M. Nasir Sukses 'Cipta Raya' Yang Sempurna Di Malam Konsert 14 Syawal Bersama Ribuan Peminat

oleh: zizi hashim

Sejujurnya, saya tidak tahu apa yang perlu dijangkakan sebelum melangkah masuk ke Zepp Kuala Lumpur malam itu. Tapi satu perkara saya pasti, jika nama Dato' M. Nasir tertera pada poster, pastinya bukan konsert biasa-biasa. Bukan sekadar persembahan, 'Cipta Raya' adalah satu pengalaman magis yang menggabungkan suara legenda, sentuhan budaya, dan getaran emosi yang menyentuh dasar jiwa.

Kemeriahan sudah terasa sejak awal petang lagi, dengan suasana di luar dewan yang penuh energi. Berbeza daripada kebiasaan, konsert ini mengambil pendekatan unik dengan mengadakan 'jamuan raya' terlebih dahulu, satu manifestasi penghormatan terhadap warisan dan adat resam Melayu. Pengunjung yang rata-ratanya mengenakan pakaian tradisional, baju Melayu dengan kelengkapan samping dan songkok, dialu-alukan dengan hidangan raya yang mengusik selera. Uniknya, sebelum konsert bermula, para penonton dijamu dengan hidangan raya. Ada lemang, rendang, kuih tradisional, semuanya menambahkan rasa 'rumah terbuka' yang sebenar. 

Gabungan gelak tawa, tegur sapa antara hadirin dan aroma wangi masakan tradisional mengubah ruang lobi Zepp KL menjadi seolah-olah sebuah anjung rumah di kampung ketika menyambut tetamu di pagi Syawal. Perkara-perkara kecil sebeginilah yang membuatkan malam tersebut terasa sangat peribadi, seolah-olah kita semua menjadi tetamu istimewa di rumah Dato' M. Nasir sendiri. 

Malam itu, Zepp KL bukan sekadar ruangan konsert, ia berubah menjadi semacam kita melangkah masuk ke satu alam lain. Paling tidak itulah yang saya rasakan. Bayangkan Aidilfitri melalui lensa seorang pemikir, pemuzik, dan pencerita seperti M. Nasir. Lagu-lagu seperti "Satu Hari di Hari Raya", "Aidilfitri Di Alaf Baru", "Bonda", dan "Raya Yang Sempurna" diberi nyawa dan dihidupkan kembali dengan roh baru. Visual pentas pula? Seolah-olah menonton wayang kulit digital. Paparan seni rupa digital, sinaran lampu yang bergerak mengikut emosi lagu, serta video latar yang kadangkala simbolik, kadangkala menyengat realiti. Semuanya bersatu membina dunia 'Cipta Raya' yang surreal dan menyentuh rasa.

Ketika detik jam menginjak ke angka 8, ruangan Zepp KL gelap seketika. Sorakan bergema saat sosok Dato' M. Nasir menjelma di pentas. Lengkap dengan gaya tersendiri, figura tersohor ini membuka pentas dengan lagu "Raya Yang Sempurna" diiringi alunan muzik penuh bertenaga. Persembahan terus bergulir tanpa cela, membawa penonton mengembara menerusi nostalgia dan lapisan emosi yang ditenun dalam setlist sebanyak 19 lagu, merangkumi pelbagai zaman, genre dan makna. Bagaikan kesinambungan dari konsert 'Cipta 2', mukadimah "Satu Hari di Hari Raya" membuka tirai dengan suasana penuh syahdu dan reflektif. Diiringi sorotan cahaya yang lembut dan visual siluet kampung halaman, lagu ini menyampaikan kerinduan dan harapan yang mendalam, seolah-olah memanggil penonton untuk kembali ke nilai asal Aidilfitri, kesyukuran dan kekeluargaan.

"Hari Raya Hari Bahagia" mengikuti dengan alunan rancak, membawa suasana ceria yang menggambarkan kegembiraan meraikan hari kemenangan. Koreografi penari latar dan semburan konfeti berwarna-warni mengukuhkan lagi suasana meriah yang mengajak penonton bergoyang bersama. "Aidilfitri di Alaf Baru" pula membawa kontras yang menarik. Lebih kontemporari, berani, dan membangkitkan semangat. Susunan muzik yang dinamik disulami paparan visual bertemakan dunia moden yang penuh cabaran, namun tetap berpaksikan fitrah raya sebagai titik kembali insan kepada Tuhan. Seperti dijangka, "Bonda" menjadi antara kemuncak emosi malam itu. Ia bukan sahaja mencipta keheningan, malah menjerat hati ramai hadirin. Iringan video emosi dan pencahayaan minimalis menjadikan persembahan ini terasa sangat peribadi. M. Nasir menyampaikan lagu ini seolah-olah sedang berbicara terus dengan jiwa setiap anak yang pernah merindui seorang ibu.

Menyambung tema kasih ibu dengan sentuhan yang berbeza, "Lebaran Bonda" lebih nostalgia dan intim. Pendekatan yang minimalis dengan hanya piano dan vokal membuatkan penghayatan terhadap lirik yang mendalam terasa lebih kuat, mengundang air mata diam-diam berguguran di kalangan hadirin. "Hati Emas" dan "Raikan Cinta" mengisi ruang dengan gema suara penonton yang menyanyi bersama, menghidupkan semangat kebersamaan yang amat jarang berlaku dalam konsert moden hari ini. Persembahan kedua-dua lagu ini menterjemahkan aspek sosial dan kemanusiaan Aidilfitri yang menyatukan semua lapisan masyarakat. 

Manakala "Hijab Kekasih" dan "Tanya Sama Itu Hud-Hud" menampilkan sisi artistik yang lebih mendalam. Lagu-lagu ini tidak hanya didengar, tetapi 'dilihat' melalui simbol visual seperti burung hud-hud, lanskap padang pasir, dan warna bumi yang membangkitkan rasa mistik dan spiritual. Kedua-duanya dipersembahkan dengan latar sinematografi dan simbolisme yang kuat, mencerminkan pencarian makna, kebenaran, dan ketuhanan dalam hidup manusia. "Phoenix Bangkit Dari Abu" membawa persembahan ke tahap lain. Lagu ini dipersembahkan dengan latar belakang api digital dan muzik yang membangkitkan semangat resiliensi. Ia seakan-akan menyampaikan mesej kebangkitan semula selepas kesukaran, tema yang begitu relevan dengan semangat Aidilfitri itu sendiri.

Paling mengejutkan ketika Dato' M Nasir berbicara tentang hasratnya mencari seorang wanita untuk berduet dalam lagu "Halaman Asmara", saya jangka ia hanyalah gimik biasa konsert. Namun muncul tiba-tiba muncul Putery menyahut cabaran tanpa ragu. Dengan penuh yakin, dan dengan penampilan anggun dalam busana tradisional, dia melangkah ke hadapan. Lagu yang bukan calang-calang, dikenali ramai dengan nada tinggi yang menjadi identiti vokal Datuk Awie dan Ziana Zain. Putery tampak tidak goyah, malah meminta agar key asal dikekalkan. Bila dia mula menyanyikan bait pertama, seluruh dewan hening, kemudian bergema dengan tepukan. 

Suaranya? Penuh emosi, teknik yang tajam, dan paling mengejutkan, ton yang sangat mirip dengan Ziana. Dalam sekelip mata, Putery bukan lagi penonton biasa. Dia mencipta satu momen yang menyentuh ramai. M Nasir sendiri tampak terpegun dan saya percaya, hadirin semua bersetuju, malam itu bukan sahaja tentang nostalgia, tetapi juga tentang kejutan yang tidak dijangka. "Halaman Asmara" menjadi pentas pertemuan 2 generasi. Putery dengan caranya sendiri, menghidupkan kembali sebuah lagu evergreen yang kekal dalam ingatan ramai.

Barisan pemuzik yang menyokong persembahan beliau merupakan nama-nama besar dalam dunia muzik Malaysia. Di bawah pimpinan Aznan Alias selaku pengarah muzik dan gitaris utama, pentas dipacu oleh tenaga kental dari Rafi, Firdaus, Paang Zaman, Mohar, Eddie Slam, Ujang Exists, Norman, Boy, dan Awe. Keindahan harmoni vokal pula diserikan oleh Yuaz, Widy dan Eja yang menjadi latar kepada keutuhan suara Dato' M. Nasir. Susunan muzik yang dibawakan mereka bukan sekadar mengiringi lagu, tetapi mewarnai semula karya-karya tersebut dengan jiwa baru, mengekalkan roh asal sambil menyegarkan persembahan ke tahap yang lebih tinggi.

Antara detik yang paling menyentuh malam itu ialah apabila paparan montaj mengenai rakyat Palestin dimainkan di skrin besar, disulam dengan muzik dan puisi yang mencengkam jiwa. Ia bukan sekadar babak dalam persembahan, tetapi momen kesedaran kolektif. Penonton diam, dan ada yang mengesat air mata. Inilah seni, bukan hanya untuk menghibur, tetapi untuk menyentuh dan menyedarkan. Persembahan "Salam Dunia" yang mengikuti montaj tersebut menjadi doa bersama seluruh Zepp KL, menyatukan harapan penonton untuk keamanan global. M. Nasir menyampaikannya dengan penuh perasaan, disertai dengan visual yang menampilkan visual perdamaian dunia.

Lebih mengujakan, konsert ini bukan hanya berhenti pada penghormatan kepada lagu-lagu raya klasik. Ia juga mencerminkan evolusi seni dalam keberanian mencuba. Sebagai penutup, lagu malar segar "Selamat Hari Raya" yang terkenal dengan lenggok suara Saloma telah diberi sentuhan punk muzik, sesuatu yang tidak pernah dijangka. Di sebalik gaya yang mencabar norma, susunan ini tidak menjejaskan makna lagu tersebut, malah menyalakan semula semangat dan kesegaran dalam menyampaikan mesej Aidilfitri. Dengan gitar elektrik yang mengaum, rentak pantas dan vokal penuh ekspresi, pentas bergegar dalam simbolik penutup yang meraikan inovasi dalam tradisi. Cipta Raya bukan konsert nostalgia. Ia adalah peringatan bahawa M. Nasir masih seorang pengkarya aktif, relevan, dan sentiasa mencabar sempadan seni. Beliau tidak hanya menyanyi untuk dikenang, tetapi berkarya untuk membina kesedaran. Konsert ini bukan hanya hiburan, ia adalah bentuk refleksi kolektif.

Dan saya tinggalkan Zepp malam itu bukan dengan rasa puas semata-mata, tetapi dengan rasa penuh. Penuh inspirasi, penuh soalan, dan paling penting, penuh cinta terhadap seni yang jujur. Lebih daripada hiburan, malam itu adalah bukti bahawa seni mempunyai kuasa untuk menyatukan, menyembuh, dan menghidupkan kembali kenangan serta menjadikan raya bukan sekadar perayaan, tetapi satu pengalaman yang menghubungkan masa lalu, masa kini dan masa depan. Kalau ini dijadikan tradisi setiap Aidilfitri, alangkah indahnya! Kerana 'Cipta Raya' bukan sekadar konsert, ia adalah perjalanan pulang ke hati kita sendiri. Syabas Icon Entertainment!