
oleh: zizi hashim
Dalam gementar nafas panjang, malam 18 Oktober 2025 bermula perlahan. Dari jauh, kerlipan lampu di Mega Star Arena terasa seperti detak jantung sebuah kota yang rindu pada keindahan suara manusia. Saat melangkah masuk ke ruangan besar itu, saya tidak hanya melihat ribuan wajah, tapi juga melihat diri sendiri, seorang pencinta seni yang datang mencari makna di antara gema lagu dan cahaya. Semesta bagai berhenti seketika untuk memberi ruang pada empat jiwa yang bakal menyalakan keindahan.
Empat Live in Kuala Lumpur 2025 terasa seperti perhimpunan kasih sayang; sebuah doa yang dilantunkan oleh empat jiwa yang pernah menyentuh hati berjuta pendengar setia. Anuar Zain, Ziana Zain, Ernie Zakri dan Syamel, empat nama yang membawa sejarah dan masa depan muzik tempatan di bahu mereka. Pertembungan antara masa lalu, kini, dan harapan masa depan seni tanah air.


Lampu pentas perlahan padam, sorakan memuncak, dan Ernie Zakri memecah keheningan dengan “Ku Bersuara”. Getar suaranya menembusi setiap penjuru ruang, mengalir lembut mempesona. Tatkala dia melontarkan nota terakhir, suaranya bening, teguh dan penuh perasaan seperti jernih air yang memantulkan keberanian. Lagu itu terasa seperti monolog tentang kejujuran seorang wanita di tengah dunia yang selalu menuntut kesempurnaan. Tepukan panjang dan jeritan bangga memecah udara. Ernie, dengan kelembutan yang berakar pada teknik dan jiwa, membuka tirai dengan kekuatan yang membentuk naratif awal malam itu: kejujuran.
Peralihan ke Syamel dengan “Lebih Sempurna” mengubah warna malam. Dari kelembutan, ia beralih ke tenaga getaran suara Syamel yang serak basah itu seakan membawa api kecil ke tengah dingin dewan. Dia bukan sekadar menyanyi, tapi meluahkan sesuatu yang selama ini terpendam. Mungkin tentang cinta, mungkin tentang kehilangan, mungkin tentang dirinya sendiri. Letupan energi yang dibalut keikhlasan. Suaranya menggema dalam warna maskulin, namun penuh empati. Wajah-wajah di barisan hadapan ikut menyanyi, ingin memeluk semangat yang dibawanya.


Tibalah giliran Ziana Zain. Ketika tirai merah terbuka, sorakan bergema seperti riuh tepukan pada langkah seorang ratu yang kembali ke singgahsananya. Madah Berhelah pun berkumandang mengisi ruang dengan keanggunan dan keperitan cinta yang tak pernah lapuk. Waktu bagai terhenti di antara bait-baitnya. Saya membesar dengan suara itu; suara yang memeluk luka, tapi tetap menyalakan kekuatan. Ziana berdiri anggun, suaranya masih seteguh dulu, malah kini lebih berjiwa. Ada sesuatu yang mendalam dalam cara dia memandang ke arah penonton, seperti seorang kakak yang sedang mengingatkan kita agar tidak berhenti mencintai meski telah banyak kali kecewa.
“Kalau dulu saya panggil Anuar Pak Ngah, sekarang Syamel panggil dia Tokey Panggung,” katanya sambil ketawa kecil, “Jadi saya ni... Mak Long lah agaknya?” Seluruh arena meledak dengan tawa. Mesra, hangat dan terpancar tulus. Momen itu menghapus jarak antara bintang dan penonton, yang tinggal hanya rasa kemanusiaan dan kasih sayang. Setiap nada membawa serpihan kenangan 3 dekad lalu, suara yang pernah membentuk arah industri, kini masih berdiri megah, tidak retak sedikit pun.


