GenKRU The Finale Bawa 15,000 Fanatika Naik Mesin Rentas Masa, Fefeeling Remaja Selamanya!

oleh: zizi hashim

Terasa bagaikan ditarik menaiki mesin rentas masa, pintu Stadium Hoki Bukit Jalil terbuka luas merangkul ribuan fanatika tegar GenKRU kembali merasai kegirangan zaman remaja mereka. Energi pentas, visual yang penuh gula-gula nostalgia dan kejutan-kejutan tetamu istimewa menjadikan malam itu seperti satu temasya kenangan yang sukar untuk dilupakan. Setiap lagu bergema seakan mengingatkan kita pada waktu hidup masih ringan, saat dunia hanya tentang muzik, kawan dan perasaan ‘hidup sepenuhnya’.

Malam 22 November membuat jiwa setiap satu penonton menjadi remaja semula meski hanya untuk beberapa jam. Saya sendiri melangkah ke perkarangan stadium dengan satu rasa aneh berputar di dada, macam perasaan nak pergi funfair masa dulu, jantung laju tanpa sebab, kepala penuh bayangan memori lama yang tiba-tiba muncul tanpa diundang. Seluruh usia remaja yang pernah ditinggalkan, pulang semula dengan penuh warna. Hanya muzik mampu buat kita rasa begini, dan malam 'GenKRU The Finale: One More Time' membuktikannya dari detik pertama lampu pentas menyala terang-benderang.

Aroma 90an terasa begitu sentimental. Setiap ruang dibaluti gaya retro neon, jaket windbreaker, bucket hat, jeans potongan longgar dan sneakers chunky putih yang meraung nostalgia. Tak pernah saya lihat langit sebegitu tenang seperti ketika KRU muncul bersama gugusan cahaya laser, menggempur pentas dengan amaran garang "Awas". Suasana berubah serta-merta menjadi lautan sorakan. Norman, Yusry dan Edry tampil dengan transformasi kemas, jaket labuci yang berkilau bak serpihan kaca, membayangkan evolusi mereka dari 90-an ke 2025 tanpa kehilangan DNA asal. Setiap gerakan mereka memancarkan tenaga yang tidak pernah luntur meski tiga dekad telah berlalu.

Selama hampir satu jam, trio legenda itu menyanyi tanpa henti. Tiada langsung ruang bernafas untuk rasa bosan, hanya rentetan memori, tawa, jeritan dan melodi yang pernah menemani zaman kaset TDK dan carta “Minggu Ini”. Hentakan adrenalin yang memercik buat peminat menjerit, menari dan menyanyi. Seketika lupa faktor usia, berdansa tanpa penat, tulang-tulang kembali terasa remaja dan berfungsi riang. Seluruh stadium berdiri tanpa dipaksa. Semacam ada kuasa yang mengangkat tubuh-tubuh dari kerusi, kembali kepada versi diri yang pernah menari tanpa fikir usia.

Norman sempat bergurau, “Semua baru, penampilan baru… sebab kita tak nak ulang yang lama.” Dan memang terasa baru, tetapi familiar. Namun malam itu jelas memperlihatkan sesuatu yang lebih dalam: keinginan mereka mengucapkan terima kasih dengan cara paling berjiwa. Satu jam pertama berlangsung bagaikan marathon adrenalin. Tanpa henti. Tanpa ruang bernafas. Khalayak sing-along setiap bait senikata, ribuan suara bergema bersama, membentuk gelombang kolektif nostalgia bahagia.

Gerak tubuh Norman, Yusry dan Edry masih lincah, vokal masih utuh, dan karisma masih menyala sama seperti dulu. Keghairahan memuncak saat “Intifada” bergema dan Rabbani muncul dari platform seperti babak teater spiritual. Sorakan memecahkan langit malam. Dua generasi muzik Malaysia bersua di satu titik yang sangat poetik. Malam itu terus sarat kejutan apabila Leona Azhar tampil untuk “Gerenti Beres”, mengimbas jasa Azhar Sulaiman dalam video muzik mereka dahulu, manakala Datuk Seri Vida muncul dengan aura flamboyan sebagai sebahagian kolaborasi energinya.

Namun detik paling menggetarkan jiwa ialah kemunculan Datin Juliana Banos. Dengan gaun labuh merah menyala, beliau melangkah ke pentas untuk menyanyikan “Sehidup Semati” bersama Edry. Satu momen yang memerangkap seluruh stadium dalam hening yang sangat gemuruh. Di kiri dan kanan saya jelas terlihat pelbagai reaksi dan emosi. Ada yang tersenyum, ada yang mengesat mata dan ada yang hanya berdiri terkaku kerana menyaksikan impian yang sekian lama akhirnya menjadi nyata. 

Segmen Yusry pula membawa pentas ke dimensi lain. “Negatif”, “One More Time”, “Dalam Dilemma”, semuanya dibawakan dengan karisma yang tidak terkikis masa. Stadium menjadi ruang sosial dan emosional di mana semua suara bergabung jadi satu. Dan malam itu lebih padu daripada yang dijangka kerana dua gitaris jemputan, Edrie Hashim dan Ritz Metalasia, masuk sebagai pelengkap tenaga. Solo gitar mereka menambah nyala api yang menjadikan konser ini lebih garang, lebih bernafas rock, lebih penuh emosi. Dua maestro gitar itu memecahkan angin malam dengan nada yang tajam dan penuh roh.

Tidak cukup di situ, Elite dan Adam hadir sebagai pemanis nostalgia. Lagu “Remaja Selamanya” membuat seluruh stadium hilang kiraan umur mereka, semuanya kembali 18 tahun dalam sekelip mata. Apabila malam beranjak ke babak perlahan, Norman menyampaikan penghargaan melalui “Thank You 2025”, sebelum stadium tenggelam dalam satu spotlight “Jangan Lafazkan” bergema seperti doa yang dikirim ke langit. Ribuan lampu telefon berkelip seperti bintang-bintang yang kembali jatuh ke bumi.

Pentas kemudian meletup sekali lagi dengan rangkaian penutup, “Tiga Kata Untukmu”, “The Way We Jam”, “Dekat Padamu”, “Fanatik” dan “Terhangat Di Pasaran” ditemani Adam sebagai penutup yang menggegarkan. KRU tampil bukan hanya sebagai trio legenda, tetapi sebagai narator besar perjalanan muzik Malaysia dengan 15,000 peminat menjadi saksi. Konsert ini sarat momen penuh emosi dengan produksi oleh Icon Entertainment, malam ini dirasakan seperti menaiki mesin rentas masa yang mengembalikan jiwa penonton kepada versi paling muda dan paling jujur dalam diri mereka.

Dengan ini konsert 3 jam itu mengesahkan, KRU bukan masa lalu. Mereka masa kini yang menolak untuk dilupakan.Dan apabila bunga api memancar di hujung persembahan, seluruh stadium berdiri, meski kaki letih, meski suara serak kerana semua tahu, malam itu tak akan datang dua kali. GenKRU The Finale bukan penutup. Ia peringatan bahawa jiwa remaja, bila dihidupkan kembali, sebenarnya tidak pernah tua.

Foto Kredit: Bangsawan Pictures