
oleh: zizi hashim
Meremang bulu roma! Jujur cakap... memang tak cukup, tak puas, dan mahu lebih lagi! Begitulah apa yang saya rasa apabila berdiri antara kerumunan ramai melihat tiga gunung tinggi yang memilih untuk berdiri di kaki langit pentas yang sama. Tidak berlumba menyentuh awan. Tidak juga cuba membuktikan siapa lebih tinggi. Berdiri sama rata menuju Tiga Kembara dari Tiga Kuasa yang membentuk Satu Takdir dalam Ekspidisi Mencari Sayap pada tanggal 1 Ogos 2026 yang lalu.
Kyoji Band terlebih dahulu di beri mandat memanaskan gelanggang. Empat buah lagu yang dibawa menjadi salam pembuka kepada sebuah perjalanan yang bakal menemukan tiga arah berbeza dalam satu destinasi yang sama. Meski bermula sedikit terlewat, tirai 3 Veto akhirnya dibuka bersahut sorakan gamat. XPDC muncul menyusun langkah dalam "Gerak 2000". Energinya kasar dan liar. Seluruh Mega Star Arena KL mulai bergegar. XPDC datang membawa bara. Bara yang masih menyala terang benderang meski ada yang menentang. Persetankan isu konflik tentang nama, "Talam Dua Muka" buat khalayak makin menggila.


Performa penuh bertenaga XPDC hamburkan dalam tahap paling maksima. Integriti tanpa kompromi datangnya dari entiti pemegang hakmilik ori XPDC, dah tentu dari Izo siapa lagi. Berpadu seiringan anaknya sendiri, Ariff di pentas kiri. Dua beranak dalam mood 'mencincang' gitar masing-masing tanpa ambil peduli seluruh arena berpusing. Kontribusi Mamu memegang mikrofon, Eddie menggentel bass dan Lola mengetuk dram dihadapan ribuan headbangers memenuhi baris hadapan dan belakang, buat kepala berhayun semakin kencang. Itu tanda khalayak ikut terasuk oleh arus ritma laju yang terus membawa hanyut ke "Kita Peng Yu".
Alunan balada indah "Tanggis Darah", "Aku Masih Di Sini" dan "Titian Perjalanan" mencairkan gegendang telinga buat seketika. Malam kian ghairah tatkala "Selendang Merdeka" berkibar megah. Lagu demi lagu terus membakar seluruh arena tanpa belas kasihan. "Nyanyuk" buat khalayak mulai sakit tengkuk namun semua masih terus rancak rockin' terhanguk-hangguk. Tak lama kemudian rentak catchy "Monggol Dah Pulang" ajak khalayak bergoyang. Cukup terhibur, "Apa Nak Dikata" buat seluruh arena bergema dengan sing-along berjemaah. Malam semakin panas, masih rasa XPDC tak cukup ganas? Crowd makin tak sabar menunggu giliran siapa pula naik pentas.


Peluru pertama "Melastik Ke Bintang" tiba-tiba dilontarkan. Di lastik... melayang, bukan ke langit semata-mata tetapi tepat ke dada mereka yang sejak sekian lama menjadikan lagu itu sebagai anthem berjuang. Search menjejak panggung dengan kelibat teraju utama Kid dan Din gah di posisi gitar utama dan ritma. Berbekalkan kredibiliti dan portfolio hebat, keunikan bunyi gitar petikan duo adik-beradik yang lebih dikenali dgn gelar KidDin ini tidak pernah gagal mencipta remang. Riff gitar rancak "Pelesit Kota" dan "Di Pintu Sepi" buat fanatika bernyanyi serentak. "Bersalah Atau Tidak" menyentuh hati pada nada penuh emosi.
"Gothik Malam Edan" membantai garang "Panggung Khayalan" sekaligus memperlihatkan konsistensi hentakan dram Min berpadu dengan deruan bass kompleks Wan Braka dan vokal penuh energi Pasya, silang-menyilang. Lantas apabila lagu kegemaran saya "Neo Romantik" berkumandang, Search membuka peluang semua yang datang untuk berdansa berjemaah dalam evolusi rock kental cemerlang. Melihat ribuan rockers tetap antusias dan begitu menikmati, namun apabila masa mencemburui, sayangnya terpaksa memotong banyak lagu dalam setlist buat hati rasa tak puas. "Kereta Merah" sukses buat nuansa jadi hingar-bingar, segenap Mega Star Arena KL ikut bergegar.


