oleh: zizi hashim
Panggung Zepp KL sunyi sejenak sebelum alunan pertama menyentuh ruang udara. Dan dalam keheningan yang hanya boleh dilahirkan dari harapan dan pengertian, sosok Baale berdiri, membuka lembar pertama kisahnya yang baharu. Terasa bagaikan membaca sepucuk surat tidak bertuan, ditulis sejak lama dahulu tetapi baru sampai ke destinasi pada malam 15 Jun 2025. Bukan sebagai Iqbaal Ramadhan yang dahulu kita kenali, tetapi sebagai Baale. Seorang seniman yang memilih untuk hidup dalam kejujuran meski penuh risiko dan meninggalkan setiap sisa-sisa glamor demi menjadi insan yang sebenar dan berdiri di atas namanya sendiri.
Sesiapa pun yang pernah mengenali Iqbaal dari era Coboy Junior mungkin akan terperanjat kerana malam itu, tiada jejak masa silam yang dibiarkan melekat. Baale hadir sebagai entiti tersendiri. Dari cara dia menyapa, cara dia berbicara, hingga cara dia memetik gitar dan menyerahkan jiwanya pada setiap nota, semua itu adalah milik Baale sepenuhnya. Nama ini, yang dulu tampak asing, malam itu menjadi gema yang melekat di dada. Tiada ledakan efek, tiada sorak kosong yang dibuat-buat. Yang hadir hanya ketulusan dan serangkai melodi ditulis dari hati. Sejujurnya, saya tidak menjangkakan transformasi seintim dan setelus ini.
Tiada pengenalan panjang atau trik visual yang membingitkan. Tepat jam 8:30 malam, seperti desir angin “Musim” membuka tirai malam dalam suasana tenang namun sarat makna. Bak dedaun yang jatuh, lagu ini perlahan-lahan menyusun rasa. Saya hampir lupa saya berada di tengah-tengah kerumunan orang ramai. Rasanya bagai sedang duduk sendirian, meneliti surat dalam bentuk nada suara yang dihantar jauh dari masa lalu. Kemudian datang “Fortuna”, lagu utama dari album pertama Baale yang juga menjadi judul konsert malam itu.
Tiba-tiba ruang menjadi hidup dan mulai bernyawa. Tatkala bait-bait liriknya dinyanyikan bersama-sama khalayak, satu detik magis tercipta. Rasa keterhubungan yang jarang wujud dalam ruang-ruang konsert zaman kini, seperti berada di ruang selesa yang mengizinkan kita menjadi rapuh. Getarannya nyata, tulus dan mengikat. "Masih Batu" melanjutkan perjalanan dengan naratif tentang hubungan yang membeku, yang tidak tahu ke mana arah seterusnya. Terlalu dekat dengan kenyataan, ramai yang duduk diam, mengangguk perlahan, memproses luka yang pernah mereka simpan.
Kemudian “Baik Untukmu”, “Pulang” dan “Malam Minggu” menjelma sebagai fragmen dari jurnal peribadi untuk dikongsi dalam bulatan khalayak yang memahami. Bukan dicipta untuk carta radio, tetapi lagu-lagu ini untuk mereka yang pernah merasa sunyi meski di tengah-tengah keramaian yang bising. Selesai segmen ini, suasana menjadi sedikit santai dengan kuiz interaktif. Kedengaran gelak tawa penonton, dan Baale melayan dengan wajah tulus. Tiada jarak, tiada lakonan. “Tak kenal maka tak cinta,” katanya dan semua yang hadir tahu, ini bukan klise. Ini adalah undangan untuk mengenal dirinya yang sebenar, yang tidak lagi bersembunyi di sebalik skrip atau watak rekaan.
Bahagian kuiz yang sederhana tetapi sangat happening menjelma jadi momen keintiman yang rawak tetapi tulus. Gelak tawa, gurauan spontan, semuanya meruntuhkan batas antara artis dan audiens. Tampil serba putih, Baale berdiri sejajar hadirin dan langsung dari situ terus menyampaikan “Pra Fortuna”, “Untuk Kamu”, “Naluri”, dan “Di Bawah Lampu”, masing-masing membina suasana yang berbeza. Setiap lagu adalah babak-babak berbeza di dalam novel yang sama. Lagu-lagu ini melukiskan emosi yang berlapis-lapis, ada babak mimpi, ada bersulam nostalgia, ada juga yang menelanjangi sisi rapuh dalam diri sendiri. Suara Baale bercerita, tidak ada yang berlebihan, semua dalam jumlah emosi yang just nice.
Aspek teknikal konsert ini tidak boleh diabaikan. Vokal Baale kedengaran jelas, tanpa terganggu oleh latar muzik. Setiap petikan gitar, setiap ritma dram, semua disusun dengan ketelitian yang hampir obsesif kerana ianya persembahan perasaan yang perlu dijaga rapi. Zepp KL menjadi saksi bagaimana audio boleh jadi alat komunikasi emosi yang sangat berkesan.
Dalam perbualan terakhir bersama MUNAA, Baale menyampaikan ucapan terima kasihnya. Suaranya bergetar bukan kerana letih, tetapi kerana secukup rasa. Rasa syukur yang paling terdalam kerana diberi ruang untuk menunjukkan siapa dirinya kini. Sebagai pendengar, saya tahu itu bukan sekadar formaliti tetapi pengakhiran yang dibina dengan keikhlasan.
“Cinta Luka Sempurna” menjadi penutup yang malahan tidak menutup apa-apa sebaliknya membuka perasaan-perasaan yang sukar dikawal. Bait lirik “walau luka, tetap sempurna” bergema lama dalam fikiran. Ada yang menyeka air mata, ada yang hanya diam merenung lantai. Lagu itu hadir sebagai penawar dan luka dalam satu, saling tak tumpah persis kenyataan hidup yang tidak pernah sepenuhnya sembuh, tetapi tetap indah.
Konsert Fortuna adalah deklarasi keberanian, satu langkah keluar dari bayang sendiri. Tidak hadir untuk menjual glamor atau mencuri trending; Baale hadir untuk memberitahu, “Ini aku yang sebenarnya. Terimalah jika mahu, atau tinggalkan aku dengan jujur.” Dalam dunia yang penuh kepalsuan dan hingar-bingar, Baale memilih untuk menyanyi dalam sunyi dan itulah yang menjadikannya sangat kuat. Untuk yang mencari bukan hanya lagu, tetapi ruang untuk merasa, dengarlah Fortuna. Biarkan Baale temani kamu dalam sunyi yang paling dalam. Terima kasih Miebird Projects! Terima kasih Baale! Sampai jumpa lagi di lain panggung.