oleh: zizi hashim
Sebagai rockers sejati yang membesar dengan bunyi gitar distortion dan lirik-lirik yang rebel, saya tahu konsert CIPTA 3 ini bukan sekadar satu lagi show untuk dihadiri. Ini adalah panggilan jiwa. Jaket kulit dah tersedia, semangat rock dah membara sejak seminggu sebelum, saya dah count down hari seperti budak tunggu hari raya. Malam-malam tertentu dalam hidup, kita tahu akan terus terpaku dalam ingatan. Malam itu, Axiata Arena bukan sekadar venue konsert, ia menjadi katedral rock, tempat di mana ribuan jiwa berkumpul bukan untuk mendengar, tetapi untuk merasai.
Dan saya? Saya dengan bangga declare bahawa saya adalah sebahagian daripada ritual ini. Ini CIPTA 3. Ini Dato' M. N46IR, legenda yang telah 4 dekad lebih membentuk landskap muzik tanah air. Membesar dengan karya-karya Dato’ M. Nasir, keterujaan saya meluap-luap menanti momen untuk menyaksikan sendiri Malam Rock yang dijanjikan. Tanggal 27 September 2025, Axiata Arena berubah menjadi rumah besar buat jiwa-jiwa yang tidak pernah padam cintanya pada muzik. Ribuan hadir dengan gaya masing-masing. Jaket kulit, seluar koyak, t-shirt band semata-mata untuk meraikan kebebasan yang disatukan oleh satu kod: “Rock Cara Lu… Janji Rock”.
Sejurus lampu padam usai azan waktu Isyak, sorakan kuat terdengar membelah ruang. Dentuman dram Ujang, riff gitar Nan dan Rafi mulai menyalakan api. Lantas suara keramat itu, suara sifu M. Nasir memecah keheningan dan menghentak udara dengan introduksi Isi Atau Kulit. Berdiri bulu roma saya! Bukan hanya pemanas enjin, ia seruan awal bahawa malam ini adalah laungan manifesto seni yang melambangkan jiwa rock sebenar. Apatah lagi diikuti rapat dengan Musnah dan Jerangkung Dalam Almari yang langsung menusuk.
Ini bukan muzik untuk digoyang-goyang kepala sambil lewa. Ini kritikan sosial yang dibungkus dalam rock keras. Segmen pembukaan itu menjadi seperti pintu gerbang menuju dunia lain, dunia di mana muzik menjadi cermin dan kritik terhadap kehidupan moden. Saya intai sekeliling, ramai yang mengangguk, mata tertutup, setiap bait adalah cermin kepada pengalaman mereka sendiri. Saat lagu favorite saya Pembakar Perasaan dan Opera Hidup dilantunkan, energi yang melimpah ruah membawa khalayak ke satu tahap yang lain.
Kemudian bergema Apa Lagi, sebuah pertanyaan yang menggantung di udara seperti asap rokok di kelab jazz lama. Bergegar Axiata Arena sejak dari mula tirai dibuka, sesuatu yang memang sudah dijangkakan. Tepat dengan seruan tema 'Malam Ini Gua Rock'. Segmen kedua membawa sisi lain: lembut, reflektif, penuh rasa. Tenaga keras tadi menjadi kelembutan yang menusuk lebih mendalam. Laila Namamu Teratas dan Srikandi Cintaku bukan sekadar lagu cinta. Ini puisi yang hidup, dihembuskan nafas oleh pemuzik yang memahami setiap nota bukan sekadar sebagai bunyi, tetapi sebagai emosi yang konkrit. Begitu menembus hati. Sifu mengajak khalayak ramai-ramai berdiri dan sing-along.
Namun detik yang paling mencengkam datang dengan Jiwa-Jiwa Luka dan Rupa Tanpa Wajah. Axiata Arena yang tadi penuh dengan sorakan menjadi sunyi. Sunyi yang penuh. Saya lihat telefon-telefon terangkat, bukan untuk rakam video, tetapi untuk menjadi cahaya dalam kegelapan. Ramai terdiam sendiri, hanyut bersama bait yang membekas.
