
oleh: zizi hashim
Langit malam itu terasa seperti sebuah halaman yang belum selesai ditulis. Awan bergantung rendah, udara membawa dingin yang halus, dan hujan turun perlahan-lahan bagaikan alam itu sendiri mahu duduk bersama ribuan manusia yang datang dengan satu niat: merayakan rasa yang pernah mereka simpan dalam diam. Konsert Wali Kembali bermula tepat sekitar jam 8.30 malam, seperti yang dijadualkan pada tanggal 1 Mei 2026. Namun sebelum itu, ruang stadium sudah lama bernafas dalam debar.
Seawal jam 4 petang, penonton mula berkumpul di perkarangan Stadium Hoki Bukit Jalil, membawa harapan, kenangan dan sedikit kerinduan yang mungkin sukar diungkap. Dan apabila malam benar-benar tiba, hampir 12,000 jiwa parawali memenuhi ruang itu. Bukan sekadar hadir, tetapi bersedia untuk hanyut bersama setiap lagu yang bakal dilagukan. Hujan yang turun sebelum konsert tidak menjadi penghalang. Ia tidak memadamkan semangat, malah menambah lapisan emosi yang sukar dijelaskan. Rintiknya jatuh seperti irama kedua mengiringi setiap nota, setiap lirik, setiap getaran yang lahir dari pentas.


Wali Band yang dibarisi oleh Faank di vokal, Apoy di gitar, Tomi di dram dan Ovie di papan kekunci, melangkah ke pentas dengan aura yang sederhana tetapi sepenuh jiwa. Mereka tidak perlu berlebihan untuk memikat. Cukup dengan kejujuran yang sudah mereka bina sejak sekian lama. Introduksi “Kekasih Halal” membuka malam dengan nuansa yang hangat. Lagu itu terasa seperti sapaan lama, sebuah pintu yang dibuka kembali kepada kenangan yang pernah singgah. Dari situ, perjalanan pun dimulakan. Perlahan-lahan, penonton berhenti menjadi penonton. Mereka menjadi sebahagian daripada cerita.
“Cari Berkah” dan “Si Udin Bertanya” membawa warna ceria. Gelak ketawa kecil mulai muncul, bahu yang basah tidak lagi dihiraukan. Ada yang mula berdansa, ada yang menyanyi dengan suara yang semakin yakin. Hujan masih turun, tetapi kini ia seperti sebahagian daripada konsert. Langsung tidak mengganggu, malah menyempurnakan suasana. Ketika “Nenekku Pahlawanku” berkumandang, suasana berubah menjadi lebih sunyi. Tidak semua sunyi itu kosong. Ada sunyi yang penuh kenangan. Lagu itu menyentuh sesuatu yang peribadi tentang keluarga, tentang sosok yang pernah menjadi tempat kita berpaut. Di tengah stadium yang luas, tiba-tiba setiap orang terasa dekat dengan diri sendiri.


Perjalanan diteruskan lagi dengan “Emang Dasar”, “Abatasa” dan “Ada Gajah di Balik Batu” yang mengembalikan tawa riang. Lagu-lagu ini ringan, tetapi punya daya yang aneh: melekat dan menghidupkan suasana tanpa perlu terlalu serius. Itulah kekuatan Wali. Mereka tahu bagaimana menyeimbangkan rasa. Namun malam itu tidak hanya tentang ketawa. “Doaku Untukmu Sayang” dan “Baik-Baik Sayang” hadir tak ubah laksana hujan yang tidak mahu berhenti. Ada yang menyanyi perlahan, ada yang sekadar memandang pentas, membiarkan emosi mengalir. Lagu-lagu ini bukan sekadar didengar, malah ia turut dirasai.
Kemudian energi kembali memuncak melalui “Harga Diri”, “D I K” dan “Tobat Maksiat”. Sorakan menjadi lebih kuat, lampu pentas semakin terang, dan penonton benar-benar tidak mampu duduk diam. Stadium berubah menjadi satu gelombang yang bergerak serentak: menyanyi, menari, dan melepaskan segala yang terpendam. Saat “Yank” dialunkan, momen itu terasa seperti puncak yang tidak dirancang tetapi terjadi dengan sendirinya. Seluruh stadium bersatu dalam satu suara besar. Tidak ada lagi jarak antara pentas dan penonton. Semuanya menjadi satu.


Suasana benar-benar ‘happening, penonton berdiri, menari dan menyanyi tanpa henti sepanjang lagu-lagu hits berkumandang. Energi itu tidak pernah surut, malah semakin membesar seiring perjalanan malam. Namun yang benar-benar membezakan konsert ini hadir pada satu ruang yang lebih sunyi, lebih dalam. Wali mengambil masa untuk berzikir, membaca doa dan menghadiahkan Al-Fatihah kepada para penonton. Dalam lautan manusia yang basah oleh hujan, doa dipanjatkan untuk kehidupan, untuk keberkatan, untuk segala urusan yang mungkin sedang dilalui setiap individu yang hadir. Bahkan doa khusus untuk rakyat Palestin turut disampaikan sebagai tanda solidariti dan kemanusiaan.
Momen itu mengubah segalanya. Konsert yang bermula dengan tawa dan nyanyian tiba-tiba menjadi ruang refleksi. Sunyi yang hadir bukan kosong, tetapi penuh makna. Di situlah terasa identiti sebenar Wali. Muzik mereka tidak hanya untuk hiburan, tetapi sebagai jambatan kepada sesuatu yang lebih besar. Konsep dakwah hiburan yang dibawa jelas terasa. Setiap lagu, setiap kata, setiap doa, semuanya membawa pesan tentang kasih sayang, tentang menjaga hubungan sesama manusia, tentang mendekatkan diri kepada Tuhan.

Saat lampu pentas perlahan-lahan malap, hujan masih belum berhenti. Tetapi tiada siapa peduli. Kerana yang dibawa pulang bukan sekadar memori, tetapi rasa. Rasa yang mungkin akan tinggal lebih lama daripada gema muzik itu sendiri. Malam di Bukit Jalil itu akhirnya menjadi lebih daripada konsert. Ia adalah pertemuan. Antara manusia, muzik dan langit. Antara tawa, air mata dan doa. Dan dalam satu malam yang basah itu, 12,000 hati pulang dengan sesuatu yang tidak dapat dilihat, tetapi sangat terasa.