oleh: zizi hashim
Ribut taufan yang datang tanpa amaran, adakalanya tidak datang untuk membinasakan. Sebaliknya, ia datang untuk membasuh habis segala keraguan. Begitulah malam 28 Jun 2025 ketika saya rocking bersama Barbarik di Zepp Kuala Lumpur. Satu ledakan perasaan yang tak dapat saya bendung sejak nota pertama bergema di udara. Ruang itu, penuh sesak dengan lebih 2,700 jiwa. Dada mulai terasa seperti mengembang menahan debar. Orang ramai masih beratur ketika jam hampir menginjak 9 malam dan konsert sepatutnya sudah bermula. Tetapi siapa sangka, dalam musim konsert yang saling bertindih dan selera peminat yang semakin pelbagai, masih ada yang memilih untuk berdiri dalam barisan panjang demi sebuah malam rock sejati.
Ruang yang biasanya terasa luas itu, full house! Bahkan konsert terpaksa ditangguhkan 15 minit kerana ratusan peminat masih beratur di luar, enggan melepaskan peluang menyaksikan legenda rock beraksi di hadapan mata. Pemandangan ini sendiri sudah cukup untuk mengharukan, memberi petanda muzik rock masih mempunyai tempat istimewa di hati rakyat Malaysia. Dan tatkala lampu dimalapkan, gema lagu “Nasib Baik” bergegar, tubuh saya seperti dihantar ke lorong waktu. Suasana bukan sekadar gegak gempita, malah cukup intens. Nafas saya tertahan, namun di dada rasa berbunga-bunga.
Tirai dibuka dengan energi luar biasa, meski Muss dikhabarkan tidak begitu sihat. Namun roh pentas seperti telah merasuk ke dalam tubuhnya, suaranya kekal utuh, memecahkan keraguan dan menyiram euforia semangat yang membara di mata khalayak. Di usia 57 tahun, vokalis ini membuktikan bahawa passion terhadap muzik mampu mengatasi segala keterbatasan fizikal. Setiap bait yang terbit dari bibirnya membawa cerita-cerita kehidupan yang telah dan pernah dilaluinya.
Jo Branko, di hujung kiri pentas tetap memancarkan aura seorang rockstar sejati, tampil dengan keyakinan dan karisma yang tidak pernah pudar. Gitarnya berdentum memecah kesunyian, membuka tirai persembahan dengan "Nasib Baik", sebuah permulaan yang simbolik untuk malam yang begitu indah. Barbarik menyerang tanpa belas kasihan dengan 22 lagu bertubi-tubi. “On My Side” yang ekstrim, sehingga “Marcapada” yang penuh kegetiran sosial, mengajak berfikir tentang hakikat kehidupan. Setiap lagu-lagu itu dibawakan dengan dedikasi luar biasa dan dirasai dalam setiap denyut nadi.
Sepanjang hampir 3 jam, saya tenggelam dalam ombak emosi yang diciptakan lagu demi lagu. Namun, momen yang paling mencuri perhatian adalah segmen "Retrostika", sebuah babak di mana waktu terasa bagaikan terhenti. Lagu-lagu seperti "Sketsa Sebuah Cinta", "Potret Monalisa", "Cinta Mu Mekar Di Hati" dan "Taman Rashidah Utama" dibawakan dalam suasana yang lebih intim, diiringi kehadiran gitaris jemputan seperti Shah Slam, Muzza, dan Ujang Tukimon.
Sebuah persembahan akustik yang menyingkap sisi lembut dalam kekerasan Barbarik. Dibalut dengan alunan string dan latar cahaya yang redup, suasana menjadi begitu khusyuk sehingga saya dapat mendengar nafas penonton yang tertahan, terpukau dengan keindahan muzikal yang sedang berlaku di hadapan mata. Detik-detik seperti ini membuat saya sedar bahawa konsert yang baik tidak semestinya bergantung pada teknologi atau efek visual yang berlebihan. Kadangkala, ia cukup dengan suara yang jujur dan permainan muzik yang tidak dibuat-buat, yang datang terus dari hati ke hati. Dan Barbarik membuktikannya dengan penuh integriti.
