
oleh: zizi hashim
Lautan manusia mulai memenuhi Unifi Arena sejak mentari belum tenggelam. Masing-masing hadir bawa harapan, semoga pulang nanti bawa indahnya kenangan. Yang berbaju hitam kelihatan segak bergaya, yang berkain batik tampak cukup berwibawa, semuanya datang meraikan seorang legenda yang tidak pernah meminta dipuja. Empat dekad lebih bukan tempoh yang singkat. Setiap karya yang lahir terus melekat, setiap melodi yang tercipta kekal terpahat. Barangkali sebab itulah nama Dato' M. Nasir masih teguh berdiri di carta teratas, meskipun zaman sudah berkali-kali bertukar pentas.
Belum pun kelibatnya muncul di hadapan, tepukan sudah berombak bagai di landa taufan. Begitulah besarnya aura seorang seniman, belum bernyanyi sudah diraikan. Mana kan tidak ramai yang akur, tulus mengakui secara jujur. Tidak ramai mampu melahirkan mahakarya yang bertahan zaman berzaman. Lebih sedikit mampu mencipta lagu yang merentas sempadan. Namun Dato' M. Nasir sudah lama melepasi ukuran, kerana setiap bait yang lahir daripada fikirannya akhirnya menjadi sebahagian daripada kehidupan.


Tatkala tatacahaya menyimbah seisi pentas, seluruh Unifi Arena bagaikan dalam kandang yang terlepas. Ribuan suara bersatu serentak, sorakan bergema bertalu-talu tanpa henti bergerak. Saya tersenyum perlahan, menikmati sebuah rasa yang sukar diterjemahkan. Barangkali beginilah rasanya apabila karya bertemu tuannya, manakala kenangan kembali mencari pemilik asalnya. Malam itu tidak sekadar meraikan lagu yang pernah menjadi siulan, tetapi turut menghimpunkan cebisan-cebisan perjalanan. Ada kisah tentang cinta yang pernah singgah kemudian hilang. Ada cerita tentang perjuangan yang pernah rebah sebelum kembali bangkit cemerlang. Ada juga kenangan yang selama ini diam, akhirnya kembali menyapa penuh terang.
Seawal "Ekspres Rakyat" memecah keheningan, saya sudah dapat merasakan ini bukan biasa-biasa persembahan. "Hati Emas", "Perjuangan" dan "Aku Dah Bosan" berkumandang silih berganti, ibarat helaian diari yang dibuka kembali. Tidak perlu banyak bicara, muzik sudah tahu tugasnya. Tidak perlu terlalu banyak gaya, melodi sudah cukup membuat jiwa percaya. Saya paling suka bagaimana setiap lagu disusun tanpa tergesa-gesa. Ada ruang untuk penonton sing-along bersama, ada waktu untuk sekadar memejam mata. Visual yang menghiasi pentas tidak pernah mencuri perhatian, sebaliknya sekadar menjadi pelengkap kepada keindahan persembahan. Cahaya, warna dan susunan muzik saling berpaut kemas, menjadikan setiap transisi terasa halus tanpa pernah terasa lemas.


"Ramai di sini suka karaoke?" tanya Dato' M. Nasir tiba-tiba. Dan dalam nafas yang sama medley "Sentuhan Kecundang", "Sekuntum Bunga Sakura", "Sampai Hati" dan "Azura" pun bergema, sekaligus mencetus nuansa bilik karaoke skala sebesar stadium yang membawa khalayak pulang ke loceng masa. Gemerlap flashlight berwarna-warni menambah meriah di sana sini. Jerit pekik semakin lantang apabila medley lagu-lagu balada ini berkumandang. Tangan-tangan di udara penuh bertenaga.
Rentak malam kemudian berubah cuaca. "Fenomena", "Musnah" dan "Pembakar Perasaan" kian membakar euforia semangat yang sejak tadi tegap menyala. Unifi Arena kembali bergelora, sorakan datang bertimpa-timpa. Belum sempat degup jantung kembali reda, Dato' M. Nasir sekali lagi membuktikan beliau cukup bijak membaca rasa. Tatkala tenaga memuncak di dada, beliau segera menurunkan tempo agar emosi kembali bernyawa.
"Ukiran Jiwa", "Dari Kekasih Kepada Kekasih", "Milik Siapakah Gadis Ini" dan "Jangan Kau Rayu" menjadi penawar kepada jiwa yang meronta-ronta. Ada yang menyanyi perlahan. Ada yang menutup mata rapat-rapat. Ada juga yang sekadar membiarkan lagu itu menyelesaikan segala yang selama ini tidak sempat diungkap. Mungkin muzik sememangnya dicipta untuk tujuan itu. Mengubati yang retak, menyambung yang renggang dan memeluk yang hilang.


