Papa Zola The Movie: Melangkah Sebagai Wira Dengan Misi Kebenaran

oleh: zizi hashim

Papa Zola bukan asing. Dia hadir sebagai satu sosok yang tak pernah gagal mengukir senyum. Dengan gaya bicara yang bersahaja, jenaka yang ‘masuk air’ dan laungan penuh semangat — "Kebenaran!" — beliau telah menambat hati jutaan penonton dari Malaysia hingga ke Indonesia. Watak guru jenaka yang dahulu hanya muncul sekilas dalam dunia 'BoBoiBoy', kini bersedia memimpin sebuah epik baharu yang akan menghentak layar perak dengan judul 'Papa Zola The Movie'.

Sejak kemunculan awalnya, watak ini mencipta gelombang tersendiri. Meme, video lucu, nasihat keluarga, bahkan kata-katanya dijadikan siulan harian. Di platform sosial, jumlah tontonan melangkaui 3 bilion, satu angka yang bukan calang-calang. Tetapi siapa sebenarnya Papa Zola, di sebalik lawaknya yang menggila? Itulah yang akan dijawab dalam filem ini. Sebuah naratif aksi dan emosi, tentang asal-usul sang pendidik pelik yang sebenarnya menyimpan kisah luar biasa.

Naratif Baharu, Jiwa Lama
Dilancarkan secara rasmi oleh Monsta, dengan kerjasama Astro Shaw, filem ini menjadi francais animasi keempat daripada studio yang pernah menggegar industri menerusi BoBoiBoy dan Mechamato. Pada tanggal 2 Mei 2025, dunia maya kembali bergema apabila teaser rasmi Papa Zola The Movie mencecah lebih 2 juta tontonan dalam masa kurang 24 jam. Satu petanda jelas — watak ini sudah lama dinantikan untuk kembali, kali ini bukan sekadar sebagai penyeri, tetapi sebagai wira utama.

'Papa Zola The Movie' dijadualkan tayang pada Disember 2025, tepat di ambang musim cuti akhir tahun. Ia bukan sekadar filem komedi aksi, tetapi juga kisah tentang keberanian, kekeluargaan dan pengorbanan. Dalam dunia yang dihujani ancaman makhluk asing dan krisis bergamifikasi, Papa Zola tampil sebagai harapan. Dengan kapur di tangan, ilmu di dada dan cinta yang tak berbelah bahagi buat murid-muridnya. 

“Ini kali pertama Papa Zola jadi teraju utama selepas 2 penampilan ringkas dalam 'BoBoiBoy The Movie' (2016) dan 'BoBoiBoy Movie 2' (2019),” kata Nizam Abd Razak, sutradara filem ini yang juga bapa kepada dunia Monsta. “Kisah ini akan membawa penonton menyelami sisi yang lebih mendalam — bukan hanya tentang jenaka, tetapi tentang tanggungjawab, keberanian dan asal-usul watak yang selama ini diselubungi misteri.”

Untuk Anak, Untuk Ayah, Untuk Semua
Papa Zola bukan superhero tipikal. Dia bukan insan sempurna. Tapi di sinilah kekuatannya,  dia mewakili kita, yang kadangkala gagal, tapi tetap mencuba. Yang kadangkala kelakar, tapi sentiasa jujur. Dalam dunia yang semakin kehilangan pahlawan sederhana, Papa Zola mengingatkan kita bahawa ‘kebenaran’ bukan hanya slogan. Ia adalah perjuangan seharian. Filem ini juga selari dengan gelombang kebangkitan animasi tempatan di bawah inisiatif #aniMY, dan semangat #sapotlokal yang semakin kuat dalam kalangan rakyat Malaysia. Dengan sentuhan tempatan yang tulen dan produksi bertaraf antarabangsa, 'Papa Zola The Movie' diyakini akan menjadi sebuah pengalaman sinematik yang menyatukan tua dan muda, bapa dan anak, ketawa dan air mata.

Menjelang Disember: Siapkan Hati dan Jiwa
Monsta terus membuktikan bahawa animasi bukan hanya untuk kanak-kanak, tapi juga untuk jiwa yang masih mahu percaya pada keajaiban kecil. 'Papa Zola The Movie' bukan hanya tentang seorang cikgu luar biasa. Ia adalah tentang cinta, tentang keberanian, tentang betapa setiap daripada kita boleh menjadi wira dalam cara yang paling tak terduga. Justeru, apabila Disember menjelma, ajaklah mereka yang kamu sayangi. Duduk bersama. Dan biarkan Papa Zola mengajar kita semula bahawa dalam dunia yang makin kompleks ini, kadangkala, yang kita perlukan cuma satu suara yang berkata, "Kebenaran!"

'Papa Zola The Movie' Disember 2025 ini! Jangan sekadar menonton. Rasakan perjuangannya!