Bagaikan petir menyambar di tengah malam, Karl Cromok menjelma dengan gitar yang bergema “Golok Kayu” dan “Jerangkung Dalam Almari”, suasana bertukar menjadi ledakan adrenalin, menciptakan gempa sonik yang menggoncang seluruh tubuh. Saya merasakan getaran itu bukan sahaja di telinga, tetapi di dalam tulang, di dalam jiwa. Bagi saya, ini bukan hanya kolaborasi, ia satu manifestasi bahawa muzik keras terus berkembang dan menyerap tenaga baru tanpa menafikan akar silamnya.
Dan ketika penampilan istimewa Nasir Jani menerusi “Satelit Puaka” dalam lontaran deklamasi yang bergetar, saya tahu malam itu telah melintasi garis konvensi konsert biasa. Ia telah menjadi teater, menjadi puisi, menjadi cerita yang hidup. Jo Branko, gitaris utama dan jiwa kreatif di sebalik Barbarik, bukan sekadar memainkan riff yang mencengkam, tetapi menyusun keseluruhan pengalaman lagak tak ubah seperti seorang sutradara. Ada urutan, ada klimaks, ada plot, dan ada penamat.
Namun, penamat itu sendiri sengaja diganggu dengan kejutan terakhir, “Keris Tak Bersarung”. Tidak tersenarai dalam setlist rasmi, dimainkan secara spontan atas cadangan Jo Branko sendiri. Lagu impromptu yang dinyanyikan sepenuh roh, menjadikan konsert ini satu monumen yang sukar diulangi. Saya dapat melihat wajah-wajah anggota kumpulan yang terkejut namun gembira dengan keputusan mendadak ini. Muss kemudiannya berseloroh bahawa mereka hampir 'pucat' kerana tidak menjangka tambahan ini, tetapi itulah keajaiban yang selalu hadir dalam persembahan Barbarik.
Apa yang Barbarik lakukan malam itu tidak dapat saya rangkumkan dalam satu perkataan. Ia bukan nostalgia, bukan juga kemunculan semula. Ia adalah evolusi, satu pembuktian bahawa muzik rock tempatan masih berdegup, bukan sekadar kerana masa lalu, tetapi kerana keberanian melihat ke depan. Dan buat saya, Pentas Peluru Cokelat adalah sebuah pernyataan yang menggegar tanah dan menembus jiwa. Pada setiap lagu, saya mendengar jeritan zaman, luka sosial, cinta yang kehilangan bentuk, serta kekuatan untuk terus hidup dalam dunia yang semakin bising tetapi hampa.
Sukar untuk menulis tentang pengalaman yang sebegitu hidup. Tapi saya tahu satu perkara: mereka yang berada di Zepp KL malam itu tidak sekadar menyaksikan konsert. Mereka telah menyentuh serpihan keabadian. Dan saya gembira menjadi salah seorang daripada mereka yang sempat berada di dalamnya, di tengah cahaya dan bunyi, di antara sejarah dan harapan.
Barbarik malam itu telah mencipta sebuah peristiwa. Dan mungkin, dalam dunia muzik Malaysia yang sering terperangkap dalam klise dan keletihan genre, Barbarik menjadi testimoni bahawa keberanian, kejujuran, dan kesungguhan masih punya tempat untuk berdiri gagah. Tiga jam terasa sekelip mata. Ketika lampu kembali menyala terang, saya masih belum mahu pulang. Hati saya masih terperangkap dalam ruang Zepp, bersama gema suara Muss, dentuman dram Ainol, deruan bass Rozaimie, dan melodi liar si Jo Branko.
Barbarik telah membuktikan bahawa mereka bukan sahaja mampu bertahan dalam ujian masa, malah terus berkembang dan memberikan interpretasi segar terhadap karya-karya mereka. Kombinasi antara Muss di vokal, Jo Branko di gitar utama, Rozaimi di gitar dan Ainol di dram menciptakan sinergi yang sempurna, sebuah mesin muzik yang telah diasah selama puluhan tahun.
Malam di Zepp Kuala Lumpur itu telah mengukir kenangan yang tidak akan mudah pudar. Saya pulang dengan perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Syabas Barbarik kerana menjadi perintis yang berani meneroka wilayah baharu dalam ekspresi artistik muzikal mereka. Apa lagi selepas ini? Ditunggu...
Foto Oleh: Armz Photodesign & Subky Hj. Bebit