah keberaniannya bermain dengan sisi paling rapuh manusia iaitu keinginan, trauma dan manipulasi emosi. Ia bukan thriller biasa yang bergantung pada jumpscare murahan, sebaliknya membina ketegangan secara perlahan hingga membuat penonton lemas dalam rasa tidak percaya terhadap setiap karakter.

Kehadiran Anne Hathaway dalam watak Verity juga dijangka menjadi antara tarikan terbesar filem ini. Selepas memenangi anugerah Akademi, Hathaway dilihat semakin berani meneroka karakter-karakter kompleks yang menuntut sisi emosional lebih gelap dan intens. Dalam Verity, dia tampil bukan sekadar sebagai wanita misteri, tetapi simbol kepada manipulasi yang dibungkus dengan pesona dan kecerdikan.

Dakota Johnson pula membawa sisi Lowen dengan aura rapuh tetapi penuh rasa ingin tahu, menjadikan penonton turut terperangkap bersama dilema yang dihadapinya. Manakala Josh Hartnett memberikan nuansa lelaki yang sukar dibaca. Lembut, tetapi menyimpan sesuatu yang tidak pernah benar-benar terjelas. Filem bergenre psychological thriller dan drama ini turut dibintangi Ismael Cruz Cordova serta Brady Wagner, dengan skrip ditulis oleh Nick Antosca.

Di sebalik misteri dan permainan mindanya, Verity sebenarnya berbicara tentang sisi manusia yang paling sukar dikawal iaitu obsesi. Tentang bagaimana rasa ingin tahu mampu membuka pintu kepada sesuatu yang mungkin lebih baik tidak pernah diketahui sejak awal. Dan saat layar mula menggelap nanti, mungkin penonton akan sedar bahawa ada rahsia yang tidak pernah sepatutnya dibaca.

Comments
* The email will not be published on the website.