Empat Live In Kuala Lumpur 2025: Cinta, Keluarga Dan Irama Bersatu Di Pentas

oleh: zizi hashim

Bayangkan sebuah malam di mana cinta, bakat, dan warisan seni bertemu dalam satu pentas. Itulah yang dijanjikan dalam 'Empat Live In Kuala Lumpur 2025'. Sebuah kolaborasi yang tak hanya luar biasa, tetapi juga menyentuh hati, konsert ini mempertemukan 4 nama besar yang bukan saja disegani dalam industri muzik tanah air, tetapi juga terikat oleh pertalian darah: Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri, dan Syamel. Bertempat di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada tanggal 18 Oktober 2025, konsert ini akan menjadi peristiwa yang sangat dinanti-nantikan. Bukan sekadar acara hiburan, 'Empat Live' adalah simbol kasih sayang keluarga, penghargaan terhadap warisan seni, dan dedikasi terhadap para peminat dari pelbagai generasi.

Menurut Anuar Zain, inisiatif konsert ini telah dirancang sejak beberapa tahun lalu, namun hanya kini berjaya direalisasikan apabila semua pihak yang terlibat dapat meluangkan masa. Katanya, “Ini bukan hanya tentang kami berempat. Ini tentang keluarga. Tentang cinta dan sokongan peminat yang tak pernah putus sejak dulu hingga sekarang.” Ziana Zain menyifatkan konsert ini sebagai sebuah 'temasya' tempat peminat dari zaman 90-an hingga Gen Z berkumpul menikmati karya 2 generasi. Meski tidak mahu terlalu menjanjikan yang “luar biasa”, Ziana percaya momen magis pasti akan terjadi bila 4 nama ini bersatu di pentas “Saya tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang, tetapi saya yakin, siapa yang datang akan pulang dengan hati penuh bahagia,” ujar beliau dengan nada tulus.

Ernie Zakri, yang bakal berkongsi pentas dengan 2 ikon yang menjadi idolanya sejak kecil, menyifatkan peluang ini sebagai impian yang menjadi kenyataan. “Saya menangis masa dapat tahu. Ini bukan sekadar peluang untuk menyanyi, ini momen berharga yang akan saya ingat seumur hidup,” kata Ernie dengan penuh emosi. Suaminya, Syamel, pula melihat projek ini sebagai satu lonjakan besar dalam kariernya. “Bayangkan berada satu pentas dengan Ziana Zain dan Anuar Zain. Bukan saja legend, tapi mereka juga keluarga saya sekarang. Saya akan berikan yang terbaik!” Berpeluang berdiri sejajar dengan 3 nama yang sangat dihormati dalam industri membuatkan beliau mahu memberikan yang terbaik. Gabungan suara mereka diyakini akan membawa warna unik kepada konsert ini.

Dengan sentuhan kreatif daripada nama besar dalam produksi konsert Malaysia, Jennifer Thompson yang akan mengemudi arah konsert ini dan Sze Wan sebagai pengarah muzik, penonton boleh menjangkakan persembahan penuh energi, nostalgia, dan harmoni vokal yang merentasi 4 dekad lagu popular Malaysia. Jennifer menambah, “Setiap satu daripada mereka ada gaya tersendiri. Tapi bila digabungkan, hasilnya sangat magis. Ini konsert yang bukan hanya wajib tonton, tapi akan jadi kenangan seumur hidup.” Beliau menyifatkan peluang bekerjasama dengan 4 penyanyi ini sebagai pengalaman seumpama “budak kecil di kedai gula-gula.” Setiap artis punya gaya tersendiri, dan itulah yang menjadikan persembahan ini unik dan sangat dinanti.

Menjanjikan banyak detik tak terlupakan dari duet istimewa, susunan lagu ikonik sehinggalah ke peluang untuk penonton menyanyi bersama. Ini bukan konsert biasa; ia adalah pengalaman seisi keluarga yang merentasi 4 dekad karya muzik. Tiket untuk 'Empat Live In Kuala Lumpur 2025' boleh dibeli mulai 25 April 2025 jam 10.00 pagi di Ticket2U. Harga bermula dari RM288 (Bronze) hingga RM2,088 (Royal Twin Seat). Buat golongan OKU, boleh hubungi talian khas +6011-1190 0518 untuk pembelian.

'Empat Live in Kuala Lumpur 2025' bukan sekadar malam hiburan. Ia adalah hadiah daripada empat hati, empat suara, dan satu keluarga kepada ribuan peminat yang telah menyokong mereka sejak dahulu. Jangan lepaskan peluang menyaksikan sejarah tercipta. Inilah masanya untuk menjadi sebahagian daripada kisah ini.