oleh: zizi hashim
Berduyun-duyun sejak petang sekitar jam 2, Bukit Jalil mula dipenuhi gelombang manusia bersemangat dan penuh antusias. Hawa panas sedikit pun tidak menghalang yang hadir dari Malaysia, Indonesia malah Singapura, datang bertemu dalam satu harapan iaitu menyelami muzik serantau yang kini bertukar jadi identiti bersama. Bayangkan ribuan jiwa yang datang dengan harapan: mahu dirasuk oleh irama, mahu disulam oleh lirik, mahu bersatu dengan rasa yang universal. Ribuan lampu telefon menyala, suara bertukar gema, emosi bertambah remuk, semua terbina bukan setakat kerana muzik, tapi kerana persembahan yang punya keberanian untuk menyentuh.
26 Julai 2025, di tengah gegak gempita Bukit Jalil yang menyala oleh 25,000 sorak sorai, saya menyaksikan semula pecahan masa silam itu hidup kembali, bernyawa dalam cahaya, dan bergetar dalam dada. Saat melangkah masuk ke ruang raksasa bernama Stadium Nasional, sesuatu terasa lain. Udara sarat harapan, sorakan belum bermula tapi nadinya telah berdetak. Sepanjang deretan gerai makanan, lorong pentas, dan barisan peminat, wajah-wajah penuh harap menunggu sesuatu yang lebih besar dari muzik. Persis semua yang hadir tahu: kita tidak datang hanya untuk lagu, tetapi untuk perasaan yang sudah lama tidak kita temui.
'Latihan Pestapora Malaysia 2025' satu nama yang pada awalnya terdengar seperti sekadar acara pemanasan pentas. Namun hari itu, ia menjelma menjadi sesuatu yang lebih luhur apabila pertemuan dua bangsa serumpun yang ditautkan oleh melodi, kata-kata, dan jiwa yang berani bermimpi dalam bahasa yang sama. Saya tidak datang sendirian. Ribuan manusia di sekelilingku turut membawa sejarah peribadi masing-masing. Ada yang memeluk pasangan, ada yang datang bersama sahabat zaman kolej, dan ada juga yang berdiri sendiri, seperti saya, membawa kenangan dalam poket sunyi. Ketika pentas mula menyala dan irama pertama berkumandang, segalanya berubah.
Meski hanya bersifat latihan umum, acara ini menyaksikan kehadiran lebih 25,000 penonton, sebuah angka yang luar biasa bagi acara pra-pentas. Ada yang datang dari seluruh pelusuk Malaysia, ada yang terbang dari Indonesia, Singapura dan Thailand, semuanya tertarik pada janji magis Pestapora. Himpunan suara, warna dan rasa dari Asia Tenggara yang tidak tertanding. Di sebalik kesibukan kru teknikal menata cahaya dan suara, di atas pentas sudah mula terbentuk gelombang emosi yang mengalir deras. Para artis dari band legenda hingga suara baru yang sedang mencipta nama tampil dengan keringat sebenar, bukan sekadar simulasi. Mereka tahu: mata sedang memerhati, dan hati sedang menanti.
Salammusik membuka pentas utama dengan getar indie yang berseni, sebelum disusuli Pamungkas dan Kunto Aji, dua penyanyi Indonesia yang telah membentuk soundtrack kehidupan urban masa kini. Pamungkas dengan lagu-lagu seperti To The Bone & Rehat mendapat tepukan bertenaga; manakala Kunto Aji membuai hati dengan melodi lembut dan lirik penuh makna. Seterusnya pentas semakin berwarna apabila Dolla membuat penampilan muda dan energik, menyanyikan MWA! yang menghidupkan aura girl‐group Malaysia sambil crowd berjoget tanpa henti. Kemudian giliran Bittersweet dan Bunkface dari jantung Malaysia, mereka membawa rock dan pop‐punk yang bertenaga: Malam Ini Kita Punya, Rentak Laguku, Situasi dan Revolusi memecah kebisuan dengan sorakan berapi.
Seiring senja menebal, pentas Hingar Bingar menjadi medan bagi artis seperti SonaOne, Yonnyboii, DJ CZA, Ismail Izzani, Julia Duclos dan Gaston Pong. Setiap lagu, rap dan beat jadi detik interaktif antara penonton dan penghibur, suasana tidak pernah surut, malah makin menggila menjelang malam. Kemuncak malam bermula dengan persembahan penuh tenaga dari duo Barasuara × Efek Rumah Kaca, sebuah kolaborasi epik yang jarang dilihat di pentas Malaysia. Lagu‐lagu seperti Sebelah Mata, Merayakan Fana menggetarkan bumi Bukit Jalil, menandakan babak rasmi Vibe Nusantara dimulakan. Tak lama selepas itu, Nadin Amizah naik pentas dan membawa audiens ke dunia yang penuh kelembutan lirikal, seakan bisik mesra di telinga malam. Vokal lembutnya disokong notasi piano yang bergetar halus, memegang setiap hati yang bersedia menerima kelembutan.