Sesuatu yang langsung tidak dirancang, tiba-tiba terbentang. M. Nasir memandang ke arah tempat duduk penonton. Senyumannya mula mengundang tanda tanya, usikannya pula mengundang gelak ketawa. Tidak lama kemudian, satu nama mula bergema memenuhi arena. "Saya dengar Dato' Seri Siti Nurhaliza boleh menyanyi?" Seloroh disambut sorakan gemuruh. "Tak mahu? Malu? Kalau tak mahu, Datuk K sajalah yang menyanyi." Usikan masih tak berhenti. Pada mulanya Siti geleng kecil seraya tersenyum malu. Semakin dipujuk, semakin tersipu. Seluruh arena pecah dengan gelak ketawa, kemudian bersatu dalam satu suara, sepakat menyeru nama biduanita negara.
Akhirnya Siti bangun jua. Bukan kerana terpaksa, tetapi kerana hormatnya kepada seorang legenda. "Demi seorang legenda yang saya hormati dan sempena ulang tahun hari jadinya... saya sudi menyanyi." Spontan bersahaja tanpa bersedia, "Bagaikan Sakti" lantas bergema seperti tidak pernah berhenti bernyawa. Pengalaman puluhan tahun berbicara sendiri. Seorang memulakan melodi, seorang lagi menyempurnakan harmoni. Saya terus rasa meremang, bukan selalu berpeluang menyaksikan sebuah sejarah lahir tak berulang. Goosebump teruk oiii sumpah tak tipu! Saya rasa itulah hadiah ulang tahun yang paling bermakna. Bukan kek, bukan bunga... tetapi sebuah karya yang kembali bernyawa.


Seusai debaran perlahan-lahan reda, pentas kembali menyambung perjalanan yang telah direncana. Dato' Awie muncul membawa karisma yang tidak pernah pudar. Menerusi "Ghazal Untuk Rabiah" dan "Istana Menanti", dua figura besar yang pernah mencorakkan sejarah muzik tanah air berdiri sebaris, saling melengkapi tanpa perlu tepis menepis. Yang seorang tenang bersulam falsafah, yang seorang bawa aura melimpah-ruah. Dua warna berbeza, namun satu jiwa. Indahnya sebuah persahabatan seni. Tidak perlu berlumba mencari siapa paling bersinar, kerana apabila dua bintang bertemu di langit yang sama, akan menjadi jauh lebih bercahaya.
Malam kemudian bertambah indah apabila Melly Goeslaw melangkah ke pentas, disambut tepukan yang cukup hangat. Pertemuan dua komposer besar dari dua negara itu terasa begitu alami, seolah-olah tiada sempadan yang pernah memisahkan mereka. Bahasa mungkin berbeza loghat, namun muzik sentiasa fasih menjadi penyambung hasrat. Menerusi "Suatu Masa" dan "Fantasia Bulan Madu", Melly dan Dato' M. Nasir saling bertukar rasa melalui melodi yang sudah lama mengikat memori pencinta muzik Nusantara. Lembut lenggok vokal Melly menyapa telinga dengan penuh kelembutan, manakala suara Dato' M. Nasir pula hadir dengan karakter yang begitu tersendiri.


