
oleh: zizi hashim
Wajah-wajah yang hadir memenuhi ruangan Unifi Arena pada malam 6 Jun 2026 itu datang daripada pelbagai generasi. Aura yang berlegar di sekeliling terasa sungguh berbeza. Ada pasangan suami isteri yang mungkin pernah bercinta dengan lagu-lagu Dewa 19 sejak zaman kaset. Ada kelompok anak muda yang membesar melalui Spotify dan TikTok tetapi tetap hafal setiap bait lirik lagu-lagu. Ada juga sahabat-sahabat lama yang menjadikan malam itu sebagai alasan untuk berkumpul semula. Masing-masing membawa cerita sendiri. Masing-masing membawa kenangan sendiri. Yang pastinya masing-masing 'tertinggal cintanya' dan Dewa 19 menjadi titik pertemuan kepada semua kisah tersebut.
Malam itu benar-benar terasa seperti sebuah reunion besar-besaran. Sebelum legenda Indonesia itu mengambil alih pentas, Padi Reborn terlebih dahulu diberikan tanggungjawab memanaskan suasana. Dan seperti yang dijangka, mereka melaksanakan tugas tersebut dengan cukup cemerlang. "Sang Penghibur" menjadi salam kenal yang segera membangkitkan energi penonton. Disusuli "Menanti Sebuah Jawaban", "Patah", "Jangan Datang Malam Ini", "Semua Tak Sama", "Ego", "Begitu Indah" dan "Hitam", suasana perlahan-lahan bertukar hangat.


Saya melihat ramai yang sudah mula menyanyi bersama. Ada yang berdiri. Ada yang mengangkat telefon pintar. Ada yang tersenyum sendiri. Dan ketika itu saya sedar, malam ini bukan tentang siapa yang berada di atas pentas semata-mata. Ia tentang bagaimana lagu-lagu ini telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup sebegitu ramai manusia. Terus-terang, saya sebenarnya agak kecewa kerana "Kasih Tak Sampai" tidak berkumandang. Datang lagi ya Padi, please...
Kemunculan visual Dewa 19 di layar gergasi beberapa ketika kemudian terus mengubah suhu arena. Sorakan yang bergema terasa seperti letusan gunung berapi yang sudah lama menunggu masa untuk melepaskan segala isi di dalamnya. Jeritan. Tepukan. Siulan. Semuanya bercampur menjadi satu. Momen yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba.
Namun sebuah berita yang sedikit mengejutkan telah dipaksa-terima oleh para peminat. Tyo Nugros, pemain dram yang cukup sinonim dengan Dewa 19, tidak dapat hadir selepas berhadapan masalah imigresen di Jakarta. Saya lihat ramai mengeluh kehampaan. Tyo bukan sekadar pemain dram. Dia adalah sebahagian daripada identiti Dewa 19 yang dikenali ramai. But the show must go on...


Namun profesionalisme yang ditunjukkan sememangnya harus diberikan pujian. Tempat Tyo digantikan oleh Al Ghazali yang tampil dengan cukup baik dan memastikan perjalanan konsert tidak terganggu. Malah kehadirannya menjadi salah satu kejutan yang menarik perhatian ramai. Malam kemudian bergerak memasuki babak yang lebih mengujakan.
Virzha menjadi antara figura pertama yang menguasai pentas menerusi "Pangeran Cinta". Seperti biasa, vokalnya yang lantang dan penuh tenaga berjaya mengangkat semangat penonton. "Perempuan Paling Cantik di Negeriku Indonesia" dan "Larut" terus mengukuhkan momentum yang sudah terbina sejak awal. Virzha mempunyai kelebihan tersendiri. Dia tidak cuba menjadi Ari Lasso. Dia tidak cuba menjadi Once. Dia menjadi dirinya sendiri. Dan itulah yang membuatkan penampilannya sentiasa terasa segar.


Kemunculan Ello selepas itu memberikan warna yang berbeza. Saat intro "Arjuna" lantang bergema, seluruh arena pun meledak. Lagu itu mempunyai kuasa yang sukar dijelaskan. Setiap kali dimainkan, ia sentiasa berjaya membuatkan ribuan manusia kembali menjadi versi diri mereka yang lebih muda. Malam itu juga tidak terkecuali. Saya melihat ramai yang menyanyikan setiap patah lirik tanpa perlu melihat skrin. Malah ada yang menutup mata sambil menghayati lagu tersebut seolah-olah sedang mengulang semula sebuah bab penting dalam hidup mereka.
"Dewi" dan "Sudah" kemudian menyusul, membuktikan bahawa Ello sememangnya memiliki karisma tersendiri dalam membawakan karya-karya Dewa 19. Konsert terus bergerak seperti sebuah novel yang enggan ditamatkan terlalu cepat. Kemunculan Ari Lasso pula menjadi titik perubahan emosi yang paling saya nantikan. Dan ternyata, sosok legenda itu masih memiliki sihir yang sama. Sebaik sahaja Ari melangkah ke pentas, seluruh nuansa arena berubah serta-merta. Jeritan bertukar menjadi laungan rindu. Sorakan bertukar menjadi penghormatan. Aura Ari Lasso memang sukar digantikan. Mersik vokalnya menerusi "Aku Milikmu", "Kirana" dan "Satu" benar-benar menggetarkan jiwa.


