oleh: zizi hashim
Ada cinta yang kekal, ada yang hanya singgah seketika. Dan apabila cinta itu sudah tidak mampu lagi menjadi alasan untuk terus bertahan, melepaskan mungkin adalah satu-satunya pilihan yang tinggal. Inilah falsafah emosi yang diterjemahkan secara indah dalam lagu terbaru berjudul Cukup Kita, hasil kolaborasi istimewa 2 penyanyi berbakat besar, Ayu Damit dan Emeer Bakri. Muncul sebagai runut bunyi rasmi (OST) untuk drama sensasi slot Akasia TV3, Calon Isteri Buat Suami, lagu ini bukan sekadar pengiring cerita, tetapi menjadi nadi yang meresap ke dalam jiwa penonton. Dengan lirik yang jujur dan susunan muzik yang menyentuh kalbu, Cukup Kita mengajak pendengar menyelami kisah cinta yang telah patah, namun masih meninggalkan bayang yang sukar dilupakan.
Menggabungkan unsur balada moden, string sinematik, dan elemen rock yang halus, lagu ini membawa dimensi baru kepada dunia muzik tempatan. Liriknya membicarakan tentang setia yang dikhianati, janji yang dimungkiri, dan perasaan cinta yang masih ada walau terpaksa dilepaskan. Ia seperti suara hati mereka yang pernah berada di persimpangan antara ingin terus mencuba atau merelakan segalanya pergi. Menurut Emeer Bakri, yang turut bertindak sebagai penulis lagu bersama Amsyar Sabri, ilham asal lagu ini tercetus secara spontan ketika mereka sedang menghayati lagu-lagu pop balada dari luar negara.
“Kami rasa sudah lama muzik Malaysia tidak tampil dengan genre seperti ini – balada dengan emosi yang mentah dan susunan muzik yang megah. Jadi kami ambil peluang untuk mencipta sesuatu yang menyentuh, tetapi tetap dekat dengan jiwa pendengar kita,” jelas Emeer. Tambahnya lagi, proses penciptaan lagu berjalan pantas. Demo siap dalam sehari, dan keseluruhan lagu lengkap dalam masa 2 minggu. “Namun, yang paling bermakna buat saya ialah peluang untuk berganding suara dengan Kak Ayu. Beliau adalah ikon dengan kekuatan vokal yang tidak pernah pudar. Ia satu penghormatan besar,” katanya dengan penuh rasa bangga.
Bagi Ayu Damit, penyanyi berjiwa besar yang mula dikenali sejak memenangi program realiti One in a Million, Cukup Kita adalah antara projek yang paling menyentuh jiwanya. Kini tampil dengan single keempat di bawah naungan Alternate Records, Ayu melihat kolaborasi ini sebagai satu pengalaman penuh makna. “Emeer seorang yang sangat berbakat dan mudah bekerjasama. Dia tahu apa yang dia nak daripada lagu ini, dan saya sangat selesa menyesuaikan diri dengan emosi lagu tersebut. Ia bukan sekadar lagu cinta biasa – ia tentang keberanian untuk merelakan, walau hati belum sepenuhnya bersedia,” ujar Ayu yang hanya mengambil dua sesi untuk menyiapkan rakaman vokalnya.
Drama Calon Isteri Buat Suami, yang mula bersiaran pada 8 April 2025, telah segera mencuri perhatian ramai. Dengan kisah cinta penuh konflik, salah faham dan pengorbanan, penonton dibawa menyelami perjalanan hubungan antara Nazim dan Haizi. Dua watak yang berdepan dengan dilema dalam membina kepercayaan semula selepas diuji berkali-kali. Apa yang menjadikan Cukup Kita begitu istimewa adalah hakikat bahawa liriknya turut diinspirasikan daripada jalan cerita drama ini. Elemen-elemen perpisahan, kekeliruan dan pengharapan yang dimuatkan dalam lirik, memberi resonansi yang mendalam kepada setiap babak emosional dalam drama tersebut.
Dalam suasana industri muzik yang semakin berkembang dan mencabar, kolaborasi seperti ini bukan sahaja menyegarkan, tetapi juga memperkayakan landskap muzik tempatan. Cukup Kita membuktikan bahawa bila dua jiwa seni bersatu, hasilnya boleh menjadi karya yang bukan sahaja sedap didengar, malah menyentuh hati. Jangan ketinggalan untuk menikmati Cukup Kita di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube, dan lain-lain. Lagu ini dijangka menjadi salah satu OST paling diingati tahun ini – bukan sekadar kerana melodinya yang indah, tetapi juga kerana cerita yang dibawanya.
Saksikan juga drama Calon Isteri Buat Suami setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3, menampilkan barisan pelakon hebat seperti Siti Hariesa, Jazmy Juma, dan Trisha Ooi. Hayati kisah mereka, dan biarkan Cukup Kita menjadi pengiring setia kepada setiap emosi yang bergolak.