'Pentas Barbarik Vol. 2' Menoreh Parut Indah, Muzik Keras Terus Bernafas Penuh Maruah

oleh: zizi hashim

Malam 31 Januari 2026 menuntut kesediaan jiwa sejak kaki menyentuh lantai Mega Star Arena Kuala Lumpur. Bukan kerana himpitan tubuh atau bising yang berlebihan, tetapi kerana nama Barbarik membawa beban ekspektasi yang tidak ringan. Siri Pentas Barbarik sudah lama meletakkan garis keras tentang disiplin, tenaga, dan keberanian bunyi. Volume kedua hadir dengan aura extravaganza rock yang lebih gelap, lebih kemas, lebih terancang, seolah-olah mahu menoreh parut indah pada ingatan mereka yang hadir.

Lebih 5,000 penonton berhimpun, bukan sekadar mahu mendengar lagu, tetapi ingin menyelami denyutan kolektif yang hanya lahir apabila komuniti muzik bertemu di ruang yang sama. Pentas Barbarik Vol. 2 bukan pameran nostalgia; ia sebuah pernyataan bahawa muzik berat tempatan masih bernafas dengan yakin, disokong generasi yang saling memaut. Penganjuran oleh Republic Mokhmah Records (RMR) dan Pentas Barbarik Sdn Bhd terasa rapi dari awal hingga akhir, diperkukuh liputan rakan media rasmi Sinar FM dan Astro Gempak yang membantu mengangkat momentum malam ini ke luar arena.

Segmen mukadimah memilih jalan paling jujur: bukan dengan lagu, tetapi dalam bentuk pakej ritual. Drum Battle selama tiga setengah minit menjadi gerbang pertama. Ainol, Black dan Jojet berdiri sebagai paksi, membina dialog hentakan yang bukan sekadar memecah sunyi, malah membelah masa. Setiap pukulan terasa sebagai pengakuan disiplin; setiap pertembungan ritma seperti perdebatan ego yang akhirnya bersatu pada satu tujuan: membuka ruang dengan tegas. Ritual ini ternyata lebih berani berbanding edisi lalu, bagai mengisyaratkan bahawa malam ini tidak berniat berkompromi.

"Golok Kayu" menyusul sebagai kemunculan penuh Barbarik. Karl Cromok melangkah dengan aura yang tidak perlu diperkenalkan; sorakan penonton menjadi saksi bahawa pertemuan ini bukan kebetulan. "Delilah" mengikat pembukaan dengan suasana gelap yang terkawal. Tempo tidak dikeraskan secara tergesa-gesa, sebaliknya diberi ruang untuk mengembang. Ucapan pertama Jo Branko singkat tetapi bererti, seperti arkitek yang tahu bila harus membiarkan struktur berbicara sendiri.

"18000 Sayap" mencipta koir berjemaah; suara penonton bertaut tanpa perlu dipaksa. Sejenak mengendurkan degup jantung dengan "Didakap Pesona", memberi ruang emosi untuk bernafas. Kemudian hadir "Kasmaran Selamanya" sebagai bisikan panjang yang menyimpan kelam. Alur ini terasa lebih matang berbanding persembahan terdahulu. "Gegar Gunung Gemora" merampas kembali tenaga dengan gerakan yang tidak berlapik, diikuti rapat oleh "Julang Timur Tengah" dan "Hati Sulam Lain" yang mempamerkan tekstur bunyi lebih berlapis, memperluas palet Barbarik tanpa mengorbankan ketegasan identiti.

Segmen memperkenalkan Eddie dan Black menukar atmosfera. Sempat lagi Jo Branko mengacah-acah prank pada peminat dengan intro lagu "Lupakanlah" namun sebaliknya "Enigma" dan "Mayang Sulit" yang dibentangkan dengan kawalan rapi. Bunyi tebal berlingkar, ruang dan senyap diberikan hak berbicara. "Blues Ular Sawa" kemudian mengalir dengan rasa mentah berbau tanah, berpeluh, jujur. Solo bass tiga minit dari Rozaimi dan Eddie, disokong Ainol dan Black, mengangkat tulang belakang ritma ke hadapan pentas. Getaran nada rendah terasa hingga ke lantai. Dan lagu yang saya tunggu-tunggu "Biru Mata Hitamku" muncul sebagai letupan terkawal: padat, terdisiplin, membuktikan ketelitian susunan muzik malam ini.

Kehadiran Mel mengubah garis emosi. "Lena Diulit Intan" menguak pintu memori, diikuti "Ranjang Mawar" yang menajamkan rasa. Detik nostalgia bertukar menjadi penghormatan terhadap DNA muzik keras tempatan. Dipersembahkan dalam versi instrumental "Gwa Henjut Je" memanjangkan gema gitar, memberi ruang kontemplasi yang jarang diberikan dalam konsert berat. Aura seram "Penunggu" muncul dari gelap; Jojet memulakan bayang, Mus menyusul dan lagu ini bergerak seperti jejak yang enggan hilang. "Nasib Baik" hadir sebagai jeda sebelum wilayah reflektif mengambil alih.

"Krisis Dipertengahan Hidup" dan "Padamkan Lampu Tidur" berdiri sebagai cermin usia, keletihan, dan pertanyaan yang tidak selalu memiliki jawapan. Lampu kemudian meredup; serunai Awe memecah keheningan malam. Maka meledaklah "Peluru Cokelat" sebagai tanda pelepasan energi yang disimpan sejak awal malam. Penghujung diraikan dengan konfigurasi tiga drum dan dua bass, simbol kekuatan kolektif yang jarang dipertontonkan. "Keris Tak Bersarung" menutup tirai dengan ketegasan yang telus meski keras, jujur dan tanpa berselindung.

Tata cahaya dramatik, sistem bunyi yang kemas, serta rekaan pentas yang terancang menjadikan extravaganza rock ini terasa bernilai produksi setara persembahan antarabangsa. Apabila gema terakhir reda, yang tinggal bukan hanya dengungan di telinga, tetapi beban rasa yang sukar dirumuskan. Sejenis kelegaan kerana menyaksikan muzik berat tempatan masih mampu berdiri dengan maruah, bergerak ke hadapan tanpa perlu menoleh ke belakang. Pentas Barbarik Vol. 2 menutup malam dengan keyakinan bahawa besi tidak berkarat, bara tidak padam, dan legasi ini masih berdenyut di hadapan ribuan mata.

Sekalung tahniah kepada pihak penganjur atas suksesnya Pentas Barbarik Vol. 2  berlangsung penuh gemilang. Produksi kemas, tenaga padu, pengalaman menyeluruh yang sukar dilupakan. Apa lagi selepas ini? Masih tetap ditunggu...