Ketika Simfoni Bertaut Harmoni, 'ROCKESTRA 5.0' Menjulang Rock Ke Puncak Prestasi

oleh: zizi hashim

Mentari senja belum pun sepenuhnya menghilang, namun langkah-langkah manusia sudah mulai datang bertandang. Ada yang membawa keluarga tersayang, ada yang hadir bersama sahabat seperjuangan. Masing-masing berkongsi tujuan yang sama, meraikan rock dalam wajah yang berbeza. Panggung Anniversari malam itu bukan sekadar sebuah pentas terbuka, tetapi seumpama halaman istana tempat melodi dan harmoni saling bersua.

Enam puluh pemuzik Orkestra Kuala Lumpur di bawah kendalian Isa Ismail benar-benar menjadi nadi sepanjang persembahan. Setiap gesekan biola terasa hidup, setiap tiupan brass memberi degup, setiap dentingan perkusi menyusun denyut. Rock yang selama ini sinonim dengan bunyi keras dan padat, tiba-tiba memperoleh ruang untuk bernafas dengan lebih megah dan sarat. Tidak sekali pun susunan orkestra menenggelamkan identiti asal lagu. Sebaliknya kedua-duanya saling memimpin, saling mengimbangi, saling melengkapi.

Apabila lampu mulai malap perlahan, khalayak menanti dalam debaran. Opening Overture membuka gelanggang penuh tenang, sebelum "Highway Star" memecut deras, tak memberi ruang untuk bernafas panjang. Belum pun nadi sempat kembali seimbang, Muzza menyambar "Bara Jiwa" bak api menjulang terang. Sejak detik itu saya sudah mengerti, malam ini bukan tentang siapa paling tinggi menyanyi, tetapi bagaimana sebuah orkestra mampu mengubah lagu yang sudah sebati menjadi pengalaman yang terasa baharu sekali lagi.

Improvisasi Muzza menerusi "Srikandi Cintaku" membawa warna yang cukup berbeza. Susunan simfoni menjadikan lagu itu terasa lebih agung, lebih luas, lebih berlapis daripada versi asal yang selama ini akrab di telinga. Vokalnya pula kekal bertenaga, berpaut indah dengan setiap lapisan instrumen yang bergerak penuh tertib. Saya menyukai bagaimana orkestra tidak cuba mengambil alih pentas, sebaliknya memberi ruang kepada lagu untuk berkembang dengan caranya sendiri.

Pengacara Isma Halil Hamzah menghidupkan suasana tanpa perlu berlebih kata. Celotehnya santai bersahaja, namun cukup bijak menyambung satu segmen ke satu segmen yang berikutnya. Penonton ketawa bersama, kemudian kembali hanyut apabila muzik mula berbicara. Ada kalanya peranan pengacara dipandang sebelah mata, sedangkan malam itu beliau menjadi jambatan yang memastikan perjalanan konsert terus mengalir tanpa cela.

Lebih mengujakan, kemeriahan ROCKESTRA 5.0 jelas terasa bukan sahaja di atas pentas, malah turut terpancar daripada ribuan penonton yang memenuhi setiap ruang Panggung Anniversari. Ada yang menyanyi bersama mengikut setiap bait lagu, ada yang mengangkat telefon merakam momen kegemaran, malah tidak kurang juga yang berdiri menghayati setiap dentuman muzik dengan tepukan dan sorakan yang tidak pernah putus. Setiap kali sesebuah lagu melabuhkan tirainya, ruang terbuka itu bergema dengan tepukan gemuruh sebagai tanda penghargaan kepada para pemuzik dan artis yang bertungkus-lumus memberikan persembahan terbaik. ROCKESTRA  terbukti menjadi sebuah perayaan muzik yang berjaya menyatukan peminat daripada pelbagai latar belakang, generasi dan cita rasa dalam satu malam yang penuh semangat dan kebersamaan.

Rentak rancak diteruskan lagi apabila bebayang Pat Candy dan Anis Kalisa menjelma dalam suram pentas. Kemunculannya mengubah warna pentas kepada nuansa yang lebih melodik. Menerusi "Bagaikan Permata" dan "Akan Ku Tunggu", Pat membuktikan bahawa kekuatan sesebuah lagu tidak hanya terletak pada vokal, tetapi juga pada cara emosi itu diterjemahkan. Alunan strings yang mengiringi setiap rangkap menjadikan kedua-dua lagu terasa lebih syahdu, sementara tiupan woodwind dan brass memberi lapisan yang lebih dramatik tanpa menenggelamkan keaslian melodi. Dan apabila "Sweet Child O' Mine" lunak berkumandang, suasana bertukar lebih bertenaga. Intro gitar ikonik yang cukup dikenali disambut megah oleh orkestra, menghasilkan gabungan klasik rock dan simfoni yang kedengaran begitu serasi.

