oleh: zizi hashim
Pitahati, kumpulan muzik alternatif tempatan yang kerap memikat khalayak lewat karya-karya penuh makna, berlapis dengan kedalaman estetika, kembali menorehkan kreativiti mereka menerusi single terbaru mereka 'Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit)'. Lagu ini dilancarkan secara rasmi pada 10 Januari 2025 di bawah label Luncai Emas. Menariknya, ciptaan, lirik, dan penerbitan lagu ini dilaksanakan sepenuhnya oleh Pitahati sendiri, dengan Husyairi Hamzah turut berperanan sebagai penerbit bersama. Proses rakaman, adunan, serta mastering pula disempurnakan oleh Mokhtar, memberikan sentuhan akhir yang menyempurnakan karya ini.
Menurut Ilham, sang vokalis, 'Ana Yang Punya' merupakan bentuk kritik sosial terhadap perilaku segelintir individu yang, dalam genggaman kuasanya, bertindak seakan-akan dunia ini milik peribadi mereka. Meski bernada sinis, Pitahati menegaskan bahawa karya ini tidak ditujukan kepada sosok atau mana-mana individu/institusi tertentu secara spesifik, melainkan sebagai cerminan universal. "Kami ingin menyampaikan peringatan kepada mereka yang mungkin alpa dengan tanggung jawab dan tidak menggunakan kuasa dengan bijaksana, namun tetap disampaikan melalui nuansa santai dan humoris," tutur Ilham.
Dari segi sonik dan melodi, Pitahati mengakui bahawa 'Ana Yang Punya' membawa nuansa yang mungkin mengimbau pendengar kepada lagu klasik "Riders on the Storm" oleh The Doors, sebuah band rock legenda dari era 70-an. Menurut Hidayat, pemain gitar Pitahati, persamaan tersebut mungkin hadir secara bawah sedar dan kebetulan. "Kami tidak mengambil inspirasi secara langsung. Namun, barangkali banyak pengaruh unsur muzik klasik yang telah sebati dan memang mengalir dalam nadi kami." jelasnya.
Jauh berbeza dari warna muzik sebelumnya yang sering sarat dengan unsur melankolia dan konsep berat, karya ini memancarkan sisi Pitahati yang lebih riang dan jenaka tanpa mengorbankan mutu muzikal mereka. "Mungkin kami kini lebih gemar bersenda gurau melalui lagu dan cenderung menampilkan sisi humor kami," ujar Masrin, pemain bass, sambil menegaskan bahwa setiap unsur tetap dirangkai dengan cermat dalam usaha memilih pendekatan yang lebih bersahaja.
Sebagai salam perkenalan kepada wajah baharu Pitahati, 'Ana Yang Punya' dipilih sebagai single pembuka untuk album terbaru mereka. Lagu ini bukan sahaja mencerminkan perubahan dalam pendekatan muzik mereka, malah memperlihatkan keinginan kumpulan ini untuk lebih dekat dengan para pendengar dari pelbagai lapisan masyarakat. "Kami berharap para pendengar dapat menikmati sisi ringan kami dalam irama santai, dan dalam masa yang sama menangkap mesej yang tersirat di sebalik bait-bait lirik yang kami persembahkan." tambah Ilham penuh harap.
Kini, 'Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit)' sudah boleh dinikmati di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music dan Joox. Selain itu, Pitahati turut mempersembahkan sebuah visualizer menarik untuk lagu ini yang boleh ditonton di saluran YouTube rasmi mereka. Para peminat juga disarankan untuk mengikuti perkembangan terbaru kumpulan ini melalui saluran media sosial mereka, kerana lebih banyak kejutan dan karya hebat sedang menanti untuk dilancarkan dalam waktu terdekat. Dengan 'Ana Yang Punya', Pitahati bukan sekadar mempersembahkan sebuah lagu, mereka menawarkan sebuah pengalaman sindiran sosial yang cerdas, dalam balutan nada santai dan jenaka yang pastinya mengundang pemikiran dan senyuman.