oleh: zizi hashim
30 Jul
30Jul

Sesekali hadir sebuah filem yang tidak sekadar menghiburkan, tetapi mengingatkan bahawa kejayaan sesebuah negara sering bermula daripada keberanian seorang insan yang enggan menyerah. Semangat itulah yang diterbangkan menerusi TERBANG, karya terbaharu arahan Chiu Keng Guan, yang kembali mengangkat sebuah kisah Malaysia penuh inspirasi ke layar perak. Diinspirasikan daripada perjalanan legenda rali negara Karamjit Singh, filem ini mengajak penonton menghayati makna sebenar perjuangan, pengorbanan dan kebanggaan mengibarkan nama Malaysia di pentas dunia.

Selepas kejayaan naskhah seperti OlaBola dan The Journey, Chiu sekali lagi mempertaruhkan sebuah cerita yang dekat dengan jiwa rakyat. Kali ini, beliau membawa penonton menyelami dunia rali yang penuh risiko, namun sarat dengan nilai kemanusiaan dan semangat berpasukan. Bersama pelancaran poster serta trailer rasmi, TERBANG memberi gambaran awal tentang sebuah perjalanan yang dipenuhi aksi mendebarkan, emosi yang mengusik hati dan visual yang membakar semangat patriotisme.

Menurut Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, pemilihan 17 September 2026 sebagai tarikh tayangan bukan sekadar memenuhi jadual penerbitan, sebaliknya dipilih bersempena sambutan Hari Malaysia bagi mengangkat semangat kebersamaan yang menjadi nadi filem ini. "TERBANG adalah sebuah filem yang mengangkat kisah Malaysia di mata dunia dengan semangat pasukan tempatan melangkaui batas. Kami akan mempersembahkan filem ini pada 17 September di pawagam seluruh tanah air. Pemilihan tarikh tayangan tersebut seiring dengan sambutan Hari Malaysia dan membawa makna yang istimewa kerana ia meraikan semangat perpaduan, kebanggaan dan identiti kita sebagai rakyat Malaysia."

Beliau juga berkata, Astro Shaw turut memperkenalkan kempen "Kita Terbang Sama-Sama" yang mengajak rakyat Malaysia menjadi sebahagian daripada perjalanan filem ini melalui pelbagai aktiviti dan kolaborasi merentas platform. "Menjelang tayangan, kami ingin mengajak penonton menjadi sebahagian daripada perjalanan TERBANG menerusi tema 'Kita Terbang Sama-Sama' bersama rakan strategik kami. Menerusi kempen ini, pelbagai pengalaman akan diadakan merentasi semua platform termasuk aktiviti on ground, kolaborasi radio, pertandingan dan kandungan pelbagai inisiatif lain yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk lebih dekat dengan dunia TERBANG."

Lebih menarik, pelbagai pengalaman eksklusif telah dirancang menjelang tayangan filem. Antaranya termasuk Cabaran Rali TERBANG x STINGyang memberi peluang kepada lima pemenang merasai pengalaman memandu bersama Karamjit Singh di litar rali, selain Kembara EV TERBANG x STING, kandungan eksklusif The Making Of bersama U Mobile, pertandingan mereka bentuk kereta rali impian, penyertaan di Art of Speed, cabaran kreatif menghasilkan poster dan video, koleksi eksklusif bertemakan TERBANG serta siri jelajah ke pawagam di seluruh negara. Semua inisiatif ini dibangunkan supaya penonton bukan sekadar menyaksikan filem, tetapi benar-benar merasai dunia TERBANG sebelum ia menemui mereka di layar perak.

Dari sudut penceritaan, TERBANG mengikuti perjalanan Ajeet, seorang pelumba rali yang meninggalkan dunia perlumbaan selepas dihantui tragedi yang mengubah hidupnya. Lima tahun kemudian, takdir memaksanya kembali ke trek demi keluarganya. Bergandingan dengan pemandu arah muda yang panas baran, Kitt, Ajeet bukan sahaja perlu mengatasi trauma silam, malah berdepan konflik dalaman, persaingan sengit dan tekanan untuk mengangkat semula maruah pasukan PERT Malaysia di pentas antarabangsa. Persoalan terbesar yang menghantui perjalanan itu ialah sama ada dia mampu menewaskan ketakutannya sendiri demi membawa pulang kebanggaan buat negara. 

Filem berdurasi 120 minit ini menampilkan barisan pelakon yang mantap seperti Irfan Zaini, Zizan Razak, Jack Tan, Nam Ron, Shweta Sekhon, Diana Danielle, Luqman Hafidz, Qasrina Karim dan Dato' Ahmad Tamimi Siregar. Penggambaran berlangsung selama 53 hari merentasi Kuala Lumpur, Selangor, Perlis dan New Zealand, sekaligus memberikan skala visual yang lebih besar kepada kisah yang diinspirasikan daripada sejarah sebenar sukan permotoran negara.

Diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama EJJ Films, Enotech Pictures dan Aventure Space, serta diproduksikan oleh Woohoo Pictures, TERBANG turut mendapat sokongan strategik daripada STING, U Mobile, PROTON, PETRONAS, EON Berhad dan Malaysia Aviation Group (MAG) dalam menghidupkan semula era kegemilangan rali Malaysia. Lebih mengujakan, filem ini turut ditayangkan dalam format 4DX, membolehkan penonton merasai gegaran, angin, air dan kesan persekitaran yang menjadikan pengalaman menonton lebih imersif. 

Di sebalik bunyi enjin yang bergema dan debu yang berterbangan di setiap selekoh, TERBANG sebenarnya membawa sebuah kisah yang lebih besar daripada perlumbaan. Ia adalah tentang keberanian untuk bangkit selepas jatuh, tentang keyakinan untuk terus melangkah ketika segala-galanya kelihatan mustahil, dan tentang sebuah negara yang sentiasa mempunyai sebab untuk berbangga dengan anak-anaknya.

Comments
* The email will not be published on the website.