oleh: zizi hashim
Sekali lagi, Astro Originals mencipta fenomena baharu dalam industri drama tempatan dengan penerbitan drama premium terbaru, "First Wives". Siri 8 episod yang akan bersiaran bermula 11 April 2025 ini mengangkat kisah persahabatan 2 wanita yang bersatu menentang pengkhianatan suami masing-masing. Diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Infinitus Productions, drama berdurasi 45 minit setiap episod ini menjanjikan campuran elemen drama, komedi dan aksi yang mendebarkan, sambil menyentuh isu-isu sensitif yang relevan dalam masyarakat Malaysia hari ini.
"First Wives" berkisar tentang Diyana dan Michelle, 2 sahabat baik sejak kecil yang kini bergelut dengan masalah perkahwinan masing-masing. Diyana (Mimi Lana) mendapati bahawa suaminya, Azzim (Malek McCrone) telah berkahwin secara rahsia dengan isteri kedua. Sementara itu, Michelle (Melissa Campbell) pula diancam oleh Ah Long selepas suaminya, Roshan (Charles Roberts) menghabiskan semua simpanan keluarga untuk berjudi. Demi menyelamatkan nyawa sahabatnya dan membalas dendam, Diyana mencadangkan untuk mencuri wang dari perniagaan pasar raya milik Azzim, Azzimart, bagi melunaskan hutang Michelle. Namun, rancangan mereka tidak berjalan lancar apabila mereka tertangkap. Lebih mengejutkan, rompakan yang gagal itu membongkar aktiviti pengubahan wang haram Azzim dan mencetuskan siasatan polis yang akhirnya mengancam nyawa mereka semua.
Drama premium ini menggabungkan barisan pelakon berbakat dari pelbagai latar belakang. Selain Mimi Lana, Melissa Campbell, Malek McCrone dan Charles Roberts, "First Wives" turut menampilkan pelakon-pelakon terkenal seperti Andy Teh (sebagai Toa Seng), Carmen Soo (sebagai Amber), Sathisvaran (sebagai Satya), Theeban G (sebagai Insp. Shahlen) dan Zeera Azizi (sebagai Izzaty). Menariknya, "First Wives" menandakan kali pertama Mimi Lana membawakan watak berkarakter komedi, satu cabaran yang pada mulanya membuatkan pelakon tersebut ragu-ragu untuk menerima tawaran tersebut. Mimi Lana dikatakan bimbang tidak dapat menyampaikan karakter komedi dengan baik.
Proses penggambaran "First Wives" yang berlangsung selama 40 hari dari 12 Februari hingga 29 Mac 2024 di sekitar Lembah Klang turut diwarnai dengan pelbagai kisah menarik di sebalik tabir .Dalam persiapan untuk menghayati watak masing-masing, setiap pelakon memilih seekor haiwan sebagai inspirasi untuk karakter mereka. Mimi Lana memilih burung merak untuk watak Diyana, Melissa Campbell memilih burung pipit untuk Michelle, Malek McCrone memilih hyena untuk Azzim, Andy Teh memilih monyet untuk Toa Seng, Carmen Soo memilih kucing Persian untuk Amber, dan Charles Roberts memilih anjing Labrador Retriever untuk Roshan.
Selain itu, Andy Teh yang melakukan kesemua adegan aksi (stunt) sendiri terpaksa mempelajari semua koreografi pertarungan pada hari penggambaran. Semasa adegan kebakaran dalam episod 6, beliau mengalami sakit tekak yang teruk dan terpaksa meminum Pei Pa Koa di antara sesi penggambaran kerana adegan tersebut melibatkan asap dan teriakan. Manakala untuk persediaan adegan tanpa baju, Andy telah melakukan pelbagai senaman sepanjang malam. Semasa penggambaran, Sathisvaran yang watak karakternya diseksa dengan cili padi telah mengalami reaksi kulit akibat biji cili, namun beliau masih meminta lebih banyak cili untuk menjadikan adegan tersebut lebih berkesan.
Yang lebih menarik, watak Michelle telah ditulis semula sebagai wanita hamil apabila penulis skrip mendapati bahawa Melissa Campbell sedang hamil dalam kehidupan sebenar. Penerbit Eksekutif "First Wives" merangkap Ketua Astro Shaw & Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro, Raja Jastina Raja Arshad, menekankan mesej utama drama ini iaitu 'Jangan pandang rendah pada wanita.'
"Kami mahu memastikan setiap kisah yang dipersembahkan di bawah Astro Originals mempunyai keseimbangan dan mampu memberi impak kepada semua penonton. Dalam 'First Wives', penonton dapat menyaksikan wanita dan persahabatan sebagai nadi utama penceritaan dan kami ingin meraikan golongan ini yang kuat dan tabah," katanya seraya menambah, jalan cerita ini bukan sekadar kisah fiksyen, tetapi cerminan realiti di mana kes curang dan kes terjerat dalam hutang suami banyak berlaku dalam masyarakat kita.
"Kami mengharapkan 'First Wives' dapat menyuntik semangat buat para wanita untuk bangkit memperjuangkan hak mereka, menuntut keadilan, dan membina kehidupan yang lebih bermakna tanpa perlu terus terperangkap dalam pengkhianatan dan bebanan," jelasnya. Drama premium 8 episod ini akan mula bersiaran bermula 11 April 2025. Penonton boleh menyaksikannya melalui platform On Demand, Astro Ultra/Ulti box dan Astro GO bermula jam 12 tengah malam, di Astro Citra (saluran 108) jam 9 malam, dan di Astro Ria (saluran 104) setiap hari Isnin, jam 9 malam.
"First Wives" juga menyaksikan kolaborasi kedua Astro Originals bersama jenama ikonik tanah air, Goodday Charge, susu diperkaya pertama di Malaysia yang mengandungi 10 nutrien penting. Kerjasama strategik ini melibatkan inisiatif promosi pemasaran untuk kedua-dua jenama dan juga penempatan produk. Astro Shaw turut menerbitkan sebuah video khas berdurasi 30 saat untuk Goodday bersempena dengan kerjasama ini.
"First Wives" dijangka akan menjadi fenomena tontonan baharu tahun ini dengan tema persahabatan, pengkhianatan dan pembalasan dendam dalam konteks masyarakat Malaysia kontemporari yang pasti akan menarik perhatian penonton dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur.