'Tinggi'nya Sang Legenda Ella Di Hati 55,000 Fanatika, Majlis Tertinggi Rockqueen Cipta Sejarah

oleh: zizi hashim

Dia tidak sekadar mengisi sebuah stadium pada 14 Februari 2026, dia malah menghidupkan satu gelombang rasa yang sekian lama terpendam. Malam itu, 55,000 fanatika memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil. Dari tempat duduk paling atas hingga ke barisan hadapan, terasa seperti seluruh negara sedang pulang ke satu memori kolektif yang sama. Aura yang berlegar-legar di udara bukan euforia kosong; ia adalah getar yang lahir daripada dekad demi dekad kesetiaan, lagu-lagu yang membesar bersama kita, dan suara yang tidak pernah hilang wibawanya.

Dia lah Ella! Sang lagenda, si ratu di jiwa. Tubuh kecil Ella berdiri megah diselubungi seluruh atmosfera Stadium Nasional Bukit Jalil yang sekelip mata berubah menjadi lautan manusia, bersatu di bawah satu nama. Ruang ikonik itu banjir manusia! 55,000 bukan angka yang sekadar statistik jualan tiket habis terjual, tetapi manifestasi kasih yang telah berakar sejak puluhan tahun. Kuala Lumpur sememangnya biasa menerima konsert pada skala mega, namun malam tersebut memancarkan aura yang berbeza: lebih emosional, bagaikan sebuah perhimpunan agung muzik tanah air sedang berlangsung.

Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen anjuran Hitman Solutions bersama Rockqueen digarap dengan naratif besar yang jelas: Peace, Love & Rindu. Tema itu tidak sekadar tertera indah pada visual poster atau slogan promosi. Ia bernyawa melalui struktur seleksi lagu-lagu, pada cara susun atur pentas, malah pada interaksi penonton yang menyanyi berjemaah spontan tanpa dipaksa dari detik bermula sehingga berakhir. Di tengah arus industri yang sering menukar wajah dan selera, malam itu terasa seperti satu pernyataan: legasi masih punya tempat, dan kualiti tetap menemukan jalannya.

Malam itu merupakan refleksi perjalanan seni seorang figura bernama Nor Zila Aminuddin: ikon yang bukan hanya bertahan merentas era, tetapi terus relevan dalam landskap muzik yang sentiasa berubah. Tiga puluh koir kanak-kanak membuka tirai simbolik tanda kesinambungan generasi. Dan ketika Ella melangkah keluar tepat 8.30 malam dengan “Rama-Rama”, sorakan bergema bagaikan membelah langit. Pembukaan itu ibarat deklarasi tentang tenaga yang tidak pernah surut meski masa terus berputar.

Lagu introduksi "Rama-Rama" itu menjadi percikan energi yang menentukan rentak keseluruhan malam. Lebih tiga jam persembahan dengan 35 lagu bukan angka kecil; ia sebuah maraton emosi. Setiap segmen begitu tersusun, membawa penonton menyusuri evolusi karya dari era kaset hingga zaman penstriman. Setlist disusun menelusuri perjalanan emosi yang berlapis. “Baldu Biru”, “Dua Insan Bercinta”, “Layar Impian” dan “Peace Love Rindu” mengembalikan memori yang membentuk industri muzik tempatan. Setiap lagu menjadi bahasa bersama, dinyanyikan oleh generasi yang mengenali Ella sejak era kaset, radio, hingga ke platform digital.

Di sinilah terlihat bagaimana muzik tidak bergerak secara linear; ia diwarisi, dipelajari kembali, dan dihidupkan semula. Kemuncak emosi tercetus tentulah menerusi lagu “Standing In The Eyes Of The World”. Stadium berubah menjadi lautan suara apabila gema ribuan suara bersatu lantang dan merdu. Momen itu diperluas dengan kemunculan komposer asal serta barisan atlet kebanggaan negara seperti Nicol David, Ridzuan Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Farah Ann Abdul Hadi. Ketika Ella mengelilingi stadium menaiki trak, gestur simboliknya jelas. Ella milik semua sudut, bukan hanya pentas utama. Seni dan patriotisme bertaut dalam satu bingkai yang tulen.