Lan Solo tampil penuh yakin menerusi "Seragam Hitam", "Memburu Impian" dan "Dipenjara Janji". Ketiga-tiga lagu itu diberikan sentuhan baharu tanpa menghilangkan identiti asal yang sudah lama melekat di hati peminat. Kekuatan vokalnya terus menjadi tunjang, manakala susunan orkestra memberi ruang kepada setiap lagu berkembang dengan skala yang lebih luas. Ada bahagian yang terasa lembut dan romantis, kemudian bertukar gagah apabila keseluruhan seksyen orkestra bergerak serentak. Perubahan dinamika itu menjadikan setiap lagu mempunyai perjalanan emosinya yang tersendiri.

Pasya menjejak pentas dengan "Balada Pemuzik Jalanan" mengajak penonton menyusuri kisah yang penuh penghayatan sebelum menyambung momentum menerusi "Aku Tak Cinta" dan "Tiara". Namun sebaik sahaja intro "Bohemian Rhapsody" bergema, seluruh Panggung Anniversari seakan-akan berhenti bernafas seketika. Membawakan karya agung Queen bukanlah tugas mudah, tetapi Pasya berjaya menyampaikan lagu itu dengan penuh hormat terhadap versi asal sambil mengekalkan identiti vokalnya sendiri. Susunan orkestra yang megah menjadikan setiap pertukaran tempo dan emosi terasa lebih dramatik, sementara bahagian koral memberikan impak yang cukup besar sehingga penonton menghadiahkan tepukan gemuruh sebaik persembahan melabuhkan tirainya.

Disitulah antara detik yang benar-benar memperlihatkan kehebatan konsep ROCKESTRA. Kehebatan ROCKESTRA 5.0 tidak terhenti pada persembahan para artis semata-mata. Paparan visual LED yang disusun mengikut naratif setiap lagu, permainan cahaya yang sentiasa berubah mengikut emosi muzik, grafik digital yang hidup serta penyelarasan teknikal yang begitu teliti berjaya melengkapkan keseluruhan pengalaman audiovisual. Setiap elemen saling menyokong tanpa berlebihan, menjadikan persembahan terasa lebih sinematik dan imersif.

Kemunculan CDNaz daripada Metalasia menerusi "Seruan" pula menjadi jambatan kepada kemuncak persembahan. Energi yang dibawanya cukup untuk membangkitkan semula adrenalin penonton. Vokal serak basah yang lantang dipadankan dengan susunan orkestra yang lebih dramatik, menjadikan karya tersebut tampil lebih besar dan lebih berkarisma berbanding versi yang biasa didengari. Malam yang sudah sedia hangat lantas mencapai kemuncaknya apabila CDNaz menjemput King Shah bersama penyanyi jemputan CA-AH memeriahkan pentas menerusi "Khalifah Alam Maya" dan "Puspasari Penawar Puteri". Gabungan muzik metal yang keras dengan susunan simfoni berskala besar menghasilkan persembahan yang terasa sinematik dan penuh epik.

Riff gitar yang berat terus mendominasi, namun gesekan strings, tiupan brass dan permainan perkusi orkestra memberi dimensi yang jauh lebih luas kepada keseluruhan persembahan. Kehadiran CA-AH pula melengkapkan warna vokal yang berbeza, menjadikan kedua-dua karya itu lebih dramatik dan penuh jiwa. Unsur budaya tempatan yang menjadi identiti Metalasia turut diperkayakan oleh susunan orkestra sehingga menghasilkan sebuah pengalaman muzik yang bukan sahaja gah, malah cukup unik untuk dikenang.

Hampir tiga jam berlalu tanpa benar-benar terasa. Itulah kekuatan sebuah konsert yang dirancang dengan penuh teliti. Saya percaya kejayaan ROCKESTRA 5.0 bukan hanya kerana menghimpunkan nama-nama besar di atas satu pentas, tetapi kerana keberaniannya membuktikan bahawa rock dan simfoni mampu berdiri seiring tanpa perlu mengorbankan identiti masing-masing. Sebaliknya, kedua-duanya saling memperkayakan sehingga melahirkan sebuah pengalaman muzik yang segar, megah dan mengujakan.

Tahniah kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Orkestra Kuala Lumpur, konduktor Isa Ismail, barisan artis serta seluruh tenaga produksi yang menjadikan ROCKESTRA 5.0 sebuah persembahan bertaraf tinggi. Malam itu bukan sahaja meraikan lagu-lagu yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup ramai peminat, malah membuktikan bahawa apabila dua dunia muzik bertemu dengan visi yang jelas, hasilnya mampu meninggalkan gema yang terus berdenting lama di dalam ingatan.

Foto Kredit: Amber Chan & Pancart

Comments
* The email will not be published on the website.