Segalanya bermula "Dari Tuhan", Wings buat kerumunan manusia tenggelam dalam keasyikan getar rasa yang mencuit jiwa. Telefon bimbit menyala di sini sana, tidak mahu ketinggalan merakam suasana bersejarah menyaksikan gergasi rock Malaysia beraksi di hadapan mata. Pesta muzik keras syahdu buat seketika sebelum Wings menghentam lagu "Jerangkung Dalam Almari" yang mencipta kucar-kacir tanda malam belum mahu berakhir. Pentas semakin huru hara benar-benar 'kasi pecah' apabila "Lubuk Pusing" berdenting. Gempita sorakan membangkit ghairah dalam nuansa meriah yang melimpah-ruah. Sham dan Edrie beradu padu di posisi gitar merdu, didakap erat deruan bass padu Am dan dentuman dram hebat Pae mengikut rapat, tepat dan melekat.
Dan Dato' Awie? Dia berdiri di atas singgahsana penuh pesona. Dengan cahaya karisma penuh gemilang, dia tidak pernah gagal menakluk setiap jiwa yang hadir dengan aura yang tak ada tolok banding. Penampilan penuh energi dari Awie menyuntik adrenalin luarbiasa pada malam konsert 3 veto yang semakin membara. "Jumpa Hilang" menyambung kacau-bilau sebelum lembut alunan nada "Di Ambang Wati" buat khalayak jadi angau dan sasau. Vokal merdu Awie menggigit setiap telinga yang mendengar, masuk menusuk terus ke dalam jantung. Wings kemudian mengajak khalayak meredah "Hutan Simpan", hutan yang masih teguh berdiri. Sama seperti akar rock yang terus mencengkam bumi meski musim silih berganti.


Di kanan pentas, Edrie dinamik dengan solo merecik manakala Sham maintain versatile penuh karisma. Am dan Pae turut memberi kontribusi padu dan jitu. Tidak saya nafikan, kesemua musisi malam itu memberikan 100% yang terbaik. "Opera Hidup" menjadikan malam semakin gempita. Opera tentang kehidupan yang tidak ditulis pada helaian skrip tetapi ditulis pada wajah-wajah yang tersenyum. Pada mata-mata yang berkaca. Dan pada suara-suara yang tidak pernah jemu menyambung setiap bait senikata. "Ingatkan Dia" mana mungkin dilupakan. Ketika dia memilih untuk terus tinggal, untuk setia, untuk terus memikul... namun, setiap kali badai datang, dia juga yang sering menerima tempiasnya.
Mungkin begitulah harga sebuah kesetiaan. Tidak selalu diraikan. Kadangkala dipersoalkan. Selebihnya selalu dipersalahkan. Namun tetap memilih untuk tidak meninggalkan meski perjalanan itu tidak selalu lurus, tidak selalu mudah, dan tidak selalu difahami. "Lipas Kudung" menutup tirai Wings dengan ledakan yang mengembalikan seluruh arena kepada fitrah rock yang sebenar. Liar... bebas... menggila... Bak kata Awie pada penghujung lagu "Baru kau kenal penangan ku!" Memang seluruh Mega Star Arena KL betul-betul terkena penangannya! Lantas Awie memanggil seluruh jentera instrument XPDC dan Search untuk berkumpul semula naik ke pentas beramai-ramai.


"So Lonely", lagu ikonik Loudness itu berubah menjadi salam hormat. Salam persahabatan. Salam penghargaan. Tiga suara. Tiga nama. Tiga perjalanan. Lebih 20 musisi disatukan dalam satu penutup yang cukup bermakna. Performa dan aura rockstar sejati yang bukan calang-calang, berdiri gah sebesar nama legenda XPDC, Search dan Wings, side by side. Disambut sorakan gemuruh, kolaborasi pertama kali 3 band berkuasa veto ini muafakat berkongsi dan berkomunikasi melalui tali dan jari, sampai terus direct ke hati. Malam itu, khalayak yang hadir 'punch card' di Mega Star Arena KL meraikan seni dengan penuh apresiasi, itu yang pasti.
Ekspidisi mencari sayap itu berakhir dengan rasa masih ada yang tercicir. Mengharapkan kesinambungan, ramai yang tidak puas, ramai yang merasa tidak cukup dan sedikit tergesa-gesa. Mungkinkah akan ada edisi kedua? Sama-sama kita nantikan. Gabungan XPDC, Search dan Wings mencipta gelora yang auto membuat semua berdiri terpaku dan vibrate bersama. Syabas Bintang Batu Event atas keberjayaan Konsert 3 Veto yang penuh keramat ini. Konsert gempak yang sangat menghiburkan, setiap moment padat dan sarat berisi magis dan memoribilia yang akan dikenang sampai bila-bila! Ternyata kuasa rock di bumi Malaysia masih ampuh dan teguh! Sampai jumpa lagi!

