Malam 'Healing Nite 2026' Jadi Tempat Sembuh Jiwa 20,000 Hadirin Reset Emosi

oleh: zizi hashim

Jika selama ini konsert sering dikaitkan dengan kebisingan, tubuh yang penat berdiri, dan suara yang pulang serak, Healing Nite 2026 datang membawa tawaran berbeza. Malam ini tidak menuntut jeritan, tidak memaksa euforia. Ia mengajak khalayak perlahan-lahan untuk duduk, mendengar, dan mengizinkan diri sendiri merasai. 24 Januari 2026 menjadi tarikh yang sukar dipisahkan daripada ingatan. Stadium Merdeka Kuala Lumpur, ruang bersejarah yang lazimnya dipenuhi gegaran sorakan massa, seolah-olah menukar nada.

Dengan kehadiran sekitar 20,000 penonton, stadium itu terasa lebih lembut, lebih berlapang seakan memahami manusia moden yang sudah terlalu lama hidup tanpa jeda. Healing Nite 2026 membuktikan bahawa ruang sebesar ini juga mampu menyimpan ketenangan, jika niatnya jelas dan disampaikan dengan jujur. Barisan penghibur malam itu dipilih dengan seleksi kriteria yang rapi. Anuar Zain, Ella, Dayang Nurfaizah, Lyodra dan Kangen Band tidak hadir untuk bersaing cahaya, sebaliknya berkongsi ruang rasa. Setiap persembahan terasa seperti satu bab yang disusun berhati-hati. Saling menyokong, tidak saling menenggelamkan.

Dayang Nurfaizah membuka malam dengan vokal yang tenang dan terkawal. Lagu-lagunya seperti "Umpan Jinak Di Air Tenang", "Lemah", "Aku" dan "Lelaki Teragung" mengalir tanpa paksaan emosi. Tidak dramatik, namun cukup untuk membuatkan penonton tersenyum kecil, mengangguk faham atau menarik nafas lebih panjang daripada biasa. Keindahan persembahan Dayang terletak pada kesederhanaan: setiap nada yang dihembuskan terasa asli, seolah tidak dicampuri apa-apa pretensi. Saat dia menutup bait terakhir "Lelaki Teragung" ada bisik-bisik kagum dari penonton. Bukan dek sorakan, tetapi kerana kedamaian yang tercipta.

Lyodra, wakil dari generasi baharu, membawa warna emosi yang berbeza. Rapuh, namun jujur. "Malu-Malu Tapi Nyaman", "Terlalu Cinta", "Teganya Kau", "Tak Selalu Memiliki", "Pesan Terakhir" dan "Sang Dewi" terasa seperti pengakuan yang diluahkan tanpa berselindung. Ada jeda di antara baitnya; keheningan itu berbicara. Terkadang Lyodra menundukkan kepala, menahan gema yang datang dari penonton, seakan lagu-lagu itu adalah surat yang harus diterima dalam kesenyapan. Penonton yang muda dan tua sama-sama tertangkap dalam jaring emosinya. Tiada siapa yang tergesa-gesa, semuanya meresapi tiap patah nada dengan harapan ingin sembuh.

Keistimewaan Healing Nite 2026 tidak terhenti di atas pentas. Seawal jam 1 petang, pengunjung dipelawa memasuki Healing Tent di pintu masuk utama stadium. Ianya merupakan ruang peralihan yang membenarkan langkah diperlahankan sebelum malam bermula. Aroma kopi, makanan yang membangkitkan rasa selesa, dan suasana tanpa tergesa menjadikan ruang ini tempat untuk hadir sepenuhnya.

Kangen Band kemudian menghidupkan nostalgia serantau. Seleksi lagu-lagu yang menghiasi malam terdiri dari "Terbang Bersamaku", "Doy", "Pujaan Hati", "Wanita Cadangan", "Kehilangan Mu Berat Bagiku" dan "Yolanda" disambut sing-along berjemaah tanpa perlu diperkenalkan lagi. Stadium menyanyi bersama. Perlahan, tidak tergesa, seolah setiap orang membuka album kenangan masing-masing. Keistimewaan persembahan Kangen Band bukan semata-mata pada melodi lama, tetapi pada cara mereka membiarkan penonton berada di tengah-tengah memori sendiri. Ada rasa hangat, ada tawa senyap, dan ada sesekali air mata yang jatuh tanpa disedari.

