Dalam Kesyahduan DIVINE, Cakra Khan Memeluk 2,500 Hadirin Larut Dalam Aliran Emosi

oleh: zizi hashim

Langit Kuala Lumpur malam itu tampak tenang, bagaikan mengerti akan hadirnya sesuatu yang tak mampu dijelaskan dengan logika semata-mata. Ketika langkah kaki membawa saya ke Plenary Hall, ada getar halus di dada dek keterujaan, sekaligus sekelumit rasa yang sangat sulit untuk dirumuskan. Mungkin kerana namanya: DIVINE. Mungkin juga kerana pemilik suara itu, Cakra Khan, sang penyair yang cukup terkenal dengan suara serak dan jujur, yang telah menemani luka dan reda dalam hidup selama ini. Malam itu, dia membawa DIVINE ke bumi Malaysia, sebagai hela nafasnya yang paling tulus.

Sekitar 2,500 jiwa hadir bersama menjadi saksi kepada sebuah malam yang menyatukan kehilangan, pengharapan, dan penerimaan. Tatkala tirai dibuka tepat jam 8.30 malam, “Setelah Kau Tiada” berkumandang, dan tanpa ampun, bait-baitnya meresap ke sanubari. Lagu itu membentangkan permulaan kepada perjalanan emosional yang tidak tahu akan kembali dalam bentuk apa. Semacam ritual jiwa, vokal gemersik Cakra menjadi jambatan antara puing-puing hati yang pernah patah dan cahaya yang ingin dipeluk. 2,500 hadirin turut larut dalam aliran emosi yang bersilang antara duka, rindu dan penerimaan.

Setiap lagu hadir bagai fragmen hidup yang kita semua pernah alami, meski dengan nama yang berbeza. “Persinggahanmu” diberi nafas baru yang lebih dramatik, seperti babak-babak dalam memoir yang terbuka. Ketika “Kau Memilih Dia” dimainkan, ia menyelinap sebagai suara batin kita yang ditinggalkan membuat saya terasa seperti sedang menyelongkar ruang yang selama ini cuba saya selindungi. Paradoks cinta diteruskan dengan “Salah Tapi Baik” sebuah ironi cinta yang tidak sihat tapi tetap kita genggam kerana hati enggan melepaskan.

Setiap lirik dilantunkan dengan menceritakan kembali serpihan hidup yang pernah pecah. Lagu yang menelanjangkan rasional kita dalam mencintai sesuatu yang menyakitkan. Saya tersentak saat “Nanti” berkumandang. Lagu yang minimalis dalam susunan, tapi menyentuh penuh makna. Ia mengajak kita mengingati janji-janji yang tergantung serta harapan yang belum sempat pulang. Begitu juga halnya “Mencari Cinta Sejati” yang membuatkan saya termenung. Berapa ramai di sini yang masih mencari?

Segmen kolaborasi menambahkan dimensi baru: “Rindu Tak Bersuara” bersama Trio XL menghidupkan gema hati yang tak pernah tahu bagaimana harus diluahkan. Harmoni kerinduan yang tercipta lebih mendalam dari sekadar kata-kata. Kemudian "Adalah Aku" dan "Tak Sejalan" membuka ruang kepada introspeksi, mengenang hubungan yang pernah ada, meski menampar perlahan, menyedarkan kita bahawa ada cinta yang sememangnya tidak ditakdirkan sehaluan dan seharusnya mengikhlaskan apa yang telah hilang.

Kemunculan Titi DJ dan Faizal Lubis untuk “Layar” dan “Sang Dewi” memancarkan kemegahan. Suara mereka bergema megah seperti doa yang sedang diangkat. Tidak hanya indah secara vokal, tetapi penuh keagungan, gabungan ketiga-tiganya laksana simfoni yang menaikkan standard seni pentas ke aras yang luhur. Cakra kembali dengan “Take The Pain”  menusuk ke luka yang belum sembuh.  Tak lama hadir pula “Cahaya”, membuka jendela baru kepada harapan. Dua sisi kehidupan, derita dan harapan menjadi kontra yang dirangkul erat dalam satu malam yang suci.

Momen paling mencuri tumpuan tiba tatkala Marsha Milan muncul untuk menyanyikan “Seluruh Cinta”. Suara mereka berpadu seperti pertemuan dua jiwa yang saling merindui. Suasana menjadi hangat saat tangan Marsha menyambut tangan Cakra dalam irama yang menyatukan dua negara, dua jiwa, satu cerita. Tepukan gemuruh buat Marsha sewaktu “Hening Rindu” mengalun tenang sejurus selepasnya.

Lagu “Kepada Hati” menjadi detik paling introspektif malam itu, sebuah perbualan batin yang tidak ramai mampu hadapi. Melodi indahnya bagaikan bisikan dari dalam antara luka dan kesedaran, antara pasrah dan kebangkitan. Disusuli “Terlanjur Cinta”, mengikat naratif cinta yang sudah terlalu jauh untuk diselamatkan, tetapi tetap kita kenang, kerana di situ pernah ada makna. Saya menyedari betapa mudah kita hanyut jauh dalam hubungan yang kita tahu tidak boleh kembali.

Kemunculan Ade Govinda menambah kehangatan, dan tiga lagu berturut-turut mereka, “Masing-Masing”, “Hal Hebat” dan “Kamu Adalah” mencipta suasana yang hampir terapung, membuai dalam emosi yang selesa. Di penghujung konsert, “Mencintaimu” dan medley “Treasure ~ Never Felt So Good ~ September” menggembirakan suasana, membawa sedikit keceriaan ke tengah malam yang sebelumnya penuh sendu. Tetapi detik klimaks sebenarnya datang saat “Bunyi Gitar”, “Kekasih Bayangan”, dan “Harus Terpisah” mengisi ruang dengan resonansi yang tidak terucap. Lagu-lagu itu seperti menghidupkan semula kenangan kolektif, menyatukan semua yang hadir dalam satu perasaan yang tidak perlu dijelaskan.

Sebagai encore, Cakra kembali. Kali ini dengan “I Will Always Love You”. Jangan silap, ini bukan Whitney. Ini Cakra yang menyulamkan lagu itu dengan identiti dan luka miliknya sendiri. Lagu itu menjadi penutup kerana, menurutnya, dia ingin berehat seketika dari dunia seni. Dengan penuh emosi, dia menghadiahkan lagu tersebut buat para peminatnya, dengan ungkapan, “I’ll think of you every step of the way.” 

Suaranya bergetar, air matanya gugur perlahan dan seluruh ruangan Plenary Hall diam dalam rasa yang berat namun indah. Sebuah ucapan selamat tinggal buat sementara, yang teramat jujur dan menyentuh kalbu. Dan Saya percaya, malam itu ramai yang pulang dengan dada yang sesak, namun hati yang lebih lapang. Konsert “DIVINE” menyentuh lebih dari sekadar rasa; ia menyelam ke lubuk terdalam yang kita jarang buka. Cakra Khan hadir sebagai penjaga suara hati, pencerita luka yang kita simpan diam-diam. Ia adalah sebuah pertemuan antara suara dan jiwa, seni dan penyembuhan. Malam itu, DIVINE telah menjelma menjadi nyata. Dan saya masih belum pulih sepenuhnya darinya, dengan sengaja.