Sebagai seseorang yang membesar bersama lagu-lagu Dewa 19 era Ari, saya akui ada momen tertentu yang membuatkan dada terasa sesak dengan kenangan. Bukan kerana sedih, tetapi kerana terlalu banyak memori yang tiba-tiba datang tanpa diundang. Itulah kuasa muzik yang menyimpan hal-hal yang manusia sendiri kadangkala sudah terlupa. Segmen khas melibatkan Javier Parisi menerusi "Flowers In The Desert" dan "Imagine" pula memberikan ruang bernafas seketika sebelum penonton kembali dibawa menyelami lautan nostalgia Dewa 19. Menariknya, konsert ini langsung tidak terasa membosankan meski dalam durasi hampir tiga jam. Susunan setlist yang bijak membuatkan emosi penonton turun naik bagaikan ombak.
Ketika "Cukup Siti Nurbaya" dan "Tak Akan Ada Cinta Yang Lain" berkumandang, suasana kembali meriah. Namun jika ditanya apakah momen yang paling melekat dalam ingatan saya, jawapannya tetap sama. "Larut" dan "Pupus". Sejurus intro lagu -lagu itu berkumandang, seluruh arena berubah rasa dan nuansa. Telefon pintar mula iterangkat ke udara. Cahaya-cahaya kecil memenuhi ruang arena seperti kerlipan bintang yang terapung di dalam gelap. Dan ribuan suara mula menyanyi bersama. Tidak terlalu kuat. Tidak terlalu perlahan. Secukup rasa untuk membuatkan bulu roma meremang.


Ada sesuatu yang sangat indah apabila ribuan manusia yang tidak saling mengenali berkongsi emosi yang sama pada waktu yang sama. Momen itu terasa seperti terapi berjemaah. Dan saya percaya ramai yang akan bersetuju bahawa "Pupus" menjadi antara kemuncak paling emosional malam tersebut. Virzha kemudian meneruskan perjalanan emosi itu menerusi "Risalah Hati" dan "Perasaanku Tentang Perasaanku Kepadamu." Setiap lagu terasa seperti helaian surat cinta yang dibacakan satu persatu.
Kemunculan Ahmad Dhani membawa dimensi yang berbeza. Tiada siapa boleh menafikan bahawa lelaki ini ialah nadi kepada perjalanan panjang Dewa 19. Aura seorang maestro itu masih jelas terpancar. Menerusi "Sedang Ingin Bercinta" dan "Madu 3", Ahmad Dhani membuktikan bahawa karya-karyanya masih kekal relevan merentasi zaman. Malah saya cukup kagum melihat bagaimana lagu-lagu ciptaannya masih mampu dinyanyikan oleh generasi yang lahir bertahun-tahun selepas lagu tersebut diproduksikan.


Menjelang penghujung malam, Ari Lasso kembali mengambil alih pentas. Dan ketika "Cintakan Membawamu Kembali", "Roman Picisan", "Kangen" dan "Kamulah Satu-Satunya" dimainkan, saya tahu konsert ini sedang menuju ke babak penamat yang sukar dilupakan. Pada akhirnya lagu yang ditunggu-tunggu "Separuh Nafas" pun bergema memenuhi setiap inci ruang Unifi Arena. Di ketika itulah seluruh arena benar-benar menjadi satu. Tiada lagi perbezaan usia. Tiada lagi perbezaan latar belakang. Tiada lagi perbezaan negara. Yang tertinggal hanyalah seni dan muzik. Yang tertinggal hanyalah rasa. Dan yang pasti tertinggal hanyalah cinta terhadap karya-karya yang telah menemani kehidupan selama berdekad lamanya.
Saat nota terakhir dimainkan dan lampu pentas mula malap, saya tidak mahu konsert itu berakhir. Sebaliknya saya merasakan ada sesuatu sedang ditinggalkan. Sebahagian kenangan. Sebahagian rasa. Sebahagian hati. Mungkin sebab itulah judul konsert ini terasa begitu tepat... "Cintaku Tertinggal Di Malaysia" kerana malam itu, bukan Dewa 19 yang meninggalkan cintanya di sini.Sebaliknya ribuan baladewa dan baladewi yang pulang sambil meninggalkan sebahagian hati mereka bersama lagu-lagu yang tidak pernah tua dimamah waktu.


Dan seperti biasa, seusai menikmati hidangan muzik selama hampir tiga jam daripada sang maestro Ahmad Dhani dan seluruh pasukannya, saya hanya mampu tersenyum panjang. Kenyang. Bahagia. Dan sedikit 'sendawa' puas hati. Alhamdulillah. Lazat benar 'makanan jiwa' yang dihidangkan malam itu. Terima kasih Dewa 19! Terima kasih Padi Reborn! Terima Kasih Icon Entertainment!
Foto Kredit: Bangsawan Pictures