Kembali Bernyawa Di Antara Nada: Semarak Seni Panggung Anniversari Dulu, Kini Dan Selamanya!

oleh: zizi hashim

Deretan tatacahaya pentas menyala perlahan-lahan, membaluti tubuh Panggung Anniversari yang bernafas semula. Ada sesuatu yang bergetar dalam dada malam itu; rasa yang tak mudah digambarkan ketika memori, seni dan harapan terjalin menjadi satu. Sebuah konsert nostalgia membuka tirai, "Di Sini Kenangan Bergema Semula" yang menandakan bukan hanya mukadimah acara, tetapi juga kebangkitan semula sebuah lambang warisan kota.

Sebagai warga yang menyaksikan peluh seni berkarat dari zaman kaset hingga ke era penstriman, kehadiran saya ke pelancaran Semarak Seni @ Panggung Anniversari membawa lebih dari sekadar perasaan. Ianya bagai ziarah batin ke tempat yang pernah sunyi dan kini menggeliat kembali dengan 40 acara sepanjang 2026, suatu pengisian berlapis yang menggabungkan legenda dan anak-anak muda, tradisi dan eksperimen, semangat dan renungan. DBKL, melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS), menerajui inisiatif ini dengan sokongan kewangan daripada Kementerian Kewangan Malaysia sebagai sebahagian usaha di bawah inisiatif Warisan KL.

Panggung ini bukan sahaja ruang bersejarah dalam jajaran Warisan Kuala Lumpur, tetapi simbol denyut nadi budaya yang membentuk identiti kota. Sejak sekian lama, bangunan terbuka berjiwa tropika ini menjadi saksi kepada pertembungan genre muzik, teater, puisi, zapin dan persembahan eksperimental yang menyatukan generasi. Ia berdiri megah dalam kehijauan Taman Botani Perdana, dan namanya mengalun dalam sejarah seni ibu kota sebagai ruang ekspresi yang terbuka untuk semua.

Kini, melalui Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026, ruang itu kembali berfungsi sebagai medan hidup seni merentas zaman. Oja GV7, Syafiq Farhain, dan Kumpulan Cherpen menyentuh hati penonton bukan sekadar dengan suara, tapi dengan jiwa yang jujur. Kombo Budaya dan Artis Budaya DBKL memberi nadi yang mengalirkan semula denyut warisan ke dalam tulang kota. Setiap lagu yang dipersembahkan seolah membina jambatan antara yang telah pergi dan yang baru datang. Di sinilah Panggung Anniversari menampakkan kuasanya: bukan bangunan, tetapi ruang hidup yang terus menyulam zaman.

Dengan tema "Dulu, Kini dan Selamanya", pelbagai program seperti Konsert Rock Gegar Panggung, Retro Bangkit!, ROCKESTRA, Rasa Rakyat, Pentas Seni LIVE!, Pesta Teater Kuala Lumpur, Konsert Puisi Jundai Nusantara, Zapin Rewang, Independent Vibes, Rentak Legasi, Jazz in the Park, serta Pertandingan Bintang Bandaraya akan menghiasi hampir setiap minggu sepanjang tahun 2026. Pendekatan inklusif ini membuka ruang kepada penggiat seni lama dan baharu untuk beraksi dan mencipta. Ia adalah sebuah peta seni bernafas, dari rentak tradisional ke bunyi eksperimental, dari ilham klasik ke bisikan moden.

Lebih daripada sekadar persembahan, program ini juga menyumbang kepada agenda Tahun Melawat Malaysia 2026, menjadikan Kuala Lumpur destinasi pelancongan budaya yang dinamik dan berdaya saing. Sebagai pintu gerbang pelancong ke Malaysia, ibu kota memerlukan nadi budayanya sendiri dan Panggung Anniversari bersedia menggalas peranan itu. Keindahan seni yang terpancar dari pentas ini bukan hanya untuk hiburan, tetapi juga sebagai duta nilai dan keunikan Malaysia.

DBKL juga mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, institusi pendidikan, NGO, dan syarikat produksi serta pengurusan acara untuk menjadikan Panggung Anniversari sebagai nadi seni masa kini dan masa depan. Dalam semangat itu, inisiatif ini menjadi medan pertemuan rentas sektor, rentas generasi, dan rentas komuniti. Ia memanggil semua pencinta seni dari pengkarya sepi ke peminat lantang, dari pelukis jalanan ke orkestra simfoni untuk merayakan kota yang hidup melalui nadanya.

Malam itu saya pulang dengan dada yang hangat, telinga masih berdendang dan hati percaya bahawa seni tempatan tak pernah mati, ia hanya menunggu panggung yang percaya kepadanya. Kini panggung itu sudah kembali, menyala semula sebagai ruang yang bukan hanya menyimpan kenangan, tetapi mencipta yang baharu. Di sinilah kota mendengar semula denyut jiwanya.

Foto Kredit: Pa Pa Din / FB DBKL / MegatzRevieW