Memoir Indah 'This Is UNIC: Live In Concert' Tercatat Penuh Kesedaran, Penuh Makna

oleh: zizi hashim

Idea Live Arena malam itu tidak sekadar dipenuhi cahaya dan gema sorakan. Seluruh ruangannya terasa seperti sebuah perhimpunan jiwa: tenang, tertib, dan sarat makna. “This Is UNIC: Live In Concert” hadir sebagai momen penting bukan sahaja buat UNIC, tetapi juga buat landskap muzik Malaysia yang selama ini memisahkan hiburan dan akar nilai seolah-olah dua dunia berbeza. Tidak hadir sebagai nostalgia kosong. Ia bergerak sebagai pernyataan kematangan bahawa nasyid mampu berkembang seiring zaman.

Selepas lebih dua dekad meniti perjalanan seni, konsert solo penuh pertama UNIC ini terasa seperti jawapan kepada satu persoalan lama: masihkah nasyid punya tempat di tengah arus hiburan moden? Jawapannya terhidang jelas sepanjang malam. Ya dan ia berdiri dengan cukup bermaruah. Malam 20 Disember 2025 itu bukan tentang membuktikan relevansi semata-mata, sebaliknya tentang menghidupkan semula hubungan emosi antara lagu, pencipta dan pendengar yang sudah lama berjalan seiringan.

Introduksi mukadimah dengan “Hanyut” terasa simbolik, seolah-olah mengajak penonton menyelam ke dalam arus perjalanan panjang UNIC. Aura Idea Live Arena berubah serta-merta. Susunan muzik yang lebih kontemporari, tatacahaya pentas yang kemas, serta visual yang sederhana tetapi berkelas memberi isyarat bahawa malam ini bukan nostalgia kosong. Ia adalah refleksi kematangan. Penonton dari generasi yang membesar bersama kaset nasyid awal 2000-an hinggalah wajah-wajah muda menyatu dalam irama yang sama.

Dari situ, alunan vokal Bazli Hazwan, Dr. Fitri Haris dan Fakhrul Radhi menyatu dalam susunan muzik yang lebih berlapis namun tidak kehilangan sifat tunduk dan jujur. Setiap peralihan lagu disusun seperti bab dalam sebuah memoir: perlahan, bererti dan penuh kesedaran. Kalau menurut saya, keindahan konsert ini terletak pada alirannya. Lagu-lagu seperti “Balqis”, “Remaja” dan “Mahligai Kasih” bukan sekadar dinyanyikan, tetapi dihidupkan kembali dengan konteks baharu. Ribuan suara yang menyanyi bersama bukan lahir daripada euforia semata-mata, tetapi daripada memori yang masih tersimpan rapi.

Bazli Hazwan sendiri mengakui keistimewaan momen tersebut, “Apabila kami menyanyikan lagu-lagu lama seperti Balqis dan Remaja, kami seakan kembali ke titik awal perjalanan UNIC. Melihat penonton menyanyi bersama membuktikan lagu-lagu ini masih hidup dan bermakna hingga hari ini.” 

Segmen reflektif menjadi nadi konsert ini. “Hakikat Bahagia”, “Doa Dhuha”, “Anak Soleh”, “Jom Solat” dan “Qunut Nazilah” mengubah arena menjadi ruang renungan dan muhasabah kolektif. Tiada desakan untuk menyanyi kuat, tiada sorakan berlebihan dan tiada keperluan untuk merakam setiap saat. Juga tiada keperluan untuk berdiri. Yang wujud hanyalah kehadiran penuh dengan mata yang terpejam, bibir yang mengalun perlahan, dan hati yang tersentuh. Keheningan yang tercipta terasa suci seakan setiap individu diberi ruang berdamai dengan diri sendiri.

Fakhrul Radhi menggambarkan detik itu dengan jujur, “Apabila ribuan penonton menyanyi bersama lagu-lagu seperti Hanya Tuhan Yang Tahu dan Ainul Mardhiah, kami benar-benar merasai hubungan yang sangat kuat antara kami dan peminat. Itu bukan sekadar persembahan, tetapi perkongsian rasa.”

Dari sudut produksi, konsert ini membuktikan bahawa nasyid tidak perlu terikat dengan pendekatan konservatif. Susunan muzik moden, transisi pentas yang lancar, serta kawalan audio yang kemas memperlihatkan tahap profesionalisme setara konsert arus perdana. Kehadiran tetamu undangan Naufal Isa dan Nizam Laksamana menambah dimensi persahabatan dan kesinambungan nilai. Mereka tidak hadir sebagai hiasan pentas, tetapi sebagai rakan seperjalanan yang berkongsi visi bahawa muzik berteraskan iman dan kemanusiaan masih mempunyai masa depan yang cerah jika diolah dengan kejujuran dan visi yang jelas.

Sorakan kembali memenuhi ruang apabila lagu-lagu ikonik seperti “Hanya Tuhan Yang Tahu”, “Mahligai Kasih” dan “Sekolahku” dipersembahkan. Namun sorakan itu berbeza sifatnya, lebih kepada pelepasan emosi daripada keterujaan kosong. Setiap bait terasa seperti doa yang dinyanyikan bersama, mengikat ribuan suara dalam satu rasa yang sama. Berlangsung hampir 2 jam tiga puluh minit, UNIC membawa penonton merentasi perjalanan panjang mereka dan kemuncaknya “Ainul Mardhiah”. Lagu penutup itu terasa seperti simpulan emosi: bukan penamat, tetapi pernyataan bahawa perjalanan ini masih bernafas.

“This Is UNIC: Live In Concert” membuktikan bahawa hiburan berteraskan nilai mampu berdiri megah di pentas arus perdana jika diurus dengan visi, profesionalisme dan keikhlasan. Penganjuran oleh Triple Am Global, sokongan teknikal yang kemas serta penjenamaan pentas yang moden menjadikan malam itu satu penanda aras baharu untuk nasyid di Malaysia.

Malam itu tidak berakhir sebagai sebuah kenangan semata-mata. Ia terasa seperti permulaan fasa di mana UNIC tidak lagi dilihat sebagai kumpulan nasyid nostalgia, tetapi suara penting dalam perbualan tentang muzik berjiwa, kemanusiaan dan makna hidup di tengah dunia yang terlalu bising. Dan di Idea Live Arena, nasyid malam itu tidak sekadar didengar. Ia singgah, menetap, dan pulang bersama setiap jiwa yang hadir.