Satu Era Dalam Empat Warna, 'Konsert Indiescovery' Jadi Rumah Untuk Semua Memori

oleh: zizi hashim

Tarikh 18 Julai 2026 membawa saya pulang dengan jiwa penuh ke sebuah waktu yang pernah menjadi tempat berteduh. Tahun berganti, usia beranjak semakin dewasa, namun bait-bait yang pernah menemani zaman remaja tetap enggan hilang daripada ingatan kita. Mungkin itulah yang membuat langkah saya begitu teruja menuju Zepp Kuala Lumpur malam itu. INDIESCOVERY bukan sekadar menghimpunkan empat nama besar di atas satu pentas yang sama, tetapi menyatukan semula sebuah generasi yang pernah membesar bersama bunyi gitar, dentuman dram dan lirik yang menjadi bahasa jiwa.

Sekitar 1,500 peminat memenuhi setiap ruang Zepp KL, terasa bagai perjumpaan semula, tempat setiap orang kembali mencari sebahagian daripada dirinya yang pernah tertinggal pada sebuah zaman bernama indie. Dengan satu rasa yang sama, Noise, tidak menunggu lama untuk membakar suasana. "Sk8ter Boi" dijadikan pencetus tenaga sebelum mereka menghidangkan medley "Chemistry", "Miss Flower Learn To Twist", "Kucing Hitam" dan "Malam Ini Kita Punya". Meski sekadar membuka gelanggang, mereka berjaya memanaskan 'enjin' Zepp KL dengan cukup cemerlang. Penonton mula bernyanyi, bertepuk tangan, dan melupakan segala penat yang dibawa dari luar. Malam yang pada awalnya tenang perlahan-lahan berubah menjadi sebuah pesta yang penuh keriangan.

Sorakan bertambah panjang apabila Masdo mengambil alih pentas dengan gaya retro yang tidak pernah hilang pesona. Sejak petikan pertama "Lautan Asmara", seluruh ruang yang dipenuhi lautan manusia kembali ke zaman ketika muzik dimainkan tanpa perlu terlalu banyak helah. Aura mereka cukup bersahaja, namun itulah yang membuatkan setiap persembahan terasa istimewa. Mereka tidak memaksa penonton untuk berseronok, sebaliknya muzik itu sendiri mengajak semua yang hadir hanyut bersama. Momentum terus diperkaya menerusi "Begini Jadinya", sebelum "Janji Manis" disambut dengan nyanyian beramai-ramai yang bergema dari setiap penjuru dewan.

"Esokkan Ada Lagi", "Teristimewa", "It's Always Been You", "Dewi Puspita", "Dinda" dan akhirnya "Bercanda Di Malam Indah" mengalir satu demi satu tanpa terasa terburu-buru. Setiap lagu diberi ruang untuk bernafas, setiap melodi diberi peluang untuk kembali menyapa hati yang mungkin sudah lama merinduinya. Apa yang saya suka tentang Masdo bukan sekadar susunan lagunya yang sentiasa menghiburkan, tetapi keupayaan mereka membina suasana yang begitu mesra. Di atas pentas mereka kelihatan santai, di bawah pentas penonton pula tidak pernah berhenti tersenyum. Jarang sekali saya melihat sebuah persembahan mampu membuat ribuan manusia yang datang daripada latar berbeza terasa begitu akrab dalam satu ruang yang sama.

Seusai Masdo melabuhkan persembahan penuh warna, pentas perlahan-lahan bertukar wajah. Lampu menjadi lebih suram, tona muzik pula semakin dalam. Tibalah giliran Bittersweet, sebuah nama yang tidak pernah gagal membangkitkan rasa buat mereka yang pernah membesar bersama gelombang indie tempatan. Sejenak "A Perfect Match" bergema, saya dapat merasakan seluruh Zepp KL berubah nuansa. Tiada lagi senyuman riang seperti sebelumnya, sebaliknya penonton mula tenggelam dalam melodi yang lebih galau, lebih jujur, lebih dekat dengan sisi kehidupan yang pernah mengajar kita tentang kehilangan dan harapan.

Perjalanan emosi diteruskan menerusi medley "Come On" dan "Simone", disusuli "Control", medley "Burn It Down" bersama "1234", sebelum "Shiver", "Purnama", "Capital E" dan "Kucing Hitam" melengkapkan set mereka dengan cukup mengesankan. Setiap lagu membawa warna yang tersendiri, namun semuanya disatukan oleh karakter Bittersweet yang tidak pernah cuba menjadi sesiapa selain diri mereka sendiri. Itulah sebabnya karya-karya mereka terus hidup merentas zaman, kerana ia lahir daripada rasa yang benar-benar jujur.