Kolaborasi lintas generasi memperkaya tekstur malam. Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider serta The Boys tampil menghidupkan dinamika segar. Kejutan yang paling menggelegar muncul apabila Amy Search dan Joe Flizzow berkongsi pentas. Pertemuan dua dunia, rock dan hip hop, yang memacu sorakan luar biasa. Gabungan ini bukan sekadar hiburan, tetapi gambaran ekosistem muzik tempatan yang saling menyokong antara lama dan baharu.

Segmen penghormatan kepada legenda seperti Ramli Sarip dan M. Nasir memperkukuh naratif bahawa industri kreatif terbangun atas lapisan sejarah dan dedikasi panjang. Konsert ini menjadi ruang pendidikan budaya secara tidak langsung memperkenalkan akar kepada generasi yang mungkin tidak mengalaminya secara langsung.

Majlis Tertinggi Rockqueen yang membawa misi kemanusiaan ini bukanlah sekadar berpaksikan hiburan semata-mata. Sebanyak RM100,000 berjaya dikumpulkan untuk disalurkan kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Yayasan Kebajikan Negara dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair. Nilai ini membuktikan bahawa konsert moden turut memikul tanggungjawab sosial, menjadikan pengalaman penonton lebih bermakna. Nilai kemanusiaan ini menambahkan dimensi baharu pada malam tersebut bahawa hiburan juga mampu memikul tanggungjawab sosial.

Kalau tanya saya, seleksi lagu-lagu yang dipilih malam itu benar-benar mengimbas nostalgia membesar bersama lagu-lagu sang legenda. Apatah lagi ada antara lagu-lagu kegemaran saya yang jarang-jarang Ella bawakan pada setiap konsert seperti "World Without Your Love", "Malam Ini", "Cinta Selembut Sutera", "Demi", "PPP", "Tinggal Tanda Tanya", "Justeru" dan "Menanti". Meski masih banyak lagi lagu-lagu yang ditunggu-tunggu tetapi tak kunjung tiba, tak mengapalah. Saya faham takkan Ella nak nyanyi semua lagunya, cuma sedikit kecewa lagu "Kitalah Bintang" tiada dalam setlist dan kekurangan lagu-lagu rock rancak malam itu.

Di belakang tabir, Rohit Rampal selaku Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Group menegaskan kejayaan ini lahir daripada dedikasi pasukan dan sokongan peminat. Sokongan rakan strategik seperti Perbadanan Stadium Malaysia sebagai lokasi rasmi; ERA FM, Sinar FM, Mix FM, Lite FM dan Gegar FM sebagai radio rasmi; Astro Gempak, Meletop dan Hlive sebagai media rasmi; Ad Box, Wow Media dan Warisan Outdoor sebagai rakan media luar; Hyatt Place Kuala Lumpur Bukit Jalil sebagai rakan hotel; Sri Munura Catering sebagai rakan F&B; Rapid KL sebagai rakan strategik; Fella Design dan Aideaspace sebagai rakan reka bentuk dalaman; serta sokongan kempen Visit Malaysia 2026 memperlihatkan kolaborasi industri yang kukuh.

Gelombang ini akan diteruskan ke The Star Theatre, Singapura pada 9 Mei 2026 sebagai langkah memperluas jenama Rockqueen sebagai pengalaman serantau.

Ketika lampu stadium akhirnya dipadamkan dan gema sorakan terakhir menghilang, yang tersisa bukan hanya memori lagu. Kesedaran hadir perlahan: legasi tidak diukur oleh tempoh masa, melainkan oleh kemampuan menyentuh hati generasi demi generasi. Malam itu bukan hanya sejarah bagi Ella, ia penanda aras baharu untuk konsert stadium Malaysia, bahawa apabila naratif, produksi dan nilai kemanusiaan berjalan seiring, hiburan berubah menjadi peristiwa budaya.

Malam 14 Februari 2026 itu juga mengajarkan bahawa legasi tidak pernah selesai, ia diwariskan, dinyanyikan semula, lalu diberi makna oleh generasi yang datang. Jika 55,000 jiwa boleh bersatu kerana muzik, maka seni masih memiliki kuasa menyatukan yang jarang kita temui di ruang lain. Majlis Tertinggi Rockqueen tidak sekadar menakluk Bukit Jalil; beliau menghidupkan kembali roh muzik Malaysia. Sedemikian 'tinggi'nya Ella di matahati para peminatnya! Tahniah!