oleh: zizi hashim
Dari satu percubaan kecil dalam dunia muzik pada 1996, kumpulan Spider kini berdiri megah sebagai antara kugiran paling berpengaruh dalam sejarah muzik Malaysia. Selepas lebih 2 dekad berkarya dan mencipta pelbagai kejayaan, tahun 2025 menyaksikan sebuah detik bersejarah akan berlangsung 'Spider Unplugged Concert' pada 25 Oktober 2025, berlokasi di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Konsert ini bukan sembarangan. Ia bukan hanya soal pentas besar, lampu terang atau sorakan peminat. Lebih dari itu, ia adalah sebuah keraian seni dan emosi, dengan pendekatan ‘unplugged’ yang membawa peminat lebih dekat dengan jiwa Spider.
Tanpa bunyi yang keterlaluan, tanpa kesan khas yang mengaburi rasa. Cuma muzik, lirik, dan cerita yang lahir dari hati. Dibawakan khas oleh Naga Legend Entertainment, 'Spider Unplugged Concert' menandakan kolaborasi pertama antara penganjur dan kugiran ikonik ini dalam persembahan akustik penuh, sebuah bentuk yang jarang dipilih untuk konsert berskala besar, tetapi inilah keunikan yang dimiliki oleh Spider. “Menyebut nama Spider saja sudah buat kami teruja. Tapi apabila mereka bersetuju untuk tampil dengan format 'unplugged', kami tahu ini bukan konsert biasa. Ia bakal jadi malam yang dikenang,” kata Fandy Alias, wakil Naga Legend Entertainment.
Spider yang terdiri daripada Tam (vokal), Aie (dram), Iss (bass) dan Pown (gitar) bukan asing dalam dunia muzik. Dari zaman "Aladdin", "Kasih Latifah", "Cinta Dewa Dewi" hingga ke "Relaku Pujuk", lagu-lagu Spider sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup ramai. Karya mereka bukan sekadar hits radio, malahan ia membentuk jiwa generasi yang membesar bersama muzik mereka. Mereka pernah menjulang Juara Lagu 2004 menerusi "Relaku Pujuk" dan mengangkat 'Nazraku' sebagai 'Album Pop Rock Terbaik AIM 2005'. Bahkan dalam era perubahan digital dan ledakan muzik baharu, Spider kekal menghasilkan karya segar seperti 'Keluar Sarang (2024)', membuktikan bahawa taring mereka belum tumpul.
“Kami bukan sekadar mahu ‘buat konsert’. Kami mahu beri pengalaman. Peminat bukan datang untuk tengok Spider sekadar menyanyi dan balik. Kami mahu mereka rasa setiap bait lagu, hayati susunan muzik, dan pulang dengan kenangan,” ujar Tam dengan nada penuh tekad.
Untuk peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada malam bersejarah ini, tiket akan mula dijual pada 25 April 2025, jam 3 petang, menerusi www.ilassotickets.com/spiderunplugged. Empat kategori ditawarkan:
Dan seperti yang dibuktikan dalam konsert-konsert terdahulu, tiket Spider bukan mudah didapatkan. Ia habis dalam sekelip mata. Jadi, pesanan kami jelas: jangan tunggu, jangan ragu. Pastikan anda jadi antara yang pertama ‘menawan’ tempat duduk untuk malam yang pasti ‘meledakkan’ kenangan.
'Spider Unplugged Concert' bukan sekadar konsert. Ia adalah panggilan jiwa untuk yang pernah jatuh cinta dengan suara Tam, untuk yang menyimpan bait lirik Spider sebagai diari rahsia hidup, dan untuk mereka yang tahu bahawa muzik terbaik bukan hanya didengar, tapi dirasa. Sampai jumpa 25 Oktober nanti. Jangan kata kami tak pesan!