Malam yang berjalan lancar itu bagaimanapun bertukar cemas apabila vokalis Bittersweet, Pijan, terjatuh dari pentas ketika sedang menghiburkan penonton. Untuk beberapa ketika, sorakan bertukar sunyi. Wajah-wajah yang tadi dipenuhi senyuman mula diselubungi kerisauan. Mujur semuanya tidak berpanjangan. Dengan semangat yang mengkagumkan, Pijan kembali berdiri, mencapai semula mikrofon di tangan, lalu meneruskan persembahan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Di situlah saya melihat makna sebenar profesionalisme seorang pemuzik. Ada kalanya sebuah persembahan tidak diingati kerana kesempurnaannya, tetapi kerana keberanian seseorang bangkit selepas diuji.

Belum sempat debaran reda, pentas kembali bergegar dengan kemunculan Butterfingers. Sorakan yang bergema sebaik kelibat mereka muncul sudah cukup membuktikan bahawa nama itu masih mempunyai tempat yang begitu istimewa dalam sejarah muzik alternatif Malaysia. Tanpa perlu banyak bicara, mereka terus menyambar pentas menerusi "Girl Friday", diikuti "Skew", "E", "Still River", "Love" dan "Delirium". Bunyi gitar yang tebal, tona overdrive yang kasar serta permainan ritma yang padat terus memenuhi ruang Zepp KL, menghidupkan semula roh grunge yang pernah membentuk identiti sebuah generasi pada penghujung 90-an.

Apa yang membuatkan Butterfingers terus dihormati ialah mereka tidak bergantung kepada gimik atau persembahan berlebihan. Mereka membiarkan muzik berbicara dengan caranya sendiri. Setiap petikan gitar, setiap hentakan dram dan setiap bait lirik terasa cukup untuk mengembalikan memori kepada zaman ketika muzik alternatif menjadi ruang paling jujur untuk meluahkan keresahan, pemberontakan dan kebebasan. Saya melihat ramai yang menyanyi sambil memejamkan mata, seolah-olah sedang kembali kepada diri mereka yang pernah suatu ketika dahulu.

Tatkala malam menghampiri penghujungnya, Bunkface muncul membawa ledakan tenaga yang sama sekali berbeza. Jika Butterfingers membawa penonton menyelami nostalgia yang lebih kelam, Bunkface pula mengembalikan senyuman dengan semangat pop punk yang sentiasa membakar adrenalin. "Panik" membuka set mereka dengan cukup bertenaga sebelum disambung "Ekstravaganza", "Dunia", "Rentak Laguku", "Darah Muda", "Situasi" dan akhirnya "Revolusi" yang menjadi penutup paling sempurna buat malam tersebut.

Tak perlu menunggu lama untuk melihat seluruh dewan bertukar menjadi sebuah koir gergasi. Dari depan pentas hinggalah ke bahagian paling belakang, penonton menyanyi bersama tanpa henti. Ada yang melompat mengikut rentak, ada yang mengangkat tangan tinggi ke udara, malah ada yang saling berpelukan sambil menghabiskan setiap rangkap lagu. Saat itu saya sedar, lagu-lagu Bunkface bukan lagi sekadar karya yang dimainkan di radio suatu ketika dahulu, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup ramai yang hadir malam itu.

Keistimewaan INDIESCOVERY sebenarnya bukan terletak pada barisan nama besar yang berjaya dihimpunkan, tetapi pada keberanian konsert ini meraikan kepelbagaian. Masdo membawa pesona retro, Bittersweet menghidangkan emosi indie rock, Butterfingers menghidupkan semula aura grunge, manakala Bunkface menutup malam dengan semangat pop punk yang tidak pernah kehilangan taring. Empat identiti berbeza, empat perjalanan yang tidak sama, namun semuanya berkumpul di bawah satu bumbung dengan tujuan yang serupa: meraikan muzik yang lahir daripada kejujuran berkarya.

Saat lampu dewan kembali menyala, saya melihat ramai yang masih enggan berganjak. Ada yang terus berbual tentang lagu kegemaran, ada yang sibuk merakam gambar terakhir, ada juga yang sekadar berdiri memandang pentas kosong dengan senyuman yang sukar disembunyikan. Agaknya masing-masing tahu, malam seperti ini tidak selalu datang. Apabila ia berlalu, yang tinggal hanyalah cerita untuk dikenang dan lagu untuk terus diputarkan.

INDIESCOVERY mengingatkan saya bahawa muzik indie tidak pernah mati ditelan zaman. Ia mungkin berubah wajah, bertukar generasi dan berkembang mengikut masa, tetapi karya yang pernah menyentuh hati akan sentiasa menemukan jalan pulang kepada pemiliknya. Malam di Zepp Kuala Lumpur itu membuktikan satu perkara yang cukup indah: apabila muzik lahir daripada kejujuran, ia tidak pernah mengenal usia, dan apabila nostalgia kembali bersuara, seluruh jiwa akan turut bernyanyi bersama. Jumpa lagi di INDIESCOVERY akan datang!

Foto Kredit: Judinxe / Imal Nasir

Comments
* The email will not be published on the website.