Astro Shaw Perluas Lingkaran Sinema Serantau, 'Delivery Man' dan 'Fortune Seekers' Gerbang Baharu Filem Asia Tenggara ke Panggung Global

oleh: zizi hashim

Memperkukuh hegemoni kandungan Asia Tenggara di persada antarabangsa, Astro Shaw terus membuktikan dirinya sebagai pemain utama yang bukan sekadar mengejar arus, tetapi mendayung arus baharu. Sekali lagi mencipta resonansi baharu, Astro Shaw memeterai kerjasama kreatif bersama rumah produksi terkemuka Thailand, Night Edge Pictures, bagi penerbitan 2 naskhah seram premium yang menyentuh sisi gelap manusia iaitu 'Delivery Man' dan 'Fortune Seekers' yang kini bersiap-siaga untuk menjelajah pasaran antarabangsa, sekaligus mewakili suara Asia Tenggara dalam bahasa visual yang menggigit emosi.

Diumumkan secara rasmi di 2 pasaran filem utama dunia,  European Film Market di Berlin dan Cannes Market di Perancis, kedua-dua filem ini bukan sekadar produk hiburan, tetapi naratif antropologi yang menyelongkar sisi gelap budaya, kepercayaan dan trauma sosial yang dekat dengan jiwa penonton Asia.

Fortune Seekers, misalnya, bukan hanya sebuah filem seram. Ia adalah alegori tentang ketamakan manusia dan kepercayaan terhadap tuah luar kawalan. Watak utama, seorang pembantu klinik kecantikan yang selama ini tenggelam dalam nasib malang, menemui azimat purba yang membolehkan dia “meminjam” keberuntungan orang lain. Namun, ritual yang tampak remeh itu membuka pintu antara dunia yang tidak seharusnya disentuh, membebaskan entiti gelap yang memburu jiwa. Filem ini menjadi lebih mencuri perhatian apabila dibintangi oleh pelakon unggul Thailand, Aokbab Chutimon, bintang filem ikonik Bad Genius dan Hunger, serta pemenang International Emmy Awards 2024, yang menjadikan projek ini antara naskhah paling dinanti tahun hadapan.

Manakala Delivery Man, yang lebih psikologikal dalam nadanya, menyorot sisi obsesi manusia dalam dunia perkhidmatan gig ekonomi. Seorang penghantar makanan yang kelihatan biasa di luar, menyimpan obsesi yang kian membuak terhadap pelanggannya. Ketegangan naratif ini diperkaya oleh gandingan dua bintang berpengaruh, Bhumibhat Thavornsiri dan Ananda Everingham, dan dibalut dengan suasana bandar moden yang menyesakkan tetapi sepi secara emosi. Filem ini mengetengahkan bagaimana ruang digital yang tampak mesra boleh menjadi lorong senyap kepada kegelapan jiwa.

Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw, kolaborasi ini bukan sekadar perkongsian produksi, tetapi sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai kuasa naratif yang disegani, "Kita berada di persimpangan penting dalam sejarah sinema serantau. Dunia kini lebih terbuka untuk mendengar kisah kita. Kisah yang tidak dilicinkan untuk Barat, tetapi dibiarkan dalam keaslian, spiritualiti dan tekstur budayanya yang mentah. Melalui 2 naskhah ini, kami ingin memperlihatkan betapa besar dan luasnya ruang untuk genre seram Asia Tenggara berdiri dengan penuh harga diri di pentas antarabangsa." 

Astro Shaw bukan sahaja bertindak sebagai penerbit bersama, malah akan menggalas tanggungjawab penting dalam aspek pengedaran dan promosi di Malaysia, serta meneroka kebarangkalian penayangan global menerusi platform penstriman digital, sebuah langkah yang selari dengan perubahan landskap tontonan pasca-pandemik.

Delivery Man dijangka membuka tirai tayangan umum pada awal 2026, manakala Fortune Seekers, yang kini dalam fasa pra-produksi, menyusul sekitar suku ketiga tahun sama. Kedua-dua filem ini dijangka bukan sahaja mencetus keterujaan peminat genre seram, tetapi membuka laluan kepada lebih banyak kolaborasi rentas negara dalam membina ekosistem kandungan Asia yang inklusif dan progresif. Lebih daripada sekadar menyeramkan, dua filem ini adalah simbol bahawa dunia kini bersedia menerima kisah dari rantau ini bukan sekadar sebagai eksotik atau asing, tetapi sebagai refleksi sejagat tentang ketakutan, kepercayaan, dan sisi gelap manusia.

Dengan gabungan suara, bakat dan visi dari 2 negara yang kaya dengan sejarah dan budaya, Astro Shaw dan Night Edge Pictures membuktikan bahawa kekuatan cerita bukan terletak pada bajet semata, tetapi pada kejujuran dan keberanian mengangkat kisah yang benar-benar lahir dari nadi masyarakat. Dan apabila cerita itu dibawa dengan keindahan sinematik yang tersusun, dunia tidak akan punya pilihan lain — selain mendengar, melihat, dan merasakannya. Astro Shaw tidak lagi sekadar menjadi pembikin filem. Ia kini penyambung suara serantau dan suara itu, semakin lantang di mata dunia.