Tak semena-mena cahaya berubah malap, seluruh arena mula bersiap. Sebiji kek dibawa mengadap, buat sang maestro yang selama ini tidak pernah mengharap. Usia mungkin bertambah genap, namun semangatnya langsung tidak pernah ranap. Bukan hadiah yang membuatnya sebak, tetapi ribuan manusia yang datang tak bergerak. Seorang demi seorang berdiri tegak, menyanyikan Selamat Hari Jadi dengan suara yang cukup lunak. Sesekali M. Nasir memandang ke kiri dan ke kanan, melihat para pemuzik, kru produksi serta sahabat seperjuangan yang selama ini setia mengiring perjalanan. Wajahnya kekal tenang, namun senyumannya penuh pengertian. Bukan mudah untuk bertahan sepanjang zaman, apatah lagi terus dicintai merentas generasi dan sempadan.
Sejurus usai tiup lilin, M. Nasir petik pula nama Ziana Zain. Tak cukup 1 kejutan, tak sangka ada lagi momen spontan. Sorakan kembali memenuhi segenap ruang, kali ini lebih panjang dan lebih lantang. "Halaman Asmara" bersulam pesona, dua legenda dengan karakter suara penuh wibawa. Berbeza rona, berbeza warna, namun bertemu pada rasa yang sama. Lunak suara Ziana menyapa telinga manakala vokal M. Nasir kekal utuh menjadi tiang kepada segala irama. Cukup dengan sebuah lagu, mereka berjaya menghidupkan ribuan rasa.


Tiada tanda mahu mengakhiri perjalanan, jauh sekali memperlahankan kayuhan. "Tanya Sama Itu Hud Hud" membuka kembali ruang renungan, mengajak seluruh arena mengembara bersama bait-bait yang sarat falsafah kehidupan. "Bas No. 12" pula menceriakan suasana dengan nuansa yang lebih santai, sebelum "Gerhana" menghangatkan nuansa di Unifi Arena. Rentak kian meninggi, "Sahabat Gua" dan "Apokalips" rapat meyusuli. Bagaikan pelukan terakhir, "Raikan Cinta" dan "Ada" buat khalayak berdansa seiring M. Nasir.
Sejurus intro "Sentuhan Listrikmu" berkumandang, seluruh arena makin kuat bergoncang. Ribuan tangan terangkat melambai seiring rentak, ribuan suara menyanyi tanpa pernah terasa penat. Lagu itu terus membuktikan mengapa ia kekal menjadi antara karya paling melekat. Semakin lama usianya bergerak, semakin kuat pula gema yang terpacak. Barangkali sesetengah lagu memang tidak pernah menjadi tua, kerana ia sentiasa menemui pendengar baharu pada setiap masa. Akhirnya "Mentera Semerah Padi" dipilih sebagai noktah sebuah malam yang penuh bererti. Pilihan yang saya kira cukup sakti. Liriknya bagai sepotong doa, melodinya bagai sehelai mantera.


Tatkala nada terakhir mula menghilang, seluruh arena terus berdiri memberi penghormatan. Tepukan bergema panjang, sorakan pula tidak putus-putus kedengaran. Lampu akhirnya dipadamkan. Tirai akhirnya dilabuhkan. Namun karya-karya Dato' M. Nasir saya percaya tidak akan pernah menemukan penghujung. Kerana sesetengah konsert hanya meninggalkan hiburan. Namun M.N47IR CIPTA 4 meninggalkan kenangan kehidupan. Dan sesetengah legenda mungkin akan berhenti menyanyi suatu hari nanti, tetapi karya yang lahir daripada jiwa... akan terus hidup, selagi manusia masih punya hati.
Teruskanlah menCIPTA Tok Sir! Kami masih mahu banyak lagi 'cipta rasa dan cinta' dalam jiwa. Terima kasih untuk 47 tahun yang indah! Semoga kekal berkarya, kami tetap di sini, kami tetap ada. Syabas untuk ke sekian kalinya, Icon Entertainment!