Sifu M. Nasir tampil ringkas dan santai dalam tshirt putih dan seluar hitam, tetapi uniknya menggayakan kain pelikat merah petak ala-ala scotish skirt. Nampak rugged dan ranggi. Sesuai tema dan sesuai usia. Segmen ketiga kembali menggetarkan nadi. Medley Pertama dan Selamanya, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu hingga Falsafah Cinta, Dibayang Awan, Ukiran Jiwa, dan Meniti Titian Usang membawa kita ke jalan cerita penuh renungan. Kesemua lagu dinyanyikan berjemaah dalam gema seluruh ruang Axiata Arena, saya tenggelam dalam irama terutamanya pada nada Ukiran Jiwa yang menjelmakan nostalgia.
Nada kibod Firdaus Mahmud dan Eddie Slam mencipta tekstur yang kaya, sementara bass Norman Abdullah dan dram Ujang membina fondasi yang kukuh. Ketika Di Jalan Sesat dan Aku Dah Bosan dimainkan, riuh rendah sorakan bercampur tawa sinis seakan menyedari bahawa kritik sosial M. Nasir tetap segar, tetap relevan. Bukankah kita semua pernah, atau sedang, berada di jalan itu? Saya paling suka pada nada reggae Aku Dah Bosan, tak dapat menahan diri terus berdiri dan menari bersama hadirin. Lalu datang Kau Ratnaku dan Hipokrasi pula menyalakan kembali semangat rebel dalam darah ribuan yang hadir.
Kalau tadi kita dibawa merenung, sekarang kita dibawa menjerit melalui seleksi Cinta Sepi, Saatku Idamkan dan Gemuruh. Arena berubah menjadi lautan manusia yang bergerak sebagai satu entiti. Saya bersorak, menyanyi hingga suara serak. Orang di sebelah yang tak pernah saya kenal, tiba-tiba jadi kawan seperjuangan dalam perayaan muzik ini. Itulah kuasa konsert seperti ini: ia menjadikan kita satu. Paling best ketika sama-sama karaoke lagu Gemuruh. Goosebump lagi entah kali ke berapa. Semuanya hafal senikata walaupun memang tertera di skrin besar.
Tak lama kemudian muzik menjadi lebih daripada hiburan. Ia menjadi manifesto. Impian Seorang Nelayan, lagu Kembara yang menyentuh kehidupan orang biasa, impian sederhana yang sering terlalu mahal untuk dicapai. Perjuangan/Hati Emas/Gerhana/Duit Duit, medley ini adalah tamparan kepada sistem yang mengabaikan yang lemah, yang mengutamakan duit di atas kemanusiaan. Di tengah konsert rock yang penuh kemeriahan, tiba-tiba kita diingatkan: muzik ini lahir dari realiti. Ia bukan escapism, ia konfrontasi.
Apokalips, lagu Dato' M. Nasir yang membawa tenaga ke klimaks akhir. Dunia di ambang perubahan, dan kita semua di sini menyaksikannya melalui muzik. Kemudian... koplo. Ya, anda baca betul. Pawana versi koplo. Arena jadi gila. Tenaga bertukar dari apokaliptik kepada karnival. Saya tak tahu nak ketawa atau terus menari, jadi saya buat kedua-duanya sekali. Penutup yang tidak dijangka, berani, dan sepenuhnya M. Nasir, unpredictable hingga ke saat akhir.
Saya fikir konsert hampir tamat. Tetapi belum lagi. Lampu bertukar biru lembut. Pentas diselubungi aura yang hampir mistik. Kemudian... entah dari mana datang Sentuhan Listrikmu. Seluruh Axiata Arena terdiam. Terdiam sepenuhnya. Suara M. Nasir tanpa distorsi, tanpa efek dramatik, hanya suara raw yang penuh jiwa, bergema ke setiap sudut. Saya dongak ke atas. Beribu-ribu lampu telefon dan lampu tangan (yang diberi percuma) terangkat perlahan, dalam pelbagai warna, mencipta galaksi kecil kita sendiri di tengah kegelapan Axiata Arena.
