
oleh: zizi hashim
Getaran malam 1 Februari 2026 merayap perlahan ke ruang Zepp Kuala Lumpur, memanggil kembali kenangan yang pernah beranjak usia bersama kaset, CD, dan senarai permainan telefon. Sekitar 1,200 penonton berhimpun bukan semata-mata mengejar hiburan; ada yang datang membawa sejarah peribadi berbekalkan lagu-lagu yang pernah menguatkan saat rapuh, lirik yang pernah menjadi sandaran ketika hidup terasa sempit.
Rockolusi Kuasa Dua, anjuran Republic Mokhmah Records, membuka tirai tepat jam 8.45 malam sebagai pertemuan dua kutub rock tempatan yang sama-sama matang, Kristal X dan Azlan And The Typewriter. Pentas dimulakan oleh Nogori Arts School Voice Ensemble (NASVE), barisan koir 24 pelajar dari Negeri Sembilan. Pilihan pembuka ini terasa berani tatkala aura rock disambut dengan disiplin vokal koir yang tertib. "Lagu Untukmu" mengalir sebagai pengantara emosi, "Delaila" diberi nafas baharu melalui susunan harmoni yang kemas, manakala "Jangan Khianati Aku" dan "Seragam Hitam" dipersembahkan dengan penghayatan yang mengubah landskap persepsi: karya-karya rock mampu berdiri anggun dalam balutan koir.



Pada suatu ketika, ruangan Zepp KL tiba-tiba diterjah sepi. Sunyi yang terasa ibarat hormat, bukan kehilangan energi. Momen penyatuan simbolik terjadi apabila Kristal X dan Azlan And The Typewriter muncul bersama menerusi "Rockolusi". Peralihan pentas kemudian memberi ruang kepada Azlan And The Typewriter untuk membina naratif yang lebih intim. "Overture Rockolusi" menjadi pintu masuk kepada rentak yang lebih jujur, diikuti "Kelibat Si Penyair" dan "Silap Mata": dua karya yang terasa seperti halaman diari usang yang kembali dibuka semula.
"Lebih Baik Sendiri", "Mesin Waktu", "Ampun" dan "Ingkar" menyusuri lorong refleksi tentang pilihan hidup; "Jeritan Batinku" pula terdengar sebagai gema kolektif mereka yang pernah tersesat arah. Sekali lagi lagu "Jangan Khianati Aku" dan "Lagu Untukmu" berkumandang, dipilih untuk menutup set yang membawa rasa pulang ke zaman kegemilangan. Detik spontan memanaskan hubungan pentas dan penonton apabila Azlan menghadiahkan dua gitar kepada peminat bertuah; jarak yang biasanya tegar terasa runtuh, diganti keakraban yang tidak dirancang.


Jeda teknikal singkat memberi ruang nafas sebelum Kristal X menguasai pentas. Overture KX membuka segmen dengan keyakinan, diikuti Persoalan yang mengajak berfikir. Memburu Impian, Pasti Sempurna dan Selagi Ada Rindu mengisi ruang-ruang emosi yang lama terbiar. Resam Pak Belalang, Cinta Tiga Segi dan Suatu Kenangan hadir sebagai nostalgia yang tidak memaksa, sekadar mengingatkan bahawa masa lalu pernah menoreh makna. Zunika, La Obe dan Pesta Muda Mudi menghidupkan dewan dengan rentak yang mengajak bergerak, sebelum Keindahan Pantai menutup segmen dengan rasa lega.
Salah satu detik paling menyentuh muncul apabila Lan Solo memberi penghargaan terbuka kepada Acap Kristal yang menggantikan Ainol pada saat akhir. Pengakuan “hero malam ini” disambut tepukan panjang; momen kecil yang memperlihatkan sisi kemanusiaan di sebalik persembahan besar. Keistimewaan konsert turut diperkukuh dengan pembabitan NASVE yang bukan hanya menambah lapisan emosi, malah membawa makna lintas generasi—barisan koir turut dianggotai oleh anak Azlan dan Lan Solo. Gambaran ini terasa jujur: warisan muzik bergerak dari tangan ke tangan, bukan terhenti pada satu era.



Segmen penutup merangkum keseluruhan gagasan Rockolusi Kuasa Dua. Azlan And The Typewriter kembali ke pentas bersama NASVE menerusi Idola, Delaila dan Tanda Tanya. Seragam Hitam 2020 menutup malam dengan perasaan menyatu, pentas bukan lagi milik satu kumpulan atau satu zaman, tetapi ruang bersama. Dari sudut produksi, pencahayaan dan sistem bunyi dimanfaatkan dengan efektif, menyokong dinamika persembahan tanpa menenggelamkan keaslian muzik live. Interaksi artis dan penonton terasa organik; tiada dinding emosi yang memisahkan.
Pulang dari Zepp Kuala Lumpur malam itu, yang terbawa bukan hanya memori setlist atau sorakan ramai. Ada sisa perenungan tentang bagaimana rock tempatan memilih untuk matang: berani bereksperimen, tetap setia pada akar, dan sedia membuka ruang kepada generasi baharu. Rockolusi Kuasa Dua menegaskan bahawa pertembungan Kristal X dan Azlan And The Typewriter bukan perayaan nostalgia semata-mata, tetapi manifestasi kesinambungan: muzik yang hidup kerana berani berubah, namun tidak melupakan asal-usulnya. Sampai jumpa lagi dalam gema rock yang seterusnya!

