
oleh: zizi hashim
Ketara terasa ada satu aura yang berbeza saat Yusry melangkah ke pentas pada malam 25 Julai 2026 itu. Tiada usaha untuk mengulang kegemilangan masa lalu, jauh sekali bergantung kepada nostalgia semata-mata. Saya melihat seorang pemuzik yang hadir dengan keyakinan baharu, ingin memperkenalkan dirinya sekali lagi kepada semua yang berada di hadapan pentas. Bukan sebagai Yusry KRU. Tetapi hanya Yusry. Atau jika perlu, Yusry Abdul Halim.
Pilihan itu mungkin kedengaran sederhana, namun semakin lama showcase berlangsung, semakin saya faham mengapa dia begitu mahu membezakan perjalanan solo ini daripada legasi yang dibinanya bersama KRU. Rasa hormat terhadap nama besar kumpulan itu jelas terpancar, namun dalam masa yang sama dia juga mahu khalayak mengenali warna muzik yang lebih dekat dengan dirinya sendiri. Malam pelancaran album Eternal di JioSpace terasa cukup intim. Tidak terlalu gah sehingga menenggelamkan muzik, dan tidak terlalu kecil sehingga kehilangan aura sebuah pelancaran. Ia seperti ruang untuk Yusry bercerita tentang dirinya selepas lebih dua dekad meninggalkan album solo.


Introduksi "Dekat Padamu" versi Rock membangkit teruja. Lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan solonya pada tahun 2003. Mendengarnya semula umpama membuka album gambar lama. Melodinya masih akrab, tetapi penyampaiannya malam itu terasa jauh lebih matang. Suara yang pernah mengiringi zaman remaja ramai peminat kini membawa lapisan emosi yang lebih dalam, lahir daripada pengalaman hidup yang telah banyak mengubah manusia bernama Yusry. Momentum berubah apabila "Narsisistik" pula bergema. Lagu baru ini memperlihatkan sisi yang lebih segar, berani dan relevan dengan realiti hari ini. Saya suka bagaimana Yusry mengangkat fenomena obsesi terhadap imej dan media sosial tanpa terasa menghakimi. Sebaliknya, ia hadir seperti sebuah pemerhatian yang mengajak kita sama-sama merenung diri.
Nuansa bertukar hangat apabila Yusry menghadiahkan dua lagu rock legenda, "I Don't Want To Miss A Thing" nyanyian Aerosmith dan "Here I Go Again" dari Whitesnake. Pilihan yang mungkin tidak dijangka, namun sangat serasi dengan identiti rock yang kini ingin diterokainya. Saya sempat berteriak, "Whoa!" kerana tak sangka. Sedapnya suara Yusry nyanyi lagu rock. Sangat rare! Sorakan penonton membuktikan keberanian itu tidak sia-sia. Malam itu saya tidak melihat seorang artis yang sedang mencuba menjadi orang lain. Saya melihat seorang pengkarya yang akhirnya memberi ruang kepada dirinya untuk menjadi apa yang benar-benar ingin disampaikan sejak sekian lama.


Perjalanan showcase ini mula terasa lebih peribadi apabila Yusry mempersembahkan "Hancur & Kecewa" dan "Jiwa & Raga", dua karya hasil kolaborasinya bersama Luca Sickta. Kedua-dua lagu itu membawa emosi yang berbeza, namun saling melengkapi. Satu berbicara tentang kehilangan dan keberanian untuk melepaskan, manakala satu lagi mengangkat makna cinta yang dibina atas kesetiaan dan pengorbanan. Cara Yusry menyampaikan setiap bait membuatkan saya percaya lagu-lagu ini bukan sekadar dinyanyikan, tetapi benar-benar dihayati.
Apa yang paling saya hargai ialah keberanian Yusry keluar daripada zon selesanya. Album Eternal tidak cuba mengejar trend semasa atau mengulang formula yang pernah menjadikan KRU sebuah fenomena. Ia memperlihatkan seorang pemuzik yang memilih untuk berkembang mengikut usia dan pengalaman. Setiap lagu hadir dengan identitinya sendiri, namun masih bersatu di bawah satu tema yang sama iaitu tentang perkara-perkara yang kekal bersama manusia sepanjang kehidupan; kenangan, kehilangan, harapan dan kasih sayang.


