
oleh: zizi hashim
Lautan manusia malam itu kelihatan seperti keluar dari sebuah halaman Pinterest yang hidup. Stokin belang, skirt bertingkat, jaket oversized, rambut berwarna-warni, solekan edgy dan cermin mata tinted memenuhi ruang Zepp Kuala Lumpur. Seolah-olah seluruh generasi yang membesar dengan TikTok, Spotify dan budaya internet berhimpun di satu tempat untuk meraikan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar muzik.
Mereka datang untuk Naykilla. Mereka datang untuk menjadi sebahagian daripada dunia yang dibina oleh gadis bernama Nayya Rahmania itu. Dan apabila lampu mula malap sekitar jam 8.30 malam, saya dapat merasakan sesuatu yang menarik sedang menunggu untuk meledak. Konsert solo sulung Naykilla di Malaysia, Centyl in My Playground, bukanlah konsert yang cuba menjadi sempurna. Sebaliknya, ia memilih untuk menjadi hidup. Dan kadangkala, itu jauh lebih bermakna.


Sorakan mula bergema sebaik sahaja Intro dimainkan sebelum Naykilla bersama DJ JEMSII muncul di pentas. Tidak perlu menunggu lama untuk suasana bertukar hangat apabila "Bahasa Tubuhmu" membuka tirai persembahan. Ribuan suara terus menyambut setiap bait lirik seperti lagu itu milik mereka sendiri. Dari tempat duduk saya, seluruh Zepp kelihatan bergerak serentak mengikut rentak Hip Dut yang menjadi identiti unik Naykilla. Mungkin itulah kekuatan terbesar Naykilla. Dia tidak cuba menjadi penyanyi pop konvensional. Dia juga tidak cuba menjadi diva. Sebaliknya, dia tampil sebagai dirinya sendiri: sedikit liar, sedikit chaotic, tetapi sangat jujur. Aura itu terasa jelas sepanjang malam.
Selepas "Open Arms", pentas mula bertukar wajah dengan kemunculan RYO menerusi "Skip Dulu Ah". Dari situ momentum konsert bergerak semakin rancak. RYO kemudian mengambil alih pentas menerusi "Tantrum", "Sama Kamu Cuma Kamu (SKCK)", "1/10" dan "Cuma Teman", memberi warna yang lebih emosional di tengah pesta yang sedang berlangsung. Apa yang saya suka, Naykilla tidak pernah cuba memonopoli perhatian. Dia faham bahawa dunia muzik yang membesarkan namanya lahir daripada komuniti. Lahir daripada persahabatan. Lahir daripada kolaborasi. Sebab itu setiap artis jemputan diberikan ruang yang cukup untuk bersinar. Dan sebagai penonton, saya merasakan semangat kebersamaan itu.


Malam menjadi semakin menarik apabila lagu-lagu nostalgia muncul secara tiba-tiba. "Keong Racun" menerima sorakan luar biasa sebelum mash-up "Cinta Satu Malam x We Can't Be Friends" membuat ramai ketawa, menyanyi dan menari dalam masa yang sama. Pilihan lagu-lagu ini terasa nakal, tidak dijangka dan cukup menggambarkan identiti Naykilla yang gemar bermain dengan sempadan genre. Kemunculan Yung Caters pula membawa tenaga yang berbeza. Gabungan "I Heart You x Baby", "Geleng Geleng", "Bandung City (UOO)", "Stay" dan "Rumah" menjadikan Zepp KL seakan berubah menjadi sebuah festival kecil. Saya sempat memerhati sekeliling dan agak sukar mencari sesiapa yang benar-benar berdiri diam. Kepala bergoyang. Kaki bergerak. Telefon pintar terangkat ke udara. Semua orang seperti sedang menikmati kebebasan masing-masing.
Kemudian tibalah giliran Sophia Razak. Centyl in My Playground mungkin dipenuhi nama-nama Indonesia, tetapi kehadiran Sophia memberi sentuhan Malaysia yang cukup manis. Lagu "Cenat Cenut" mengundang sorakan kuat sebelum "MSG" dan "Baddie Melayu Terakhir" menaikkan lagi suhu dewan. Gabungan budaya pop Malaysia dan Indonesia malam itu terasa begitu organik, seolah-olah sempadan antara dua negara langsung tidak wujud apabila muzik mula berbicara. Salah satu momen kegemaran saya hadir ketika Naykilla mempersembahkan "Raga". Entah kenapa lagu itu terasa lebih intim apabila dibawakan secara langsung. Mungkin kerana cara Naykilla berinteraksi dengan penonton. Mungkin kerana seluruh ruang menyanyi bersama. Atau mungkin kerana ada sesuatu yang tulus dalam cara dia menyampaikan lagu-lagunya.