Kolaborasi gaya hidup dan kulinari memperkayakan pengalaman: LADO dengan sajian Melayu autentik, Cartel Coffeeshop dan Coffee Bean, Crackohut dengan ayam gunting dan kebab shawarma, Peti Dessert, Sugar & Fruits, NachosLah, serta pelbagai lagi. Di dalam stadium, Coffee Cartel, Ahmad Fried Chicken, dan Teratak Spa terus menyantuni penonton. Teratak Spa menawarkan urutan ringkas dengan harga RM15 untuk minimum 10 minit urutan kepala, bahu atau kaki menggunakan essential oils: simbol keberanian penganjur membawa konsep kemanusiaan ke dalam konsert berskala besar.

Ella menyusul dengan aura yang matang dan bersahaja. Jiwa rock yang pernah memberontak kini terdengar lebih berdamai. Setiap lagu menjadi catatan reflektif tentang perjalanan hidup. Tegak bulu roma dibuatnya saat riff popular "Layar Impian" berkumandang diikuti medley "Retak" dan "Pedih". Tidak ada dramatik berlebihan, namun ketenangan suara Ella membuat setiap penonton ikut masuk ke ruang nostalgia dan sembuh diri. Gemersik "Sepi Sekuntum Mawar Merah" dan "Sembilu" dilagukan, bergema serentak nyanyian kolektif dari puluhan ribu khalayak bikin goosebump lagi! Ada satu momen ketika Ella berhenti sebentar sebelum bait terakhir. Keheningan itu memanggil penonton untuk menghirup malam, dan semuanya terasa rapat meski berjuta langkah jauh.

Saat Anuar Zain mengambil tempat di tengah pentas, suasana berubah menjadi sesuatu yang sukar dijelaskan dengan kata-kata. "Kau Bunga Cinta Ku", "Keabadian Cinta", "Sesucinya Cintaku" dan "Sedetik Lebih" tidak hanya didengar, tetapi  turut sama dirasakan. Lirik-liriknya menjadi cermin pengalaman bersama: cinta, kehilangan, harapan yang melangkaui usia dan latar. Saat Anuar memandang penonton, mata bertemu mata, terasa seperti dialog intim antara suara dan hati.

Antara momen paling menyentuh ialah kehadiran Mak Cik Rokiah, wanita warga emas dari Terengganu yang menghidap demensia. Ingatannya terhadap Anuar Zain kekal utuh sejak era penyanyi kanak-kanak awal 1980-an. Anuar tampil menyantuninya secara eksklusif; satu detik yang membuat stadium terdiam. Kehadiran anak-anak dan cucu-cucu menambahkan lapisan emosi, mengingatkan bahawa muzik mampu menembusi kabut ingatan dan menyentuh sesuatu yang tidak terpadam.

Healing Nite 2026, anjuran Kembar Nusantara Sdn Bhd dengan sokongan Creative Page, serta strategi dan pemasaran oleh Yumeca Sdn Bhd, mengangkat konsert sebagai pengalaman gaya hidup berlapis: muzik, emosi, keselesaan, dan kenangan diraikan serentak.

Apabila lampu stadium perlahan-lahan dipadamkan dan langkah kaki mula menuju pulang, ramai tidak membawa lebih daripada hanya gambar atau video. Namun ada sesuatu yang tertinggal: senyap, tetapi jelas dirasakan. Satu rasa tenang yang jarang singgah. Dan mungkin, itulah makna sebenar Healing Nite: satu malam yang tidak cuba mengubah hidup, tetapi mengajar kita untuk mendengar diri sendiri dengan lebih jujur. Tahniah dan sampai jumpa lagi!

Foto Kredit: Bangsawan