MASDO Raikan 10 Tahun Perjalanan, 'Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap' Jadi Titik Mula Kejutan Besar!

oleh: zizi hashim

Dalam dunia muzik yang sering berubah-ubah, hanya segelintir kugiran yang mampu bertahan dengan identiti yang kukuh dan cinta tak berbelah bahagi dari peminat. MASDO, nama yang sinonim dengan gelombang retro moden, kini mencipta satu lagi detik manis. Menyambut ulang tahun ke-10 mereka dalam industri seni dengan satu acara eksklusif penuh kejutan dan pengumuman konsert berskala besar pada malam 30 April 2025. Saloma Kuala Lumpur menjadi lokasi ‘mesyuarat rahsia’ yang sangat istimewa bagi acara 'Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap'. Lebih 200 peminat tegar dan rakan media hadir menyemarakkan suasana, tanpa benar-benar tahu apa yang menanti. Tapi seperti biasa, MASDO tidak pernah mengecewakan.

Petanda Awal Yang Misteri di Instagram
Beberapa hari sebelum acara berlangsung, aura misteri menyelimuti media sosial. Hantaran berlapis teka-teki oleh Ali Sariah, Asmawi dan Putu Ceri membuat peminat berteka-teki. Ada yang menduga single baru, ada yang berharap konsert. Dan malam itu, segala persoalan akhirnya terjawab dengan penuh gaya MASDO, dramatik, nostalgik dan penuh rasa.

Mini Showcase – Persembahan Dari Jiwa Ke Jiwa
Tanpa gimik berlebihan, MASDO naik ke pentas dengan jiwa. Sebuah mini showcase dilangsungkan dalam suasana intim mempersembahkan lagu-lagu kesayangan ramai seperti “Dinda”, “Lautan Asmara”, “Janji Manis”, “Bunga” dan “Berchanda di Malam Indah”. Pentas kecil itu seakan-akan jambatan masa, menghubungkan nostalgia dan semangat hari ini. Peminat yang hadir bukan sekadar menonton, mereka bernyanyi bersama dan bersorak. Malam itu adalah perayaan memori.

Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun’ – Pengumuman Yang Menggetarkan
Tepat pada momen klimaks, MASDO merungkai rahsia sebenar ketika konsert ulang tahun ke-10 mereka akhirnya diumumkan secara rasmi! Tiba-tiba layar besar di bangunan MATIC disingkap perlahan-lahan, menampakkan poster rasmi konsert ‘Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun’. Diiringi letupan bunga api dan sorakan peminat, detik itu bagaikan adegan kemuncak dalam filem, penuh simbolik, penuh makna. Konsert mega tersebut akan berlangsung pada 30 Ogos 2025 di Idea Live Arena KL @ 3 Damansara — satu lokasi baharu yang bakal menjadi ikon konsert Malaysia. MASDO menjadi kumpulan pertama yang diumumkan akan membuat persembahan di sana. 

Dengan kapasiti 7,000 orang, ia dijangka menjadi malam paling bermakna dalam sejarah mereka.Pra-pendaftaran untuk tiket Rockzone Early Bird (RM128) dibuka dari 30 April hingga 1 Mei. Tiket seterusnya akan dijual secara umum dengan harga Rockzone (Free Standing) – RM148, dan Cat 1 (Free Seating) – RM198. Konsert ini dibawakan oleh Hitman Solutions, nama yang sudah lama berpengalaman dalam penganjuran konsert bertaraf antarabangsa dan lokal. Rohit Rampal, CEO dan pengasas Hitman Group berkata, “MASDO bukan sekadar band, mereka adalah satu era. Sebagai rakyat Malaysia, kami bangga menyokong legasi ini agar terus mekar. Ulang tahun ke-10 ini harus diraikan bukan dengan biasa-biasa, tapi dengan luar biasa.”

Hitman Solutions – Di Sebalik Tabir Sebuah Perayaan
Dengan pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia penganjuran, Hitman Solutions tampil sebagai tenaga utama di belakang konsert ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rohit Rampal, berkata, “MASDO bukan sekadar kugiran. Mereka adalah legasi. Dan bagi ulang tahun ke-10 ini, kami mahu pastikan ia disambut dengan megah, penuh warna dan kejutan.” Konsert ini dijangka menampilkan produksi audio visual yang hebat dan akan menjadi salah satu acara paling dinanti tahun ini. 

Rangkaian Sokongan Yang Mantap
Tidak mungkin acara besar ini terlaksana tanpa kerjasama pelbagai pihak. Di samping Hitman Solutions dan Warner Music, rakan rasmi seperti Kugiran Masdo Empire (pengurusan), Saloma KL (lokasi rasmi), serta ERA, Sinar dan Gegar (radio rasmi), dan Astro Gempak (media rasmi) turut memainkan peranan penting menjayakan konsert yang dinanti ramai ini.

Konsert ‘Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun’ dijangka bukan hanya menampilkan persembahan lagu-lagu terbaik mereka, tapi juga produksi visual dan audio yang mencipta pengalaman tak terlupakan. Ini bukan sekadar ulang tahun, ini adalah perayaan satu dekad cinta, usaha, dan kepercayaan antara MASDO dan peminatnya. Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, ikuti @kugiranmasdo dan @hitmansolutions di media sosial atau hubungi +6012-265 5783 / concerts@hitman.group.