oleh: zizi hashim
Mentari belum tinggi ketika Kuala Lumpur mulai berdenyut dalam ritma yang berbeza. Jalanan yang biasanya sarat dengan deruman enjin dan langkah tergesa, pagi itu dipenuhi oleh lebih 7,000 jiwa yang berlari bukan semata kerana jarak, tetapi kerana cinta. Cinta terhadap satu figura legenda yang telah lama bersemayam dalam kenangan rakyat: Keluang Man.
Tanggal 18 Mei 2025 menyaksikan sebuah peristiwa yang bukan sahaja mencipta sejarah sebagai acara fun run superhero Original pertama di Malaysia, malah menjadi jambatan antara nostalgia dan generasi baru. ‘Keluang Man WONDA Fun Run’, hasil sentuhan kolaborasi antara Astro Shaw, Wonda Kopi, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), berlangsung dengan penuh semangat di bawah langit biru ibu kota, bertepatan dengan program 'Car Free Morning'.
Dari Menara DBKL, deretan manusia dengan topeng Keluang Man mula bergerak, menyatu dalam denyut yang sama iaitu harapan, kenangan, dan semangat. Jam 6.45 pagi, mereka mula memanaskan badan, dan tepat 7 pagi, larian sejauh 5 kilometer dilepaskan. Simbolik dan istimewa, pelepasan dilakukan oleh karektor Keluang Man sendiri bersama maskot BeBe dan disaksikan oleh YBhg. Dato' Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Bukan larian biasa. Wajah-wajah yang hadir, walau berbeza usia dan latar, bersatu dalam satu semangat. Ada yang memakai jersi edisi terhad, ada yang menzahirkan keterujaan melalui topeng, dan ramai yang datang bersama anak-anak, sahabat dan keluarga, menjadikan larian ini bukan sahaja meriah, tetapi sarat makna. Barisan pelakon filem Keluang Man turut hadir menyemarakkan suasana. Nas Muammar Zar, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Anwaar Beg Moghal, Sham Sunder, Razzuan Rosli, dan tidak ketinggalan, penyanyi lagu tema, Krisya serta kumpulan rock lokal S.O.G. Mereka bukan hanya tampil sebagai selebriti, tetapi sebagai sebahagian daripada rakyat yang meraikan wira tempatan yang membesar bersama kita semua.
Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif Keluang Man dan Ketua Astro Shaw, meluahkan rasa terima kasih atas sambutan luar biasa ini. Baginya, acara ini bukan sekadar promosi filem, tetapi satu cara menyentuh semula jiwa rakyat yang mungkin pernah terlupa bahawa kita semua pernah percaya bahawa superhero tidak semestinya datang dari langit, kadangkala mereka lahir dari luka dan perjuangan sendiri. “Keluang Man mencerminkan keberanian dan kekuatan. Kami mahu semangat ini menjalar dalam kehidupan seharian rakyat bahawa setiap insan punyai potensi menjadi wira dalam cara tersendiri,” ujarnya, penuh bangga dan harapan.
Selain larian, ruang sekitar Menara DBKL berubah menjadi medan perayaan. Para peserta berpeluang bertemu dan bergambar dengan para pelakon, menyaksikan persembahan daripada Krisya dan S.O.G, mencuba nasib dalam cabutan bertuah, membeli barangan eksklusif Keluang Man, dan menikmati siaran luar dari ERA FM, radio nombor satu yang terus setia menemani rakyat Malaysia. Istimewanya lagi, Wonda Kopi Kluang, hasil kolaborasi dengan Keluang Man, dihidangkan buat semua. Minuman ini bukan sekadar penghilang dahaga, tetapi simbol kejayaan kerana dalam hanya 8 bulan, jualannya mencecah lebih 2 juta tin. Bukti bahawa watak Keluang Man bukan hanya diterima di layar, tetapi juga dalam gaya hidup.
Filem Keluang Man, arahan Anwari Ashraf, bakal menyapa layar perak 29 Mei 2025 ini. Dibintangi oleh gandingan mantap seperti Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Shweta Sekhon, Amelia Henderson, Halim Othman, dan ramai lagi, filem ini menjanjikan dimensi baru kepada kisah Borhan, pesakit psikiatri yang akhirnya membentuk identiti baru sebagai wira misteri, dalam pencariannya melawan bayang silam dan mengukir erti baru dalam hidupnya.
Dengan trailer rasmi terakhir yang baru sahaja dilancarkan dan hampir 10 juta tontonan diraih untuk treler pertama di TikTok @astroshawofficial, jelas bahawa gelombang Keluang Man bukan hanya angin lalu. Ia datang sebagai taufan, membangkitkan semula memori, dan mencetus semangat baru. Di sebalik topeng, kita semua mungkin menyimpan sesuatu. Luka, harapan, atau kekuatan yang belum ditemukan. Keluang Man datang bukan untuk menyelamatkan dunia, tetapi untuk mengingatkan kita bahawa wira juga manusia. Dan mungkin, manusia juga boleh menjadi wira.
#KeluangMan #KeluangManMovie – saatnya percaya, wira itu mungkin ada dalam diri kita sendiri.