Konsert Silang Negara Paling Energetik 2025 Raikan Persahabatan 'Nidji X Bunkface'

oleh: zizi hashim

Sorakan pertama pecah sejurus lampu Zepp KL dipadamkan tepat 8.30 malam. Dan dari detik itu, malam 21 Disember 2025 bergerak tanpa brek. Ribuan penonton berdiri rapat, bersedia menyerahkan diri kepada sebuah pertemuan muzik yang sudah lama dinanti. Ruang yang penuh sesak itu segera bertukar menjadi medan pelepasan emosi, tempat ribuan peminat meletakkan segala penat dan rindu mereka terhadap muzik yang membesarkan satu generasi. Konsert Nidji X Bunkface, anjuran Nusafest, berlangsung hampir tiga jam tanpa henti dan sepanjang tempoh itu, tidak ada satu pun detik yang terasa sia-sia.

Nidji dan Bunkface, dua nama besar serantau, berkongsi satu pentas, satu emosi, dan satu gelombang rasa yang tidak putus-putus. Malam itu terasa sungguh istimewa sejak awal lagi. Dari susun-masuk penonton, pencahayaan pentas, sehinggalah sistem bunyi yang diuji rapi sebelum konsert bermula, semuanya memberi isyarat jelas bahawa ini bukan acara tangkap muat. Zepp KL, dengan sifatnya yang lebih intim berbanding arena besar, menjadikan setiap reaksi penonton terasa dekat dan hidup.

Pilihan "Malam Ini Kita Punya" sebagai mukadimah malam terasa seperti sebuah deklarasi. Satu pilihan tepat dan berani. Lagu itu bukan sekadar pemanas suasana, tetapi deklarasi bahawa malam tersebut milik muzik dan kebebasan. Bunkface muncul dengan tenaga segar yang terkawal, memecah sunyi dengan sorakan dan lompatan penonton yang rata-rata berseragam denim. Lagu itu segera mengubah nuansa Zepp KL menjadi ruang pelepasan yang bebas, riuh dan penuh senyuman. Khalayak dipukau berdansa berjemaah tanpa segan silu. 

Tanpa menunggu lama, "Panik", "Prom Queen" dan "Silly Lily" menyusul, membuktikan nadi pop punk band ini masih berdetak kukuh meski usia berkarya sudah pun melepasi dua dekad. Momentum terus meningkat menerusi lagu-lagu hits tersebuut serta gabungan tenaga punk yang mengingatkan ramai kepada zaman sekolah, persahabatan dan keberanian remaja. Dari sudut peribadi, yang paling mengesankan ialah cara Sam menyampaikan vokal secara just nice. Tidak berlebihan, tidak mengejar sensasi, tetapi cukup jujur untuk membuat setiap lirik terasa dekat dan melekat.

Di pertengahan set, lagu-lagu seperti "Soldier", "Hilang" dan "Extravaganza" memperlihatkan sisi lebih serius Bunkface, kumpulan yang tidak lagi bermain dengan nostalgia kosong, tetapi menampilkan kematangan yang tersusun. "Dunia", "Darah Muda" dan "Korang" pula menghidupkan kembali semangat kolektif, dengan seluruh dewan menyanyi serentak seolah-olah menjadi satu suara.

Detik yang paling mengesankan datang ketika Sam berhenti seketika dan berkongsi perasaan, “Kami sudah 20 tahun berkarya dan saya tak pernah terfikir lagu-lagu ini masih didengar sampai hari ini.” Ayat itu sederhana, tetapi reaksinya besar. Senyuman, anggukan, dan nyanyian perlahan penonton menjadi bukti bahawa muzik Bunkface masih berakar dalam kehidupan ramai. Sekitar 13 lagu dipersembahkan, termasuk "Situasi" dan "Revolusi", sebelum Bunkface menutup set sekitar 9.50 malam dengan ruangan Zepp KL yang masih enggan tunduk, mahupun duduk.

