Raih Lebih 2.5 Juta Tontonan di TikTok Dalam Seminggu, Drama Keluarga 'Keluarga Antara Insan' Pikat Hati Penonton

oleh: zizi hashim

Mencatat pencapaian yang luar biasa apabila drama bersiri terbaru TV3, 'Keluarga Antara Insan, berjaya meraih lebih 2.5 juta tontonan di TikTok hanya dalam masa seminggu selepas tayangan 10 episod pertama. Drama ini yang disokong penuh oleh Samsung Malaysia, bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut mencipta fenomena baharu di kalangan penonton, terutamanya di kalangan peminat media sosial. 

Kekuatan utama 'Keluarga Antara Insan' terletak pada gabungan pelakon-pelakon berbakat yang menghidupkan watak-watak menarik dalam drama ini. Muaz Zabir dan Puteri Balqis sekali lagi menjadi perhatian utama, dengan kedua-duanya mempersembahkan watak yang lebih santai dan bersahaja berbanding dengan peranan-peranan berat yang sering mereka lakonkan sebelum ini.

Bersama mereka, barisan pelakon seperti Aleza Shadan, Amirulhakim Lokman, dan DUKES turut membawa warna tersendiri kepada drama ini, manakala kemunculan istimewa Tony Eusoff menambah keseronokan pada jalan cerita yang sudah pun menarik perhatian ramai.

Penerimaan penonton terhadap 'Keluarga Antara Insan' amat positif. Banyak komen dan respons daripada netizen yang memuji perubahan besar dalam lakonan Puteri Balqis, yang kali ini membawa watak yang lebih ringan dan mesra berbanding watak-watak yang lebih serius dan penuh konflik yang sering dibawanya dalam projek-projek sebelumnya. Penonton juga memberikan pujian kepada karakter Momo, seekor kucing comel yang menjadi bintang sampingan dalam drama ini. Kehadiran Momo memberikan elemen keseronokan dan keceriaan sepanjang episod, menjadikan drama ini lebih hidup dan seronok untuk ditonton.

Drama 'Keluarga Antara Insan' bertempatkan latar belakang sebuah kejiranan mesra, Taman Antara Insan, yang digambarkan penuh warna dan kehidupan. Cerita ini memfokuskan kepada hubungan antara dua jiran, Dahlia (Puteri Balqis) dan Amir (Muaz Zabir), yang tidak pernah akur antara satu sama lain. Segalanya bermula daripada satu insiden kecil melibatkan seekor kucing bernama Momo yang tanpa sengaja mencalar kereta Amir. Insiden ini secara tidak langsung mencetuskan konflik yang semakin meruncing, menjadikan mereka terlibat dalam perang dingin yang berpanjangan.

Namun, suasana Ramadhan yang penuh keberkatan membawa perubahan dalam hubungan mereka. Kehidupan seharian mereka yang bermula dengan sahur, bazar Ramadhan, serta tarawih yang penuh makna membuka peluang bagi Dahlia dan Amir untuk saling mengenali lebih dalam. Dalam tempoh yang penuh kemesraan ini, mereka mula menyedari bahawa sebenarnya mereka mempunyai banyak persamaan, malah saling melengkapi antara satu sama lain. Konflik yang bermula daripada perbezaan pendapat semakin reda, digantikan dengan momen-momen kebersamaan dan pengertian yang membina.

Selain daripada watak Dahlia dan Amir, drama ini turut memperkenalkan beberapa watak sampingan yang memberi sentuhan humor dan drama kepada jalan cerita. Kak Bib (Aleza Shadan), seorang jiran yang penyayang dan penuh bijaksana, memainkan peranan penting dalam usaha mendamaikan Dahlia dan Amir. Begitu juga dengan Ezzat (Amirulhakim Lokman), yang penuh dengan idea-idea lucu dan keletah yang memeriahkan suasana. Tidak ketinggalan, ahli band surau (DUKES) yang membawa elemen muzik dan keceriaan ke dalam kehidupan kejiranan mereka.

Salah satu daya tarikan utama drama ini adalah kemampuannya untuk menggabungkan suasana Ramadhan dengan konflik peribadi yang dialami oleh setiap watak. Tunjuk ajar tentang pentingnya silaturahim dan kerjasama dalam mengharungi cabaran hidup seolah menjadi teras utama cerita ini. Penggunaan latar belakang bazar Ramadhan dan suasana persiapan raya turut memberi impak yang besar, mengingatkan penonton tentang nilai-nilai kekeluargaan dan kekuatan komuniti di dalam kehidupan seharian.

Penonton juga dapat melihat bagaimana kebaikan hati dan keikhlasan dalam berhubung sesama manusia boleh mengatasi segala perbezaan. 'Keluarga Antara Insan' tidak hanya menghiburkan, tetapi juga menyampaikan mesej positif tentang pentingnya memahami dan menerima kekurangan diri sendiri dan orang lain.

Drama ini berjaya membangkitkan suasana Ramadhan yang penuh makna dan rasa syukur, serta memberikan inspirasi untuk memperbaiki hubungan sesama manusia. 'Keluarga Antara Insan' mengingatkan kita bahawa konflik yang ada dalam kehidupan seharian, jika ditangani dengan bijaksana dan hati yang terbuka, mampu diselesaikan dengan cara yang lebih positif.

Untuk yang belum menonton, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan 'Keluarga Antara Insan' sekarang. Episod-episod terdahulu boleh ditonton semula di TikTok rasmi TV3 di @tv3Malaysia atau di TikTok Samsung Malaysia di @samsungmalaysia. Nikmati kemeriahan Ramadhan dan Raya anda dengan 'Keluarga Antara Insan'!