Nyanyian Cinta Sederhana 'Cak Cak Cekuk' Sebuah Suara Realiti dari Hati Wani Kayrie

oleh: zizi hashim

Terbit di bawah sayap Rocketfuel Entertainment, naskhah pop tradisional moden ini bukan sekadar penghibur telinga. Ia datang dengan wajah ceria tetapi membawa denyut realiti yang terlampau dekat dengan banyak hati muda hari ini. Lagu ini ibarat nasihat manja dari seorang kakak yang pernah jatuh, pernah menunggu, dan pernah percaya bahawa cinta yang jujur selalu layak diperjuangkan.

Ada waktu dalam hidup ini, di mana impian tentang pelamin dan janji sehidup semati terasa terlalu mahal untuk digapai. Bukan kerana cinta tak cukup dalam, tetapi kerana poket masih menanti isi. Namun, siapa bilang kisah cinta harus dibayar dengan pesta mewah dan dekorasi serba indah? Kadang, yang benar-benar mengikat adalah janji yang dibina perlahan, dari hati yang benar-benar ingin bersama. Di sinilah letaknya nyawa dalam lagu terbaharu Wani Kayrie — “Cak Cak Cekuk”.

Kali pertama mendengar demo lagu ciptaan Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh, Wani tidak berpaling. Katanya, lirik itu seolah-olah mencerminkan kisah ramai pasangan muda yang penuh impian tetapi sering terhalang oleh realiti kewangan. Dari situlah, timbul tekad untuk menyanyikannya dengan wajah yang riang, namun hati yang penuh kesedaran. Ada sesuatu tentang “Cak Cak Cekuk” yang membawa kita kembali ke pangkuan nenek tua yang suka menyanyikan lagu rakyat, “Cak Cekur Udang Gamit”, sambil menghayun cucu di pangkuan. Lagu ini bukan semata-mata saduran melodi lama. Ia lahir semula dengan susunan moden yang masih meninggalkan wangi nostalgia. Warisan itu kini ditanam kembali ke tanah generasi baharu dengan irama segar, supaya budaya yang dulu menyatu kini tidak lagi terpisah.

Bukan rahsia bahawa zaman sekarang menuntut banyak daripada pasangan muda. Rumah, kereta, hantaran dan majlis, semuanya bagaikan satu senarai semak yang tak berkesudahan. Lalu Wani bertanya, mengapa tidak cukup dengan cinta? Mengapa kita perlu menunggu semua sempurna sebelum memulakan kehidupan bersama? Dari persoalan itulah, “Cak Cak Cekuk” menjadi lagu yang bersuara, meski dengan nada bersahaja, tentang keperluan untuk lebih menerima dan memahami bahawa cinta tidak semestinya hadir dalam bentuk emas dan wang. Ia tentang keberanian untuk berkata, “kita ada satu sama lain, dan itu lebih dari cukup.”

“Kalau dah sayang, kita usaha sama-sama. Tak perlu tunggu semua cukup baru boleh kahwin,” ujar Wani, dengan senyum yang membawa makna besar. Lagu ini menjadi semacam pelukan kepada mereka yang diam-diam menyimpan harap tetapi tidak mampu berbicara. Dalam bait yang berbunyi “Perlahan dayung sampai hujung”, Wani menyelitkan secebis dari perjalanannya sendiri. Dunia seni yang digelutinya sejak usia belia tidak selalu memayunginya dengan kemewahan. Tapi dia bertahan, menapak perlahan dengan doa dan tekad.

Dari situ, lirik itu terasa begitu tulus. Sebuah seruan untuk mereka yang sedang menyusun impian dalam diam, agar tidak mudah menyerah hanya kerana dunia terlalu bising dengan tuntutan. Aura muziknya ceria, menyatu dengan irama rakyat dan susunan pop yang memikat. Tapi di bawah permukaan itu, tersimpan kisah yang mengajak kita untuk berhenti seketika dan melihat hidup dengan mata yang lebih lembut. Lagu ini bukan sahaja sesuai untuk dimainkan di majlis perkahwinan, bridal shower, atau acara cinta yang lain, tetapi juga sesuai dijadikan peneman kala hari terasa berat, untuk mengingatkan bahawa setiap cinta punya jalannya sendiri, dan bukan semua perlu dihias dengan kemewahan untuk menjadi indah.

Seiring dengan pelancaran rasmi pada 23 Mei 2025, lagu ini kini sudah tersedia di semua platform digital — dari Spotify hingga Apple Music. Dan tak lama lagi, muzik video “Cak Cak Cekuk” bakal menyusul, membawa visual yang menjanjikan sesuatu yang segar dan penuh kejutan. Dalam era muzik yang sering dibanjiri dengan trend luar, Wani Kayrie mengambil langkah berani untuk kembali ke akar budaya dan membungkusnya dalam kemasan kontemporari. 

Hasilnya? Sebuah lagu yang bukan sahaja menghibur, tetapi juga menyentuh, menyapa, dan merangkul mereka yang sedang merangkak perlahan menuju cinta yang sederhana namun sejati. Kadang-kadang, yang paling indah dalam hidup ini tidak datang dengan bunga dan janji mewah. Ia datang dalam bentuk lagu seperti ini. Ringan di telinga, berat di rasa. Dan “Cak Cak Cekuk” adalah satu nyanyian yang mengingatkan kita, bahawa cinta itu asalnya dari hati, dan keikhlasan itu selamanya kekal relevan.