Euforia Kenangan, Aura ELITE LIVE ’25 Masih Menyala, Legasi Tak Pudar, Terlerai Rindu Peminat

oleh: zizi hashim

Rasanya seperti satu pertemuan lama yang tidak pernah benar-benar berakhir. Pada malam 20 September 2025, Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre dipenuhi denyut jiwa yang pernah dibentuk oleh suara 5 wanita yang dahulunya menjadi wajah generasi. Linda Rafar, Sasha Saidin, Watie Sadali, Abby Abadi dan Azza hadir semula bukan sebagai bayangan lalu, tetapi sebagai nyawa yang membangkitkan semula satu zaman. Tatkala lampu meredup, tirai malam terbelah, dan dari sorakan yang bergema itu, saya tahu ini adalah perjalanan pulang ke pangkuan kenangan, tempat kita semua pernah berdiri sebagai remaja yang mencari diri di antara lagu-lagu mereka.

Dentuman Ladiva menjadi isyarat pertama. Saya masih ingat bagaimana lagu itu dulu membalut televisyen dan radio, kini ia kembali menggetarkan segenap ruang sehingga terasa seperti masa berundur sendiri. Saya ingat betapa berdebar setiap kali Abby Abadi menyanyi. Suara vokalnya, susur nadanya, kadang-kadang menggetarkan dada. Waktu itu, seronok tak perlu dipersolek; cukup dengan lirik yang melekat di bibir, dengan rakaman pita kaset yang patah di tengah lagu, tapi tetap dipasang semula sebab sayang. 

Malam itu, teater lampu biru lembut menyapu atas pentas sebelum sorakan memecah sunyi. Udara panas sedikit dibendung penghawa dingin, tetapi degup jantung setiap peminat bagai menaikkan suhu Plenary Hall. Ada yang datang bersama rakan sekolah rendah, ada yang tangan-tangannya menggenggam kecil semasa anak kecil di sisi menyanyi bersama, suasana indah di mana generasi lama dan baharu berpadu.

Persembahan dimulakan dengan Ladiva dan Merbahaya yang bertenaga. Gerak tari masih mantap, vokal masih tebal dengan karektor. Hati saya mengecut bila mendengar Mengerti dan Sesuatu Dalam Dirimu, lagu-lagu yang dulu dipasang sewaktu hujan petang, apabila saya sedang membayangkan seseorang di depan tingkap, berharap dia faham. Nyanyian mereka malam itu bukan sekadar nada, tetapi getaran jiwa yang menjaga ingatan masa lampau.

Dua Hati dan Bila datang seperti pemberontakan sunyi, mengajak penonton untuk bersatu, mengerti rasa yang mungkin terpendam. Apabila Alpha muncul menyertai dengan Di Pintu Syurga, ia bukan sekadar duet: seperti lampu-lampu hidup bersilang, menyinari gelap-gelap yang selama ini bertanya “apakah sifat legenda itu?” Bersama-sama mereka membuktikan, legenda itu ada darahnya, ada nadinya.

Monalisa (Bang Bang) dan segmen P. Ramlee/Saloma adalah jambatan, menyentuh akar budaya kita, memperlihatkan bahawa klasik pun boleh berdialog dengan moden. Saya terpesona melihat perubahan kecil dalam rekaan pentas, susunan lampu, latar visual yang menyulam motif nostalgia: ketenangan bulan malam, reranting pokok kenangan, bayang-bayang yang seperti membawa kembali silau lampu malam semasa konsert sekolah dahulu.

Medley Catwalk / Dirinya Dirimu Diriku / Susah Jadi Senang berjaya membakar lagi api semangat, bagaikan memanggil semula remaja yang dulu malu-malu menari di hadapan radio, kini berdiri, bergoyang, bersuka. X‐Factor dengan Bertuah dan terutama 7251364 menguatkan jalinan, generasi baru ikut, teruja, menyanyi serentak. Di situ, barisan tua dan muda berdansa dalam satu rentak. Sungguh indah nuansanya!

Sebelum konsert, banyak suaranya: “mampukah mereka selepas bertahun?”, “stamina macam mana?”, “nanti mereka akan mengecewakan?” Malam itu, setiap langkah, setiap bait yang mereka lontarkan menjawab, ya, mereka masih berbisa. Meski petanda umur lewat 40-an muncul di muka, di leher, di langkah tari yang tak lagi seagresif dulu, tapi ada ketegasan, kesungguhan, disiplin vokal tetap dijaga dengan teliti. Tiada lagu terlepas, tiada bait suara yang pecah walau dalam nada tinggi.

Penonton terus meresap, tiada ruang untuk rasa ragu. Cuma terkadang, ketika mereka menyapa penonton, berbual-bual, ada saat terasa lemah iramanya. Kata-kata mesra itu indah, tetapi bila ia memanjang terlalu lama, momentum sedikit terganggu seolah-olah aliran tenaga harus berpaut kuat agar tidak terlerai. Namun ia tidak meredup keseluruhan gemilang malam itu.

Trauma dan G.I.G. menjadi klimaks yang luar biasa. Seluruh dewan bangun, sebutan liriknya keluar seperti doa, suara kena‐mengena, tangan-tangan terangkat, mata berkaca. Encore—Tamparan Wanita dan Manisnya Senyumanmu—dimainkan seperti hadiah perpisahan, tetapi hadiah yang membuat kita semua tahu: walau malam berakhir, gema akan berderai dalam kenangan untuk lama.

Teringat saya, pulang malam itu, bunyi bising kereta, lampu jalan yang memutih, kampung yang kelam dan rindu yang membuai. Konsert Elite bukan sekadar hiburan; ia jambatan antara masa silam dan kini, antara diri kecil yang dulu dengan diri dewasa yang kembali cerah memegang harapan. Legenda tetap legenda bukan kerana populariti, tetapi kerana kejujuran mereka terhadap lagu-lagu yang membentuk kita dan mereka malam itu tetap menjaga segala warisan itu dengan penuh martabat.