Keterujaan tidak surut, kerana semua tahu, malam itu masih panjang. Peralihan ke set Nidji membawa perubahan suhu emosi. Sebaik sahaja Nidji akhirnya melangkah ke pentas, sorak sorai naik setingkat apabila "Laskar Pelangi" berkumandang. Serta-merta ribuan suara bersatu dari pelbagai latar. Lagu itu bukan sekadar hits, tetapi simbol harapan dan mimpi kolektif Nusantara. Vokal Yusuf Ubay, meski jelas sedikit gementar pada awalnya, terasa tulus dan manusiawi. “Sejujurnya saya sangat gementar malam ini… adakah anda gembira?” Soalan itu disambut jeritan dan tepukan panjang.

Tampil dengan aura rendah hati, pengakuannya tentang rasa gementar mendapat respons baik dari penonton yang seolah-olah memeluk kebimbangan itu bersama-sama. Set Nidji bergerak dengan seleksi setlist yang teliti dari "Manusia Sempurna", "Disco Lazy", "Kisah Kasihku", "Wadoow" dan "Zayang-Zayang" membina emosi secara berperingkat. Setiap lagu membawa warna berbeza: santai, romantik, kelakar dan reflektif. Lagu-lagu seperti "Bolehlah Ku Berharap", "Teman Sejati" dan "Bila Aku Jatuh Cinta" pula menjadi ruang empati, membuatkan penonton tenggelam dalam kenangan masing-masing.

"Teman Sejati", yang juga dikenali sebagai runut bunyi Ejen Ali The Movie 2, terasa sangat dekat dengan penonton Malaysia, menjadi jambatan emosi antara dua negara yang berkongsi bahasa rasa yang sama. Bahagian akhir konsert benar-benar mengikat malam itu sebagai pengalaman kolektif. "Rahasia Hati" dan "Shadows" membawa nuansa dramatik sebelum Nidji kembali ke pentas. Encore benar-benar menjadi klimaks. "Sumpah dan Cinta Matiku" disambut nyanyian beramai-ramai, sebelum "Hapus Aku" menutup malam dengan dada yang penuh dan suara yang serak. Pada ketika itu, Zepp KL bukan lagi dewan konsert, ia menjadi ruang pelepasan emosi, di mana semua menyanyi, menjerit dan menghela nafas bersama.

Yang paling patut dipuji, kualiti bunyi kekal konsisten dari lagu pertama hingga terakhir. Tiada bunyi pecah, tiada vokal tenggelam, dan tiada rasa terlalu kuat. Pencahayaan pentas pula menyokong emosi lagu tanpa mencuri perhatian: satu keseimbangan yang jarang dicapai. Sistem audio yang mantap, pencahayaan yang terjaga dan susunan set yang tidak tergesa membuktikan profesionalisme penganjur Nusafest. Tiada gimik berlebihan, hanya muzik yang diberi ruang untuk bernafas.

Malam itu, Zepp Kuala Lumpur menjadi saksi bahawa rock-pop Nusantara masih punya kekuatan menyatukan generasi. Bunkface membawa tenaga muda yang matang, Nidji menyulam emosi yang meresap perlahan. Dua dunia berbeza, berpadu dalam satu malam yang sukar dilupakan. Kejujuran muzik, susunan lagu yang bermakna, dan penghormatan terhadap pengalaman penonton sudah mencukupi. 

Terima kasih Nidji dan Bunkface atas kejujuran muzik yang dipersembahkan tanpa kompromi, serta keberanian untuk berkongsi emosi dan kenangan dengan penuh rendah hati. Penghargaan juga wajar diberikan kepada Nusafest/Shiraz Projects dan seluruh pasukan produksi atas penganjuran yang rapi, sistem bunyi yang cemerlang dan pengalaman penonton yang dihormati dari awal hingga akhir. Malam itu bukan sekadar hiburan, tetapi satu perayaan muzik Nusantara yang mengingatkan kita mengapa lagu-lagu ini terus hidup, dan akan terus hidup, dalam ingatan ramai.

Foto Kredit: Shiraz Projects