Diterpa Ombak Emosi 'Kay Tse “TIDAL” World Tour 2025 - KL' Di Satu Malam Nan Serba Indah

oleh: zizi hashim

Seluruh ruangan Idea Live Arena malam 13 Disember 2025 itu dipenuhi degup irama yang sukar diterjemah dengan satu kata. Sorakan hadir bukan sekadar tanda teruja, tetapi seperti pelukan panjang kepada seorang artis yang memilih Malaysia sebagai hentian pertama jelajah dunianya. Kay Tse “TIDAL” World Tour 2025 Live in Malaysia bukan hanya sebuah persembahan pembukaan, tetapi detik simbolik yang menandakan dua dekad perjalanan seni seorang figura penting Cantopop.

Dipersembahkan oleh Jazzy Group bersama Pulse Recreation & Cultural Management Limited, konsert ini adalah konsert solo dunia pertama Kay Tse di Malaysia, sekaligus membuka tirai kepada jelajah global yang diinspirasikan oleh pergerakan pasang surut kehidupan, persis namanya, TIDAL. Pentas malam itu digerakkan melalui lima tema utama: Ignition, Dazzle, Melancholy, Charisma dan Warmth. Setiap segmen dibina seperti naratif tersendiri, namun saling terhubung, membentuk perjalanan emosi yang tidak terputus. Ribuan hati sedang siap sedia untuk dibawa hanyut ombak emosi.

Tanpa banyak basa-basi, Kay terus menyambar pentas dengan 11 lagu berturut-turut, bagaikan ombak besar yang tiba-tiba datang menghempas tanpa amaran. Nafas penonton belum sempat disusun, emosi sudah ditarik masuk lagi. Setiap lagu berdiri seperti fragmen hidup: tentang jatuh bangun, tentang kekuatan yang lahir daripada rapuh. Di sinilah terasa mengapa konsep Tidal begitu dekat: hidup memang tidak statik, dan Kay memilih untuk tidak menutupinya dengan kepura-puraan.

Segmen Ignition membuka malam dengan letupan tenaga. Versi instrumental 《節外生枝》 mengalir bersama permainan cahaya yang tersusun rapi sebelum Kay muncul dengan rangkaian lagu rancak — 《愁人節》, 《姿色分子》, 《頭盔》, 《私隱線》 — seolah-olah mengisytiharkan bahawa malam ini bukan ruang untuk duduk diam. Interaksi Kay dengan penonton terasa intim, bukan skrip kosong. Ada tawa kecil, ada renungan panjang, ada kejujuran yang membuat arena terasa mengecil meski ribuan mata memandang ke arah yang sama.

Babak Dazzle hadir dengan sentuhan teater ala Chicago, dimulakan oleh rutin jazz penari yang menyusun mood sebelum Kay mengambil alih pentas dengan 《神奇女俠的退休生活》, 《賴床》 dan 《藝妓回憶錄》. Di sini, Kay memperlihatkan sisi dramatik dan karisma feminin yang matang, tidak berlebihan, tetapi penuh kawalan. Suasana berubah perlahan ketika piano memperkenalkan 《年度之歌》. Melancholy menjadi ruang hening yang paling mengesankan. 《脆弱》 dan 《十字架》 dibawakan dengan vokal yang jujur, hampir rapuh, namun justeru itulah yang membuatkan segmen ini terasa dekat. Arena seakan menahan nafas, memberi laluan kepada rasa.

Momen berubah lebih hangat apabila Kay memperkenalkan suaminya, Louis Cheung (張繼聰), seorang figura seni yang hadir bukan sebagai pelengkap, tetapi pasangan yang berdiri setara. Kejutan itu menjadi momen yang disambut dengan sorakan paling gemuruh malam itu. Interaksi mereka terasa natural dipenuhi humor, kehangatan dan rasa saling percaya. Duet 《生命之花》 membawa lapisan emosi berbeza, bukan sensasi romantik yang dibuat-buat, sebaliknya rasa kebersamaan yang matang. Louis kemudian mengisi malam dengan celoteh santai, sebelum mengejutkan ramai dengan dua persembahan solo, memperlihatkan sisi muziknya yang jarang disaksikan di pentas Malaysia.

Segmen Charisma membawa kembali denyut kegembiraan kolektif. Kay kembali menguasai pentas dengan keyakinan penuh, lalu turun ke aras penonton. Tiada jarak hierarki, hanya sentuhan tangan dan pandangan mata ketika menyanyikan “有梦要想” dan “我爱荼餐厅” sambil berjalan di celah hadirin.  Kay melempar senyuman, sentuhan, dan rasa dihargai. Detik itu terasa peribadi, seperti pengakuan kecil yang dibisikkan satu persatu. Lagu-lagu memacu semula tempo, sebelum nostalgia mengambil alih dengan tema ikonik Doraemon.

Aspek visual menjadi sekutu emosi. Latar pentas berubah mengikut lagu, tenang, gelap, cerah, dramatik tanpa berlebihan. Busana Kay pula mencerminkan tenaga setiap segmen: elegan tanpa kehilangan kehangatan, moden tanpa memutuskan hubungan dengan identiti dirinya. Vokal Kay kekal utuh sepanjang hampir tiga jam. Begitu bersih, berlapik dan penuh kawalan. Setlist sepanjang 28 lagu bergerak seperti garis masa hidupnya, daripada keresahan, keberanian, kehilangan, hinggalah penerimaan.

Babak Warmth menjadi kemuncak emosi. 《囍帖街》 mengubah arena menjadi lautan cahaya telefon, setiap suara bersatu dalam nyanyian perlahan yang sarat kenangan. Sebelum 《50/50》, Kay berkongsi tentang sahabatnya yang telah pergi, Khalil Fong, dan refleksi tentang kehidupan yang tidak pernah mutlak. Detik itu terasa peribadi, namun dikongsi bersama ribuan jiwa. Lagu-lagu lama dan baharu bersilih ganti tanpa rasa terpisah, membuktikan Kay Tse bukan sekadar ikon Cantopop era 2000-an, tetapi seniman yang terus relevan, setara dengan nama-nama besar seperti Miriam Yeung, Joey Yung dan Denise Ho.

Encore menerusi 《你們的幸福》, 《載我走》 dan 《山林道》 menutup malam dengan rasa syukur yang tenang. Kay meninggalkan pentas bukan sebagai diva yang menjulang diri, tetapi sebagai insan yang memilih untuk berjalan bersama pendengarnya. Tidak ada seorang pun di antara khalayak rasa ingin cepat pulang. Seolah-olah penonton baru sahaja selesai menelusuri perjalanan batin sendiri dibantu suara seorang wanita yang berani mengakui bahawa hidup tidak selalu tenang, tetapi tetap layak diraikan. Malam itu tidak menjanjikan kebahagiaan mutlak. Sebaliknya, Kay Tse mengingatkan bahawa kita boleh terus berdiri meski diterpa ombak, dan itu sudah cukup indah.

Konsert pembukaan TIDAL World Tour di Kuala Lumpur bukan hanya pencapaian kerjaya, tetapi sebuah pertemuan antara muzik, memori dan kemanusiaan. Dua jam lebih berlalu tanpa terasa, meninggalkan gema yang tidak terpadam sebaik lampu dimatikan. Malaysia bukan sekadar hentian pertama, ia menjadi saksi awal kepada perjalanan yang bakal terus berombak, mengalir, dan menyentuh banyak hati selepas ini. Tahniah Jazzy Group! Sampai jumpa lagi di konsert mendatang!