Empat Malam Penuh Bersejarah Meraikan KRU Lima Dekad, Satu Suara, Satu Jiwa Di Axiata Arena

oleh: zizi hashim

Hujung minggu selama 2 minggu berturut-turut di Axiata Arena berubah wajah. Ia bukan lagi sekadar gelanggang sukan, ia menjadi medan nostalgia, tempat jiwa-jiwa yang membesar dengan suara generasi bernama KRU kembali bersatu. 3 Mei, 4 Mei, 10 Mei dan 11 Mei 2025 — empat malam, empat getaran, empat detik yang membuktikan legasi 3 bersaudara ini masih hidup dan membara. 

Langkah kaki ini sedikit gemetar memasuki ruangan Axiata Arena pada malam kedua. Bukan kerana penat, tapi kerana rasa yang membuak-buak. Overwhelming! Rasa yang pernah singgah lebih 2 dekad lalu ketika pertama kali mendengar “Fanatik” berkumandang di corong radio kecil. Kini, lagu itu menjadi pembuka tirai, mencetus ledakan adrenalin yang mengingatkan kembali kepada siapa kita pada zaman itu.

KRU tidak memilih jalan mudah. Mereka bukan saja membawa nostalgia, tapi menata semula memori dengan persembahan penuh energi, visual canggih, dan naratif yang mengikat antara masa lalu, kini dan masa depan. Dari "Malam Kita", "Oh La La" sehingga "Babe" semuanya seperti serpihan kenangan yang dikumpul dan dijahit semula menjadi helaian emosi.

“The Way We Jam” dan "Untukmu" (yang dipopularkan Feminin) disampaikan sepenuh gaya, sebelum penonton dikejutkan dengan kemunculan Adam AF menerusi "Terhangat di Pasaran". Sebuah kolaborasi lintas generasi yang menyatukan dua era pop Malaysia. "Balada Hati" dan "Di Dalam Dilema" menyentuh ruang peribadi yang lebih sunyi, lagu-lagu yang pernah mengisi malam-malam sepi.

Kemudian satu momen paling hening, paling mendalam ketika KRU memberi penghormatan kepada Allahyarham Sudirman Haji Arshad melalui "Perpisahan Terasing". Persembahan duet maya ini seolah-olah menghidupkan semula bintang yang tak pernah malap. Lagu terbaru “Voodoo” dari album baharu Kaset menggoda dengan rentak eksperimental yang memperlihatkan KRU tidak pernah statik. 

“Bidadari”, “Hingga ke Jannah” dan “Dekat Padamu” menjemput jeritan dan air mata, sebelum “Wanita” dan “Apa Saja” membawa penonton turun ke pentas tengah, mencipta talian hubungan tanpa sempadan antara artis dan audiens. "Negatif" dan "Di Pintu Syurga" menjadi ruang istimewa buat peminat ELITE, apabila kumpulan wanita legenda itu membuat kemunculan semula. Manis, matang dan menggetarkan. Bukan hanya sebuah persembahan, tetapi seperti kepingan sejarah yang disatukan semula di hadapan mata.

Bahagian medley ciptaan KRU pula menghidangkan rasa bangga "Separuh Masa" (The Lima), "Sedetik Lebih" (Anuar Zain), "Roman Cinta" (MOJO), dan "Hai Hai Bye Bye" (Ezlynn). Ia bukan rentetan lagu semata, tetapi sebuah montaj karya yang pernah membentuk landskap muzik tempatan dan mencetak memori generasi.

Setlist diteruskan dengan "2", "Hanya Kau", "Mengerti" dan "One More Time" karya baharu dari album Kaset yang menyegarkan identiti KRU dalam bunyi lebih moden. Malam yang sepatutnya ditutup dengan "Janji Tinggal Janji", satu lagu penuh makna yang membenam perasaan ke dalam hati pendengar diakhiri dengan encore "Jangan Lafazkan" dan "Awas" lagu yang menandakan permulaan kebangkitan KRU suatu masa dulu, kini kembali sebagai tanda bahawa semangat itu tidak pernah dan tidak akan sesekali padam.

Empat malam, satu rasa, seperti menelusuri lorong masa yang berliku, namun sangat indah. KRU tidak sekadar muncul semula, mereka kembali dengan kelas dan kejujuran, mempersembahkan sesuatu yang tidak hanya mengimbas, tetapi menyentuh dan menyala terang.

Saya tinggalkan Axiata Arena malam itu dengan hati yang penuh. Lagu-lagu KRU mungkin sudah lama wujud, tapi malam itu, setiap satu terasa seperti dilahirkan semula dengan semangat yang lebih tulus, dan cinta yang lebih dalam. Kenangan masih segar ketika menelusuri lorong keluar dari Axiata Arena. Wajah-wajah peminat yang majoritinya tersenyum puas, suara yang mendendangkan bait terakhir "Awas", dan langkah kaki yang amat berat kerana enggan untuk pulang. 

Konsert ini adalah pertemuan semula dengan sebahagian dari diri kita yang lama terbiar. Di luar arena, malam terasa lebih hening dari biasa. Suara-suara penonton yang masih bernyanyi dalam kenangan, gema irama KRU yang masih berputar dalam kepala, dan rasa terharu yang sulit dijelaskan. 

Terima kasih KRU, kerana masih di sini, kerana tidak pernah pergi. Terima kasih, kerana mengingatkan kami siapa kami, melalui lagu-lagu yang tak pernah luput. Konsert ini bukan sahaja perayaan 30 tahun KRU, tetapi juga perayaan sebuah zaman. Zaman di mana muzik menjadi identiti, di mana lagu menjadi teman, dan di mana 3 jejaka bernama Norman, Edry dan Yusry membina sesuatu yang kekal, yangbukan hanya di carta, namun setia kekal selamanya di hati.

Dan kini, sejarah telah tercipta secara rasmi. Konsert mega empat malam berturut-turut ini telah melayakkan KRU untuk mencatat nama dalam Malaysia Book of Records sebagai ‘Persembahan Konsert oleh Artis Berkumpulan Tempatan dengan Jumlah Malam Terbanyak di Venue Sama’. Sebuah pengiktirafan yang bukan sahaja membuktikan ketahanan mereka dalam industri, tetapi juga kasih yang tak berbelah bahagi daripada peminat yang telah menyokong mereka sejak awal. 

Rekod itu mungkin tertulis atas kertas, tetapi maknanya lebih besar dari sekadar angka. Ia adalah bukti bahawa impian, apabila dibina dengan tekad dan cinta, mampu bertahan puluhan tahun dan terus hidup dalam jiwa yang percaya. Sampai jumpa lagi KRU! Dan tidur malam ku yang indah dan lena, senyum-senyum sendiri...