oleh: zizi hashim
“Iblis itu nyata dan tidak datang dengan tanduk dan tawa, tetapi datang dengan wajah orang yang paling kita percaya.”
Ada detik-detik dalam hidup manusia di mana suara yang paling lembut sekalipun mampu menggugurkan iman. Terkadang, ianya bukan teriakan, bukan juga jeritan, ia hanya bisikan. Namun cukup tajam untuk mengoyak akal waras, membingkai jiwa dalam kebingungan yang tak terjawab. LAKNAT, sebuah karya sinema yang akan menerobos layar pawagam Malaysia bermula 5 Jun 2025, hadir bukan sekadar sebagai tontonan, tetapi sebagai peringatan. Sebuah gema ngeri yang menggetarkan sukma, diinspirasikan dari kisah nyata tentang mereka yang terpedaya, tentang manusia yang memilih bersujud pada kegelapan demi memenuhi nafsu duniawi.
Disulam oleh tangan bijaksana sutradara prolifik Saw Teong Hin dan dibawah produksi Real Films bersama Tutan Entertainment, naskhah ini bukan sembarangan kisah seram. Ianya seram psikologi. Ianya spiritual. Ia luka yang bernanah dalam jiwa manusia yang terlalu leka mengejar cahaya palsu, hingga sanggup menukar kebergantungan kepada Tuhan dengan janji palsu iblis bernama Laqqus.
Luth, seorang lelaki yang karam dalam pencarian, kehilangan adiknya, Laila, secara tragis. Dalam kelam kehidupannya, muncul sosok yang menyamar, menjelma dari wajah-wajah yang dikenali: keluarga, sahabat, mungkin malah dirinya sendiri. Mereka bukan siapa-siapa. Mereka utusan iblis. Dan Luth, yang sudah rebah dalam duka, memilih untuk menyambut tangan itu. Tangan yang menjanjikan ‘jawapan’, kononnya. Padahal, itu cuma jerat. Kontrak kegelapan yang mengorbankan jiwa demi satu ilusi: menghidupkan kembali Laila dan menyingkap rahsia kematiannya. Di situlah perjanjian dimeterai. Dan LAKNAT pun dimulai.
Filem ini bukan sekadar mahu menakut-nakutkan, ia adalah refleksi tajam tentang bagaimana manusia, dalam putus asa dan kedukaan, boleh tersesat hingga melangkah ke lembah syirik dan khurafat. Kita selalu percaya kekuatan kita ada pada ilmu dan logik, tetapi LAKNAT menyedarkan bahawa iman yang halus dan senyap adalah satu-satunya benteng sebenar dalam menghadapi tipu daya Laqqus dan seluruh sekutunya.
“Kehidupan ini cuma ujian. Dunia hanya sebuah laluan. Dan segala bentuk penggantungan selain Allah adalah permulaan kepada kebinasaan.”
Saw Teong Hin, sutradara yang telah berkelana lebih 3 dekad dalam dunia kreatif, dari layar perak ke pentas teater, sekali lagi membuktikan kecerdikan seninya. LAKNAT menampilkan bukan hanya seram, tapi juga kedalaman jiwa, falsafah kehidupan dan spiritualiti yang jarang diangkat dalam filem tempatan. Naratifnya menembus, estetikanya menghantui. Ia menyatu dalam bahasa sinematik yang bukan sekadar visual, tetapi pengalaman mistik. Lebih dari sekadar paparan di layar, LAKNAT mendekati masyarakat dengan cara yang tidak konvensional. Konvoi e-hailing berstiker khas membelah jalan-jalan kota, 5,000 sampul raya dengan imbasan QR diedarkan kepada khalayak, dan siri jelajah bertemu penonton dijalankan agar filem ini sampai bukan hanya ke pawagam, tetapi terus ke ruang hati rakyat.
Disokong oleh D’Ayu Pictures sebagai pengedar rasmi, dan dijadualkan ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia mulai 5 Jun 2025, LAKNAT menjanjikan bukan sahaja pengalaman ngeri, tetapi juga satu perjalanan batin yang mungkin membuka mata kita tentang betapa mudahnya manusia terperangkap antara duka dan dosa.Dan mungkin, pada akhirnya, ia akan meninggalkan satu pertanyaan, "Bila terakhir kali kita benar-benar kembali kepada Tuhan sebelum iblis mengetuk pintu hati?"