Menanti Semerbaknya Rona Cinta BCL, Yang Datang Hanya Rasa Kecewa Dan Tertanya-Tanya

oleh: zizi hashim

Malam yang dijanjikan sebagai sebuah perjalanan cinta abadi sepatutnya mengalir bak sungai yang tenang. Namun, di Plenary Hall, KLCC pada malam 27 September 2025 yang lalu, janji itu terasa berat sebelah. BCL: Eternal Love – Timeless Romance membawa reputasi besar. Nama Bunga Citra Lestari yang sinonim dengan balada penuh emosi, penganjuran oleh Pulse Project Asia yang menjanjikan kelancaran, serta kehadiran artis jemputan ternama seperti Jaclyn Victor, Yuna, Dennis Lau dan Fajar Noor. Tetapi yang sampai ke jiwa penonton bukanlah magis cinta abadi, sebaliknya rasa menunggu yang panjang dan hampa yang sukar disembunyikan.

Konsert dijadualkan bermula 8.30 malam, namun BCL hanya muncul sekitar jam 10 malam. Sebelum itu, pentas dipenuhi persembahan panjang artis jemputan sehingga lebih sejam lamanya, disusuli pula segmen emcee yang dirasakan terlalu ‘dragging’. Penonton yang datang dengan debar menanti suara emas BCL akhirnya dibiarkan terkapai-kapai dengan panggung kosong sekitar 15 minit. Satu jeda yang merosakkan momentum malam. Bukan salah Fajar Noor atau Jaclyn Victor, kerana mereka tampil dengan vokal bertenaga malahan Jac menyalakan memori dengan “Gemilang”. Tetapi ramai yang mulai berbisik, “Bila BCL nak keluar ni?”

Saya antisipasikan satu ruang di mana Bunga Citra Lestari (BCL) menabur kisah hidupnya lewat melodi. Konsert Eternal Love – Timeless Romance sepatutnya menjadi lukisan jiwa yang diceritakan, celah demi celah, oleh wanita yang selama ini menyulam cinta dan kehilangan dalam satu helaan nafas. Sorak penonton menyambut kehadiran artis-artis jemputan seperti ranting yang bergoyang. Kehadiran Fajar Noor dalam duet Tetaplah di Hatiku dan Puteri Iklan menimbulkan getar ganda, ada kehangatan yang baru, tetapi juga jeda kecil dalam aura tunggal BCL sendiri.

Ketika Jaclyn Victor muncul sebelum wujudnya BCL di pentas, saya tertanya-tanya, adakah ini malam BCL atau panggung kolaborasi nostalgia? Keberadaan vokalis lain seperti semangat tambahan, tapi pada masa sama sedikit mencairkan eksklusiviti malam tersebut. Meski begitu, vokal BCL yang jernih dan stabil, tenaga ikhlas yang terus bergema tanpa sekat. BCL memilih lebih 20 lagu sebagai euforia kenangan, lagu-lagu yang pernah menjadi saksi perjalanan hidupnya. Kerana malam itu dia adalah perempuan yang mengizinkan khalayak masuk ke dalam dunia emosi dan memorinya.

Saat akhirnya BCL muncul, memang tidak dinafikan vokalnya tetap berada di kelas teratas. Lagu-lagu seperti “Ingkar”, “Jangan Gila”, serta kolaborasi bersama Yuna menerusi “Watak Utama” membuktikan kualiti artistik BCL masih utuh. Namun, sayangnya, aura itu sudah sedikit tercalar kerana waktu menunggu yang terlalu panjang. Malah, beberapa segmen ‘talkshow’ di tengah konsert yang mungkin dimaksudkan sebagai ruang intimasi terasa janggal dan mengganggu rentak. Ada yang cuba bertahan, ada pula yang sudah hilang tumpuan.

Lagu medley “Tetaplah Di Hatiku / Pernah Muda / Menghapus Jejakmu” menjadi benang penyelamat yang menyulam antara masa lalu dan masa kini. Seterusnya, nostalgia hadir lewat “Tentang Kamu” dan “Cinta Pertama”, disambung dengan duet hangat “Love Story” bersama Jaclyn Victor, menambahkan getaran istimewa pada malam itu. Tidak berhenti di situ, BCL mengangkat emosi lebih dalam dengan “Wanita Terbahagia”, diikuti kolaborasi penuh makna bersama Dennis Lau dalam “12 Tahun Terindah”. Kehadiran Dennis Lau dengan biola serta duet bersama Fajar Noor memberi warna tambahan. Namun di sebalik semua itu, ramai penonton merasakan struktur konsert tidak seimbang kerana terlalu banyak ruang kosong, terlalu banyak pengisian sampingan sebelum klimaks utama.

Lagu-lagu seperti “Selalu Ada di Nadimu”, “Memulai Kembali”, dan “Cinta Sejati” menjadikan segenap ruang Plenary Hall KLCC sunyi, kecuali gema nyanyiannya yang sarat emosi. Saat “Sinaran” dilantunkan, seluruh khalayak bagai bersatu dalam satu tarian cahaya. Kolaborasi dengan Fajar Noor melalui “Puteri Iklan” dan “Aku dan Dirimu” menambah variasi warna, meski sebahagian penonton berasa bahawa pentas itu seharusnya lebih memberi ruang eksklusif kepada BCL sendiri. Namun, tidak dapat dinafikan gandingan mereka mencipta momentum yang segar.

Menjelang penghujung, “Karena Kucinta Kau” dan “Badai Telah Berlalu” hadir sebagai penutup yang penuh simbolik bahawa cinta, walau luka, tetap punya kekuatan menyembuhkan. Selain BCL, malam itu juga menyaksikan Fajar Noor membawakan solo seperti “Takhta Hatiku”, “Menjaga Hati”, dan “Tuhan Tau Kita Saling Cinta”. Sementara Jaclyn Victor menggegarkan dewan dengan “Ikut Rentak Ku”, “Racun”, “Sesal Tak Bermakna”, “Cinta Tiada Akhirnya”, dan medley “Glorious + Gemilang”. Kedua-duanya memberi warna tambahan, meski bagi saya, detik paling menyentuh tetaplah saat BCL berdiri sendiri dengan vokalnya yang jujur dan tulus.

Di media sosial, keluhan penonton segera bergema. Ada yang menyifatkan konsert ini lebih banyak membuang masa daripada menyuburkan jiwa. Perbandingan dengan konsert tempatan lain, seperti persembahan M. Nasir, mula timbul di mana legenda itu terus menyanyi dari awal hingga akhir, menghargai setiap detik bersama penonton tanpa jeda yang tidak perlu.

Saya keluar dari Plenary Hall KLCC dengan rasa bercampur-baur. Cukup terkesan dengan vokal BCL, namun kecewa dengan perjalanan acara yang seakan tidak menghormati masa penonton. Cinta yang dijanjikan abadi terasa tergantung, dan janji keintiman itu karam di antara detik yang ditarik terlalu lama. BCL tetap artis besar, tetapi malam itu, magisnya gagal berlabuh sepenuhnya. Semoga akan ada penambahbaikan di masa akan datang.