oleh: zizi hashim
Suasana di M World Hotel bertukar riuh dengan gelak tawa dan sinaran glamor selebriti apabila Majlis Pung Pang Raya berlangsung penuh meriah dengan kehadiran barisan pelakon popular, media, influencer dan peminat seni pada 25 April 2025 baru-baru ini. Majlis istimewa yang diraikan sempena Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar sambutan Hari Raya, tapi juga menjadi medan promosi 2 buah filem terkini MIG yang sedang hangat diperkatakan iaitu 'Citra Apartment' dan 'Lakhus: Penghulu Jin'.
Acara yang turut disertai oleh para pelakon, pengarah, media, influencer dan blogger ini menjadi ruang santai buat para pelakon dan kru produksi untuk berinteraksi dengan tetamu media sambil berkongsi perkembangan terkini tentang filem masing-masing. Ia juga menjadi pentas awal memperkenalkan arah baharu yang cuba dibawa oleh MIG dalam portfolio filem mereka.
Menurut David Teo selaku penerbit filem 'Lakhus', filem ini kini sedang dalam fasa offline editing, dan beliau sendiri turun padang memantau proses suntingan dari awal hingga akhir. “Filem ini memang lain daripada apa yang saya pernah hasilkan. Ia ada unsur art berat, lebih kepada visual dan simbolisme yang mendalam. Saya pilih Azmir Affendi sebagai pengarah sebab saya yakin dengan gaya dan sentuhan dia,” jelas David.
'Lakhus: Penghulu Jin' dibintangi oleh Qi Razali, Yasmin Hani, Maria Farida, Namron, Nais Anuar dan ramai lagi, filem ini menyentuh tema mistik dan identiti. Ia dijangka menemui penonton pada penghujung tahun ini dan menurut David, ia bakal menjadi titik permulaan untuk MIG meneroka genre yang lebih matang dan berani.
Satu lagi filem yang bakal memeriahkan pawagam tahun ini ialah 'Citra Apartment', dijadualkan tayangan pada 3 Julai 2025. Menampilkan konsep timeloop, filem ini memberi nafas baharu kepada genre thriller tempatan. Menurut penerbitnya, Jason Teo, walaupun konsep ulang masa bukan sesuatu yang baru, namun penceritaannya diolah dengan gaya tempatan dan elemen kejutan.
“Kita cuba hasilkan cerita yang buat penonton terfikir dan tertanya-tanya. Setiap ulang masa tu ada sesuatu yang baharu untuk didedahkan. Harapnya penonton akan enjoy dan terhibur,” katanya. Disutradarai oleh Amor Rizan, filem ini turut menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Elisya Sandha, Liang Chia, Razdan Shamsudin dan Hanna Halim.
Tidak hanya berhenti di situ, MIG turut mengumumkan projek terbaharu mereka yang bakal memulakan penggambaran bulan Mei ini. 'Nar’Sata: Sekutu Setan', arahan terbaru dari Pierre Andre. Genre seram thriller ini menandakan kerjasama ketiga antara Pierre dan MIG selepas hampir 10 tahun menyepi dari layar tempatan. Selain itu, MIG juga sedang merancang sebuah filem heavy drama yang akan diarahkan oleh pengarah berbakat, Ey. Butiran lanjut tentang filem ini masih belum didedahkan sepenuhnya, tetapi ia dijangka memberi impak besar dalam barisan naskah drama tempatan.
Keseluruhan acara Majlis Pung Pang Raya ini bukan sahaja meriah dalam suasana Aidilfitri, tetapi juga memberi bayangan jelas bahawa MIG sedang aktif dan agresif merencana produksi berkualiti tinggi. Dengan barisan pelakon berbakat dan naskah yang pelbagai genre, tahun 2025 nampaknya bakal jadi tahun yang menarik untuk peminat filem tempatan.