Merah, Kuning, Biru, Ungu, Hijau, Jingga, semua warna bersatu, mencipta lautan cahaya. Indah sungguh pemandangan kelip-kelip cahaya ini. Saya memang sedari awal lagi sudah meremang bulu roma. Lagu ini, lagu tentang percikan cinta yang mengubah jiwa, tentang janji yang tulus, menjadi detik paling intim dalam konsert yang penuh tenaga tadi. Inilah kemahiran M. Nasir, sifu tahu bila masa untuk menghentam keras, dan bila masa untuk berbisik lembut. Dan bisikan ini lebih kuat daripada teriakan.
Axiata Arena bergoncang, penonton menari, melompat, menyanyi. Malam itu ditutup bukan dengan noktah, tetapi dengan letupan tanda seru. Perlu disebutkan, di belakang semua itu berdiri barisan pemuzik elit terdiri dari Nan Alias dan Rafi Mohd di gitar, Firdaus Mahmud dan Eddie Slam di keyboard, Norman Abdullah di bass, Ujang Exists di drum, Pa’ang Zaman dan Awe Hisharudy di perkusi, Boy Razli di gambus, Mohar di seruling, serta vokal latar Eja Muhamad Nor, Juanita Ismail, Sutan Yuaz, Awe Azran dan Widy Hamzah . Mereka bukan sekadar pengiring, mereka adalah tembok bunyi, tubuh kolektif yang memberi roh kepada setiap bait.
Ini bukan one-man show. Ini orkestra rock yang dipersembahkan dengan tahap profesionalisme yang membuatkan anda lupa yang ini konsert tempatan. Ini kualiti dunia. Oh ya hampir terlupa sekalung tahniah buat sang pemenang bertuah motorsikal Harley Davidson, kalau tak silap Haikal namanya. Motor yang dimenangi untuk bapanya. Bertuah sungguh! Konsert berlangsung lebih 3 jam dengan seleksi 18 lagu termasuk medley. Dari pembukaan hingga penutup, tiada saat yang membosankan. Tiada filler. Setiap lagu dipilih dengan teliti untuk menceritakan satu naratif besar tentang kehidupan, cinta, perjuangan, dan falsafah. Saya keluar dari arena dengan kaki penat, suara serak, tapi jiwa penuh.
Iman Tang, pengasas Icon Entertainment, mengumumkan dalam sidang media usai konsert bahawa perjalanan ini belum tamat. CIPTA 3 adalah sebahagian daripada satu visi yang lebih besar. Mungkin akan ada N47IR dan N48IR. Malah, konsert ulang tahun ke-50 M. Nasir dalam bidang seni dijangka akan jadi yang terakhir dan paling besar. Iman juga beritahu dia tidak mahu buat konsert sekadar untuk buat. Konsep itu yang paling penting. Mungkin akan ada malam runut bunyi (OST), atau bahkan, entah kenapa saya rasa ini idea gila yang bijak, malam dangdut M. Nasir.
CIPTA 3 membuktikan bahawa rock bukan genre, ia adalah sikap. Ia adalah keberanian untuk mempersoalkan, untuk bersuara, untuk merasai dengan penuh intensiti dalam dunia yang sering meminta kita untuk duduk diam dan conform. Dan M. Nasir? Beliau adalah roh muzik nusantara. Beliau adalah bukti hidup bahawa seni sejati tidak lapuk dimamah zaman. Ia hanya jadi lebih relevan, lebih dalam, lebih bermakna. Malam itu, kita semua rock. Dan itu cukup untuk mengubah sesuatu dalam diri kita, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu. Atau mungkin, kalau kita beruntung, untuk selamanya.