Sepanjang malam itu, saya dapat merasakan betapa besarnya kecintaan Yusry terhadap projek solo ini. Dia tidak pernah cuba memadam sejarah bersama KRU. Malah, dia beberapa kali menegaskan bahawa penggunaan nama Yusry atau Yusry Abdul Halim adalah tanda penghormatannya kepada KRU. Baginya, muzik yang dibawakan kali ini mempunyai jiwa yang berbeza, lebih dekat dengan citarasa rock moden yang selama ini mungkin belum pernah diterokai sepenuhnya. Kejujuran itulah yang membuatkan showcase ini terasa istimewa.
Usai persembahan, Yusry mengakui perasaannya bercampur-baur. Lega kerana akhirnya album yang diusahakan sekian lama menemui pendengar, tetapi dalam masa yang sama masih tertanya-tanya bagaimana penerimaan peminat terhadap sisi baharu dirinya. Harapannya sederhana: dia mahu peminat yang selama ini sekadar memerhati dari jauh akhirnya memberi peluang kepada muzik yang dibawanya, lalu jatuh cinta kepada identiti rock yang kini menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya. Dalam masa yang sama, Yusry turut mengajak peminat terus memberikan sokongan kepada dua individu yang paling dekat dalam perjalanan muziknya, Norman dan Edry, yang juga bakal muncul dengan projek solo masing-masing dalam masa terdekat. Tiada persaingan yang cuba dicipta. Sebaliknya, yang terpancar hanyalah rasa bangga melihat setiap daripada mereka kini bebas meneroka dunia muzik mengikut acuan sendiri.


Selain itu, ada 3 lagi karya yang diperkenalkan menerusi tayangan video muzik rasmi di skrin utama iaitu "Pelengkap Hidup" membawa penghargaan terhadap keluarga dan insan yang sentiasa menjadi tempat berpaut ketika jatuh dan bangun. "Kasarnya Cinta" pula menyelami sisi hubungan yang diuji oleh kepercayaan, kesetiaan dan luka, manakala "Kamu Harus Tahu" mengangkat kisah tentang janji, penyesalan dan harapan yang tidak sempat dilafazkan. Meski tidak dipersembahkan secara langsung, visual yang mengiringi ketiga-tiga lagu itu sudah cukup memberi bayangan tentang emosi yang ingin disampaikan, sekaligus membuatkan saya semakin ingin menghayati keseluruhan album. Enam karya ini akhirnya membentuk Eternal sebagai sebuah perjalanan yang meraikan pelbagai warna kehidupan daripada cinta, kehilangan dan keluarga hinggalah pemerhatian terhadap realiti masyarakat hari ini.
Menjelang penghujung showcase, saya semakin yakin bahawa Eternal bukan sebuah album yang dibina untuk mengejar angka penstriman atau carta populariti. Ia adalah sebuah catatan peribadi yang akhirnya dipilih Yusry untuk dikongsi bersama pendengar. Setiap lagu menjadi cebisan pengalaman yang disusun kemas, membentuk sebuah perjalanan yang jujur tentang kehidupan, cinta, kehilangan dan harapan. Mungkin itulah sebabnya tajuk Eternal begitu tepat. Ada kenangan yang tidak pernah hilang. Ada luka yang akhirnya mengajar kita menjadi lebih kuat. Ada kasih sayang yang terus hidup meski masa sentiasa bergerak ke hadapan. Semua rasa itu bergema sepanjang malam, menjadikan persembahan ini lebih daripada sekadar pelancaran album.
Saya melihat seorang pengkarya yang akhirnya benar-benar berdamai dengan dirinya sendiri. Yusry tidak lagi cuba membuktikan siapa dirinya. Dia hanya mahu muziknya didengari. Dan itulah keberanian paling besar bagi seorang seniman yang sudah lebih tiga dekad berada dalam industri. Terus-terang, saya tidak pernah meletakkan diri sebagai peminat tegar Yusry. Selama ini saya lebih mengenalinya sebagai sebahagian daripada fenomena bernama KRU. Apabila dia mengumumkan projek solo ini, saya sekadar memerhati dari jauh. Rasa ingin tahu itu ada, tetapi keterujaannya belum hadir. Saya akui saya termasuk dalam kelompok yang sering disebut berada "di atas pagar".
Ironinya, saya yang selama ini hanya memerhati akhirnya menjadi antara orang yang benar-benar jatuh cinta dengan arah baharu yang sedang dipilihnya. Daripada pilihan lagu, cara dia menguasai pentas, sehinggalah keberanian menyanyikan karya-karya rock, semuanya membuatkan aku melihat sisi yang selama ini mungkin tidak pernah saya kenali. Tahniah, Yusry. Semoga Eternal terus menemukan ruang istimewa dalam hati pendengar lama, sambil membuka pintu kepada generasi baharu yang bakal mengenali seorang pemuzik bernama Yusry. Bukan kerana legasi masa silam, tetapi kerana keberanian mencipta lembaran baharu.

Album Eternal kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama.