
oleh: zizi hashim
Entah kenapa malam 8 Mei 2026 itu tiba-tiba terasa bergerak lebih perlahan. Bukan kerana kota ini tiba-tiba kehilangan hiruk pikuknya, tetapi kerana ribuan manusia sedang bersiap sedia untuk mendengar sesuatu yang lebih halus daripada sekadar muzik. Satu perasaan yang selama ini dipendam diam-diam jauh ke dalam dada. Zepp KL berubah menjadi ruangan yang dipenuhi hati-hati rapuh. Tidak riuh dengan gimik berlebihan atau produksi melampau, tetapi ruang yang terasa hangat seperti sebuah diari lama yang dibuka kembali selepas bertahun-tahun tersimpan.
Dan di tengah kerumunan semua itu, berdiri seorang gadis manis diberi nama Ghea Indrawari, membawa seluruh jiwa raganya ke atas pentas. Konsert GHEA INDRAWARI: RASI JIWA – Live in Kuala Lumpur anjuran Semangat Zaman Music & Entertainment mungkin tidak hadir dengan led screen gergasi atau letupan visual yang memaksa penonton kagum. Namun anehnya, justeru kerana kesederhanaan itulah malam tersebut terasa jauh lebih ikhlas. Ghea tidak datang untuk memukau mata semata-mata. Dia datang untuk menyentuh sesuatu yang lebih dalam iaitu ruang rasa dalam diri manusia.


Sebaik sahaja lampu pentas mulai malap, intro "Rasa Cinta Ini" langsung menerjah sekaligus merubah suasana. Ada jenis penyanyi yang memerlukan beberapa lagu untuk memanaskan pentas, tetapi Ghea bukan daripada jenis itu. Aura lembutnya bergerak perlahan, namun cepat meresap. Belum pun selesai lagu pertama, Zepp KL sudah gemuruh dengan suara penonton yang sing-along berjemaah seolah-olah setiap lirik pernah menjadi teman mereka pada malam-malam sunyi. Kemudian hadir "Malaikat" dan "Bucketlist", membawa penonton menyusuri lorong emosi yang tidak pernah benar-benar sembuh.
Dan di sinilah kekuatan terbesar Ghea mulai terasa. Caranya 'menghidupkan' lagu di atas pentas. Showmanship Ghea bukan sejenis yang liar atau meledak-ledak. Dia tidak terlalu banyak berlari ke sana sini atau memaksa crowd menjerit setiap lima minit. Sebaliknya, Ghea mempunyai gaya persembahan yang sangat organik. Cara dia memandang penonton ketika menyanyi, cara tangannya bergerak perlahan mengikut emosi lagu, cara dia tersenyum kecil sebelum masuk ke bahagian chorus: semuanya mengalir semulajadi lembut. Saya bagaikan melihat seorang sahabat lama yang sedang bercerita tentang hidupnya sendiri di atas pentas.


Seperti yang dimahukan Ghea, malam itu dia anggap sebagai 'date night' untuk saling mengenali satu sama lain. Ghea mahu mengenali para peminatnya dan pada masa yang sama dia mahu peminat mengenali siapa sebenarnya Ghea di sebalik lagu-lagu ciptaannya sendiri. Dan mungkin itu yang membuat ramai orang termasuk saya mudah hanyut ketika menonton persembahannya. Ghea memiliki karisma yang tidak memerlukan sensasi. Dia tahu bagaimana mengawal tempo emosi dewan tanpa perlu bersikap terlalu dramatik.
Terkadang dia sekadar berdiri diam di bawah cahaya putih lembut, membiarkan vokalnya melakukan seluruh kerja. Ada kalanya pula dia berbual santai dengan penonton, ketawa kecil, menggoda peminat dengan cara bersahaja, lalu tiba-tiba membawa semua orang masuk semula ke dalam lagu yang membuat dada terasa berat. Kejujuran itu terasa sangat mahal pada zaman sekarang. Vokalnya kekal lunak merdu dan stabil sepanjang hampir dua jam persembahan berlangsung. Ada kelembutan tertentu pada suara Ghea yang membuat lirik-lirik sedih tidak terasa dibuat-buat. Setiap bait keluar seperti pengakuan yang sudah terlalu lama disimpan.


Salah satu momen paling sukar saya lupakan malam itu hadir bukan ketika lagu paling popular berkumandang. Bukan juga ketika seluruh Zepp menyanyi beramai-ramai sehingga suara fanatika menenggelamkan muzik. Sebaliknya, ia muncul pada saat yang sangat sederhana, ketika Ghea meminta semua hadirin memeluk diri sendiri sekuat hati. Nada suaranya lembut, perlahan, tetapi entah kenapa terasa sangat intim. Seolah-olah dia tidak sedang bercakap kepada ribuan manusia dalam Zepp KL, tetapi sedang bercakap terus kepada hati masing-masing yang diam-diam lelah.
“Cuba peluk diri sendiri… dan ucapkan terima kasih kerana sudah kuat bertahan selama hari ini.” Sewaktu itu, seluruh Zepp KL tiba-tiba menjadi sunyi dengan cara yang sukar dijelaskan. Ada orang ketawa kecil menahan malu, ada yang terus memeluk tubuh sendiri tanpa banyak fikir, dan ada yang mula mengesat mata perlahan-lahan. Saya sendiri sudai mulai bergenang airmata tanpa sedar seiring berkumandangnya lagu "Terima Kasih Sudah Bertahan". Tersentuh kerana saya tiba-tiba terlupa… bila kali terakhir saya benar-benar memeluk diri sendiri dan mengucapkan terima kasih kepada diri sendiri kerana sudah bertahan sejauh ini.


Kadang-kadang hidup terlalu sibuk memaksa kita jadi kuat sampai kita lupa menghargai manusia yang paling lama menemani segala luka itu iaitu diri kita sendiri. Dan anehnya, di tengah konsert yang dipenuhi muzik, sorakan dan cahaya lampu, Ghea berjaya mencipta satu ruang kecil untuk ramai orang berdamai dengan diri sendiri. Mungkin sebab itu malam “Rasi Jiwa” terasa begitu melekat di hati. Ia bukan cuma tentang lagu patah hati atau melodi sedih. Ia tentang manusia-manusia yang datang membawa beban masing-masing, lalu pulang dengan hati yang sedikit lebih ringan daripada sebelumnya.
Aspek pencahayaan malam itu juga antara elemen yang sangat membantu membina emosi persembahan. Pasukan tatacahaya memahami karakter muzik Ghea yang sangat bergantung pada nuansa rasa. Warna-warna yang digunakan tidak terlalu agresif, tetapi cukup untuk membina suasana melankolik, hangat dan kadang-kadang terasa seperti mimpi. Audio pula sangat bersih dan seimbang, benar-benar memberi ruang kepada vokal Ghea untuk 'bernafas'. Ketika Ghea membacakan surat buat dirinya yang lebih muda sebelum menyampaikan "Masa Mudaku Habis" dan "Berdamai". Zepp KL tiba-tiba menjadi terlalu hening. Tiada jeritan. Tiada sorakan. Hanya suara Ghea dan ribuan manusia yang mendengar dengan hati masing-masing perlahan-lahan retak.


Namun Ghea juga bijak mengawal turun naik emosi sepanjang konsert. Selepas beberapa segmen melankolik, suasana kembali hidup menerusi "Oh Tuhan!", lagu baru "1000X", "Tadi Malam" dan "Kamu Anggap Apa". Fanatika bersorak, ketawa dan menyanyi lebih kuat. Interaksi spontan Ghea dengan peminat juga membuat keseluruhan malam terasa sangat dekat. Dia bercakap tanpa jarak, tanpa persona 'bintang besar' yang sengaja dibina. Malam itu turut menghadirkan kejutan menerusi tayangan eksklusif lagu baharu berjudul "Daun Daun." Lagu kegemaran saya seperti "Melangitkan Mu" dan "Setengah Mati" yang ditunggu-tunggu turut berkumandang.
Tentu saja, kemuncak sebenar malam itu hadir ketika intro Teramini dan Jiwa Yang Bersedih mula dimainkan. Sorakan terus bergema memenuhi Zepp KL. Jiwa Yang Bersedih malam itu terasa lebih daripada lagu. Ia seperti ruang pengakuan kolektif untuk semua manusia yang pernah penat menjadi kuat terlalu lama. Sebelum konsert melabuhkan tirai menerusi Manusia Paling Bahagia, Ghea meminta semua penonton berdiri bersama-sama. Dan saat itu terasa seperti penutup kepada sebuah perjalanan emosi yang panjang: daripada luka, kehilangan dan lelah hidup menuju sedikit harapan yang masih tersisa. Konsert berakhir selepas hampir dua jam, meninggalkan sorakan panjang. Terima kasih Ghea Indrawari kerana memilih untuk menjadi teman kepada ramai jiwa yang diam-diam sedang lelah.