Dua lagu baharu yang masih belum dilancarkan, "MMG" dan "Satu Cinta di Udara", turut diperdengarkan kepada peminat. Menariknya, walaupun belum pernah didengar ramai, reaksi penonton tetap hangat. Itu petanda baik bahawa peminat Naykilla datang bukan hanya kerana lagu viral, tetapi kerana mereka benar-benar mengikuti perjalanan muziknya. DJ JEMSII kemudian mengambil alih pentas menerusi set khas sekitar 15 hingga 20 minit yang mengekalkan tenaga konsert sebelum menuju ke kemuncak sebenar malam itu. Dan ya, kita semua tahu lagu apa yang sedang menunggu. Sebaik sahaja intro "Garam dan Madu" kedengaran, Zepp meledak. Tiada perkataan lain yang lebih tepat. Meledak.
Sebelum lagu dimainkan, Naykilla sempat berkongsi kisah bagaimana suatu ketika dahulu dia pernah meminjam wang daripada rakannya hanya untuk masuk ke studio rakaman. Mendengar cerita itu sambil melihat hampir 2,000 orang menyanyikan lagu yang mengubah hidupnya terasa cukup mengharukan. Kadangkala kejayaan memang datang daripada keberanian untuk terus percaya. Dan malam itu menjadi bukti nyata. Selepas "Garam dan Madu", suasana tidak pernah menurun. "SO ASU" dan "Kasih Aba Aba" menjadi penutup yang sempurna. Seluruh Zepp bertukar menjadi satu koir besar yang menyanyikan setiap lirik dengan penuh semangat sehingga lampu pentas akhirnya dipadamkan.


Ruang indoor menjadikan pengalaman lebih intim dan interaktif. Setiap senyuman, gurauan dan interaksi Naykilla dengan peminat dapat dirasakan secara dekat. Mungkin produksi ini tidak sebesar konsert arena berskala mega, tetapi justeru kerana itulah ia terasa lebih peribadi. Jika ada kelemahan, mungkin beberapa segmen artis jemputan terasa sedikit panjang buat penonton yang kurang mengenali karya mereka. Namun energi keseluruhan konsert berjaya menutup kekurangan kecil itu. Apabila melangkah keluar dari Zepp malam itu, saya tidak pulang dengan memori tentang vokal sempurna atau efek visual luar biasa. Saya pulang dengan satu rasa. Rasa seronok kononnya kembali muda. Rasa bebas untuk bergoyang tanpa perlu memikirkan apa-apa. Rasa menjadi sebahagian daripada sesuatu yang hidup.
Dan itulah sebenarnya yang dijual oleh Naykilla. Centyl in My Playground bukan sekadar sebuah konsert. Ia sebuah taman permainan untuk generasi yang sedang mencari identiti mereka sendiri. Melihat hampir 2,000 anak muda menyanyi, menari dan ketawa bersama, saya faham kenapa ramai mula memanggil Naykilla sebagai "Biduan Gen Z". Gelaran itu mungkin kedengaran besar. Tetapi selepas malam itu, ia terasa cukup layak. Tepuk tangan yang kuat untuk Naykilla.