Balas Balik: Filem Detektif Penuh Saspens Tampilkan Shukri Yahya Singkap Dendam Silam

oleh: zizi hashim

Langit kota belum sempat mengendurkan warnanya saat satu berita menggoncang layar hidup. Seorang CEO ternama ditemukan terbujur kaku di ruang pejabatnya. Meja kerja rapi, jaket tergantung kemas di belakang pintu, dan secawan kopi yang masih hangat. Tapi tubuh itu sudah dingin. Mati, kata mereka. Serangan jantung, simpul awalnya. Namun siapa menyangka kematian itu justeru menjadi awal kepada sebuah siasatan paling berlapis dan mencengkam.

'Balas Balik' sebuah karya arahan Feroz Kader, membuka tirai genre penyiasatan jenayah ke dalam dunia filem Melayu dengan semangat dan gaya yang jauh daripada kebiasaan. Menolak ledakan kereta, aksi berat sebelah atau cinta-cinta klise, Feroz memilih satu hal yang lebih jujur. Kisah yang berbicara terus kepada hati manusia. Ia mengupas trauma, menelusuri dendam, dan menyentuh luka yang cuba disembunyikan oleh waktu dan masyarakat.

Membawa nama-nama besar seperti Shukri Yahaya, Tony Eusoff, Marisa Yasmin, Zarul Umbrella, Adam Lee dan ramai lagi, filem ini ditenun indah oleh penulis skrip tersohor, Siti Jasmina Ibrahim, dan diterbitkan oleh Shaibha Vision Entertainment. Tayangan rasmi akan bermula pada 29 Mei 2025, menandakan sebuah detik penting dalam perjalanan sinema tempatan yang berani menyelami tema berat dan berlapis, tanpa kehilangan sentuhan emosi yang halus.

Dalam nadi naratif 'Balas Balik', hidup seorang detektif bernama Zul (dilakonkan oleh Shukri Yahaya) menjadi benang merah yang menjalin segala teka-teki yang tersembunyi. Zul bukan hero dengan tubuh sasa atau kelengkapan canggih. Ia manusia biasa dengan mata yang tajam meneliti, dan hati yang cukup letih melihat kepalsuan. Tatkala semua menutup kes kematian Datuk Roslan sebagai takdir, Zul memilih untuk menggali lebih dalam. Dan di situlah, segala kebusukan mula menyeruak keluar dari bayang-bayang.

Zul tidak sendirian. Ada Jauhari, rakan setugas yang sabar dan setia. Dalam setiap langkah siasatan mereka, muncul wajah-wajah yang kelihatannya tidak bersalah, namun menyimpan rahsia besar Mimi, si penerima tetamu yang selalu diam namun tajam memerhati; Ikhwan, pekerja yang pernah dihina di depan umum; Danial, yang pernah punya masa depan namun dihancurkan oleh kuasa. Semua punya motif. Semua punya luka. Dan dalam luka-luka itu, lahir dendam yang tidak pernah diberi ruang untuk sembuh.

Feroz dan pasukan kreatifnya tidak mereka-reka derita. Mereka melihat realiti yang berserakan di sekeliling kita. Kisah buli yang berselindung dalam tawa pejabat, tekanan kerja yang dijadikan senjata, hierarki yang memperkosa harga diri. 'Balas Balik' adalah cermin retak yang menunjukkan betapa sistem boleh membentuk manusia menjadi binatang, dan korban berubah menjadi pemburu. Penerbit Shaiba, yang memelihara filem ini sejak awal dengan tangan yang penuh empati, mengakui bahawa inspirasi datang daripada kes-kes buli yang sering muncul dalam berita dan media sosial. Lalu terlahirlah idea untuk menuturkan kisah trauma yang tidak mati, melalui bingkai penyiasatan yang bergaya namun sarat makna.

"Trauma akibat buli bukan selesai selepas mangsa melangkah keluar dari situasi itu. Ia hidup bersama mereka. Dan kadang-kadang, dendam adalah cara mereka mencari suara," ujar Shaiba dalam satu temu bual. Nama Shukri Yahaya tidak asing dalam dunia lakonan tempatan. Pernah dikenang sebagai lelaki yang curang tanpa niat, suami yang panas baran atau penjenayah yang kejam, Shukri kini menukar langkahnya. Balas Balik menampilkan sisi berbeza dirinya—seorang penyiasat yang menggunakan intuisi dan akal, bukan tangan atau senjata.

“Kalau dulu orang tengok saya sebagai lelaki redflag, kali ini saya kena nampak bijak. Orang kena percaya saya ialah Detektif Zul yang cuba menyambung puzzle yang terburai,” kata Shukri dengan nada rendah hati. Filem ini dirakam lebih dua tahun lalu, bahkan sebelum Blood Brothers dan drama Andai Itu Takdirnya. Namun takdir mempertemukan semula watak-watak ini dengan penonton yang kini sudah terbiasa melihat Shukri sebagai antagonis. Mungkin ini waktu yang tepat untuk melihatnya memegang watak yang membawa cahaya, meski menyusuri lorong gelap.

Apa yang membuat 'Balas Balik' berbeza bukan hanya genrenya, tapi keberaniannya menyentuh luka kolektif kita. Ia tidak mengajar atau menghukum, tapi memperlihatkan. Bagaimana kuasa boleh menjadi pedang yang melukakan banyak jiwa. Bagaimana ketidakadilan mampu menjerumuskan seseorang ke lembah gelap balas dendam. Dan bagaimana keadilan tidak selalu datang dalam bentuk seragam dan undang-undang.

Lagu tema bertajuk “Balas” nyanyian Hariz Fayahet, dengan komposisi oleh Nurzaidi Abd Rahman, menjadi jiwa kecil filem ini, lirikal, emosional, dan penuh resonansi. Filem ini mungkin tidak sebesar blockbuster asing, tapi ada sesuatu yang lebih berharga, jiwa yang tulus dan cerita yang penting. Dirakam dengan latar Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang pada penghujung 2022, 'Balas Balik' bukan sebuah produksi berbelanja tinggi atau penuh CGI, tetapi setiap babaknya dirancang dengan teliti agar setiap adegan terasa penting. Tidak ada detik yang dibazirkan. Semuanya mengarah kepada satu titik: kebenaran.

Filem ini adalah pengakuan bahawa dalam hidup yang tampak tenang, sering ada api yang tak kelihatan. Kadang, manusia tidak membunuh kerana mahu, tetapi kerana tidak pernah diberi ruang untuk sembuh. 'Balas Balik' menolak untuk hanya menjadi cerita detektif. Ia mahu menjadi ingatan. Bahawa luka harus dilihat, harus didengar. Dan setiap dendam lahir daripada sesuatu yang lebih dalam daripada sekadar marah. Kerana tidak semua kematian adalah pengakhiran. Kadang, ia permulaan kepada kebenaran yang terlalu lama terkubur. Jangan lupa tayangan rasmi akan bermula pada 29 Mei 2025 ini di pawagam seluruh Malaysia.