Dari CarPark Ke Pentas, 'Konsert Rock Car Park' Gegar Odeon KL, Malam Himpunan Jiwa Rock Kental

oleh: zizi hashim

Renyai hujan yang turun di Kuala Lumpur petang itu bercampur-baur dengan aroma rokok, bau jaket kulit lama dan bunyi-bunyian gitar yang masih sedang diselaraskan dari kejauhan. Sesuatu tentang Konsert Rock Car Park 2026 malam itu terasa begitu dekat dengan jiwa rock yang tidak pernah saya tinggalkan. Seolah-olah masa sedang memutar semula era ketika lagu rock Melayu menjadi tempat ramai orang meluah rasa kecewa, cinta dan pemberontakan.

Awalnya saya maklum konsert ini sepatutnya berlangsung di rooftop Campbell Complex. Tempat yang kalau menurut saya mempunyai karakter tersendiri: kasar, urban dan penuh nostalgia kota lama. Tetapi cuaca memaksa lokasi ditukar saat akhir ke Odeon Kuala Lumpur. Anehnya, pertukaran itu langsung tidak membunuh roh malam tersebut. Sebaliknya, Odeon KL menjadi seperti ruang baru untuk sejarah kecil rock kapak terus bernyawa.

Sejak pintu dibuka sekitar jam 3 petang, suasana sudah mula dipenuhi manusia-manusia yang wajahnya memegang cerita masing-masing. Ada yang datang dengan vest penuh patch band lama. Ada yang rambut sudah memutih tetapi mata masih menyala setiap kali mendengar bingit gitar. Dan ada juga anak muda yang mungkin tidak lahir ketika lagu-lagu itu mula meledak, tetapi tetap hafal setiap lirik seperti ianya warisan keluarga.

Battle Of The Celup Band membuka suasana lebih awal sebelum Stingray mengambil alih pentas sekitar jam 4.25 petang.  Dentuman awal itu seperti isyarat bahawa malam ini bukan malam untuk duduk diam. The Fatalis kemudian menyambung bara, sebelum Ammal Bellamy and The White Rainbow featuring Selamat Asrin mengisi ruang dengan aura rock yang lebih kontemporari tetapi masih berakar pada semangat lama. Wicitra pula muncul sekitar jam 6 petang dengan energi yang membuat crowd semakin rapat ke baris hadapan pentas. 

Namun secara peribadi saya rasa malam benar-benar berubah wajah ketika Sofea naik ke pentas selepas waktu maghrib. Tatacahaya mula bermain dengan asap tipis dan sorakan crowd jadi semakin liar. Kepala mula terangguk-angguk sendiri tanpa sedar. Lagu demi lagu membawa saya pulang ke zaman radio kaset, ketika muzik rock bukan sekadar hiburan tetapi identiti generasi. Tetapi kemuncak sebenar malam itu, bagi saya, bermula sekitar jam 9.30 malam ketika Bloodshed mengambil alih pentas. 

Barisan mereka malam itu lengkap dengan Hamdan Reko di gitar, Said di bass, Judy di kibod, Muzam sebagai vokalis dan Bad di posisi drum. Dan percayalah, sebaik sahaja intro “Debu Khayalan” berkumandang, seluruh Odeon berubah menjadi lautan manusia yang tenggelam dalam nostalgia. “Ilusi Sebuah Mimpi”, “Carilah Wajahmu”, “Manusia & Janji”, “Pertumpahan Darah”, “Nostalgia Rindu”, “Srikandi Cintaku” sehingga “Samarkand” dilantunkan satu persatu dengan penuh jiwa.

Ada sesuatu yang sukar dijelaskan bila ribuan manusia menyanyi lagu legenda ini berjemaah bersama-sama. Seolah-olah luka lama yang pernah kita simpan tiba-tiba pulang duduk diam di bahu. Muzam malam itu tidak sekadar menyanyi. Dia seperti sedang membuka semula diari generasi yang pernah membesar dengan rock kapak sebagai teman hidup.

Dan kemudian MAY muncul. Saya rasa seluruh ruang Odeon KL berubah sebaik sahaja susuk Yus, Naim, Alif, Lan Taroo serta penampilan istimewa Shahrul Ekamatra naik ke pentas sekitar jam 10 malam. MAY malam itu benar-benar membawa aura legenda. Crowd terus meledak sebaik intro lagu pertama dimainkan. Berdasarkan setlist dan perkongsian peminat selepas konsert, antara lagu yang menghidupkan malam termasuk "Wira Cyborg"“Sketsa Sebuah Cinta”, “Cintamu Mekar Di Hati”, “Meniti Suratan”, “Jemu”, “Dari Kacamata”, dan sebuah lagu baru yang membuat seluruh crowd hilang suara menyanyi dan menjerit bersama.

Shahrul Ekamatra pula memberi kejutan yang membuat suasana semakin emosional. Meski hanya muncul pada 3 buah lagu pertama sahaja, kehadirannya bagai menyatukan dua zaman rock dalam satu malam yang sama. Dan saat hadirin menyanyikan korus beramai-ramai sambil tangan diangkat ke udara, saya sedar sesuatu. Rock Melayu mungkin sudah lama berubah wajah, tetapi jiwanya masih belum mati. Apa yang paling saya suka tentang Rock Car Park ini ialah rasa “jujur” yang hadir sepanjang malam. Tiada pentas terlalu mewah. Tiada visual berlebihan yang cuba mencuri perhatian. Semuanya terasa raw, kasar dan hidup. Sama seperti roh rock itu sendiri.

Terus terang saya katakan, vibes malam itu seperti kembali ke era 90-an. Ada yang sanggup datang dari luar Kuala Lumpur hanya semata-mata mahu merasakan suasana rooftop rock yang semakin jarang wujud sekarang. Dan saya faham kenapa. Sebab malam itu bukan cuma tentang band lama naik pentas. Ia tentang manusia-manusia yang pernah muda bersama lagu-lagu itu. Tentang kepala yang dulu liar mengejar gig underground, kini datang membawa anak sendiri untuk kenal apa itu rock kapak. Tentang suara serak yang masih mahu menyanyi meski sudah semakin dipanjat usia. Dan tentang sebuah generasi yang enggan membiarkan muzik ini mati begitu sahaja.

Saat lampu pentas mulai malap menghampiri penghujung malam, saya berdiri diam memandang fanatika rock yang masih belum mahu pulang. Kepala masih berdengung dengan bunyi gitar dan sorakan manusia. Tengkuk masih sakit dek kerana headbanging. Tapi peduli apa, persetankan itu semua. Bukan setiap malam boleh berjumpa rakan-rakan seangkatan lama. Dan malam Rock Car Park 2026 membuktikan satu perkara paling penting: sebenarnya jiwa rock tidak pernah mati. Ia cuma menunggu malam yang tepat untuk kembali bernyawa. Syabar Rock Car Park! Sampai jumpa lagi di lain kali!

Foto Kredit: Do Re Mi / Koleksi Sendiri

Comments
* The email will not be published on the website.