Anuar Zain, lelaki dengan pesona yang tenang, menutup segmen pertama dengan “Keabadian Cinta”. Setiap liriknya seperti hela jiwa yang bergetar halus; kawalan suaranya, selembut bayu yang menyingkap emosi tanpa perlu berlebihan. Saat Anuar membuka mulut berdendang, waktu seakan menahan langkah. Ia bukan persembahan, ia pengalaman rohani dalam bentuk muzik. Lenggoknya mengalun perlahan, menembusi ruang dan membasuh hati. Ada keindahan dalam kesederhanaan yang dibawanya. Tak perlu gimik, tak perlu jeritan. Hanya suara, dan keikhlasan yang meresap.
Konsert ini terasa seperti perjalanan melintasi peta emosi: dari getar cinta muda hingga kematangan yang redha. Bila Ernie dan Syamel berpadu dalam “Hamba Cinta”, dan Ziana bersama Anuar mengalunkan “Sedetik Lebih”, saya hampir lupa bahawa saya sedang duduk menonton, rasanya lebih seperti menyaksikan satu keluarga menyembuhkan diri melalui lagu. Sorotan cahaya memainkan magisnya sepanjang malam. Ketika “Lelaki Ini” bergema, warna biru lembut membalut pentas, bagaikan langit dan seluruh alam semesta sedang turut sama mendengar.


Ketika Ernie menyanyikan “Aku Cinta” dan Ziana menyusul dengan “Kesuma Hati”, saya sempat terpaku melihat dua generasi wanita, satu legenda, satu penyambung legasi, berdiri dalam keindahan yang sama. Mereka tidak bersaing, mereka saling memberi ruang, seolah-olah berkata "Beginilah cara kita meneruskan seni, tanpa menenggelamkan sesiapa." Dan ketika lagu terakhir “Jangan Henti” dilantunkan, seluruh arena sporting berdiri. 4,500 penonton berdiri menjadi satu, ingin menahan malam agar tak berakhir.
Harus saya sebut tentang keindahan susunan muzik malam itu hasil air tangan maestro Sze Wan sebagai Pengarah Muzik, dengan Jennifer Thompson mengarah keseluruhan konsert. Setiap transisi lagu terasa bagai peralihan bab dalam novel yang ditulis dari lubuk hati paling terdalam. Dari pukulan dram Derrick Siow yang bertenaga hingga petikan gitar Wan Gigi dan Marcus Leong yang menggigit lembut, semuanya terjalin rapi. Bahagian string yang diketuai Brian Larson, bersama Ergys Koni, Toko Inomoto dan Amy Lim, menjadikan malam itu berlapis emosi.


21 lagu dibawa penuh roh sepanjang malam. Antaranya “Dingin”, “Anggapanmu”, “Jangan Henti” dan medley istimewa “Kau Bunga Cintaku”, “Boneka”, “Sangkar Cinta”. Setiap satu membawa emosi yang berbeza, namun tetap berpadu menjadi kisah tunggal tentang cinta, kehilangan dan kebersamaan. Setiap satu bagai serpihan kisah hidup. Ada yang tentang kehilangan, ada yang tentang harapan, dan ada yang tentang bagaimana cinta tidak selalu harus dimiliki untuk tetap indah.
Lebih 4,500 penonton memenuhi ruang, namun suasananya tidak pernah terasa sesak kerana setiap hati di situ berdenyut dalam ritma yang sama. Saya nampak sekilas wajah-wajah artis lain di antara khalayak. Misha Omar, Dato’ Hattan, Noryn Aziz, Dato’ Yusry, Datin Lisa Surihani, Edry Abdul Halim semua berdiri memberi tepukan ketika “Jangan Henti” bergema di penghujung malam. Detik itu terasa seperti perayaan seluruh industri.


Empat Live in Kuala Lumpur 2025 mencipta sejarah, konsert keluarga pertama di Malaysia, anjuran Anuar Zain Network bersama Altus Prohouse. Telah melakukan sesuatu yang jarang dicapai konsert masa kini: ia menyatukan jiwa. Ia mengembalikan ingatan bahawa seni bukan perlumbaan, tetapi perayaan rasa. Tetapi lebih dari itu, ia menunjukkan bahawa kasih sayang dan persaudaraan masih menjadi bahasa paling tulus dalam seni.
Malam itu, muzik tidak hanya bergema di ruang, tetapi menetap di dada. Empat suara, empat jiwa, satu semangat yang menyatu dalam cinta terhadap seni. Dan di antara gema tepukan dan langkah yang perlahan meninggalkan Mega Star Arena, saya tahu ini bukan malam yang akan mudah dilupakan. Mungkin bukan dalam bentuk rakaman, tetapi dalam ingatan, sebagai malam di mana empat suara membentuk satu bahasa: bahasa cinta yang tidak akan pernah henti. Ini adalah bukti bahawa muzik, bila dinyanyikan dengan kasih, mampu menyembuhkan segala yang retak dalam diri manusia.