Deruan bass elektronik dari .Feast membuka tirai pentas utama dengan lagu-lagu seperti Konsekuens, Peradaban, dan Tarot menyambut malam dengan tenaga dan visual yang melekat di mata. Seakan pentas itu menjadi wadah memanggil kembali naluri kreatif generasi muda, mereka yang tumbuh bersama barisan riff dan beat yang tidak pernah jemu. Suasana bertukar emosi apabila Hindia menyusul, mempersembah lagu‐lagunya yang sarat kisah urban, introspeksi, dan afirmasi diri, nada lembut tetapi tegas. Hindia memulakan dengan barisan lagu yang mengusik hati, kekhuatiran urban dan self‑love menjadi tema utama persembahan mereka.
Saya duduk di antara lautan manusia, tidak semuanya yang saya kenal, tetapi emosi kami semua bergabung serentak. Lampu telefon menyala, laungan sorakan lantang, dan tenaga setiap artis menyedut setiap atom harapan dari khalayak. Saat jam menolak ke kemuncak malam, debaran semakin kencang. Angin malam Bukit Jalil terasa menyapa gemuruh massa. Khabarnya En. Rohit Rampal dari Hitman Solutions dan En. Kiki Ucup dari Boss Creator punya visi besar, namun lebih daripada produksi, mereka mencipta ruang. Ruang untuk pertemuan budaya, pertembungan jiwa, dan pertautan rasa. Apa yang terlihat di permukaan adalah festival; apa yang dirasakan adalah rumah.
Bintang malam itu? Siapa lagi kalau bukan Sheila On 7! Kemunculan mereka bukan hanya ditunggu-tunggu, ia diceritakan, dirindukan, dihitung sejak bertahun-tahun. Dan saat Duta melangkah ke hadapan, mikrofon di tangan dan senyum manis di wajah, seluruh stadium seakan terhenti. Ketika lagu “Dan” mula berkumandang, sesuatu dalam diri gugur. Bukan air mata, tapi satu bentuk pengakuan: bahawa lagu-lagu ini pernah menjadi tempatku berlindung, bertumbuh, dan belajar kecewa. “Kita,” “Melompat Lebih Tinggi”, “Sephia”, “Sahabat Sejati” mereka hadir seperti surat yang kembali dibuka setelah sekian lama disimpan.
Dan suara ribuan penonton menyanyi bersama serentak, penuh perasaan, membentuk paduan suara yang tidak dirancang, sangat semulajadi dan autentik. Saya berdiri di sana, dalam kerumunan ramai, dalam nyanyian itu seluruh khalayak bersatu. Itulah kekuatan Sheila On 7. Itulah bahasa antara hati yang tidak pernah melupakan asal- usulnya. Ternyata 'Latihan' ini bukan sembarangan. Ia adalah tanda bahawa Malaysia sudah bersedia menjadi pangkalan utama gerakan muzik lintas sempadan. Seni adalah jambatan yang menyatukan. Dan melihat bagaimana semua genre diberi ruang dari Salammusik ke Bittersweet, dari Bunkface ke Feel Koplo terasa seperti satu peta baru muzik serantau sedang dilakar di sini.
Tidaklah semua pulang selepas SO7 selesai. Masih ada Feel Koplo, duo dangdut elektronik dari Indonesia, menyajikan encore yang memecah keseriusan malam dengan remixes dangdut Mangu dan Fana Merah Jambu, lengkap dengan kehadiran Ari Lesmana sebagai peserta kolaboratif, memastikan festival ditutup dengan sorakan dan tarian berjemaah. Malahan ketika kaki mula lenguh, suara serak, dan lampu utama dimatikan, gema itu masih bergaung di dalaman, ia tinggal sebagai kenangan abadi.
Saya berjalan keluar dari stadium dengan perasaan lega dan penuh, menyimpan kembali harapan bahawa suatu hari nanti, kita akan bersatu lagi dalam gema yang lebih besar. Kerana malam 'Latihan Pestapora Malaysia 2025' bukan sekadar latihan pertunjukan. Ia satu deklarasi bahawa suara kita, budaya kita, dan jiwa kita, mampu menyatu dalam harmoni serantau yang tiada tandingan.