
oleh: zizi hashim
Apabila tirai The Grand Slam Unplugged 2 dibuka, saya tidak melihatnya sebagai sebuah konsert biasa. Saya melihatnya sebagai sebuah pertemuan semula. Pertemuan antara manusia dengan kenangan. Pertemuan antara lagu-lagu lama dengan hati yang masih mengingatinya. Pertemuan antara sebuah legasi yang pernah membesar bersama generasi 90-an dan ribuan peminat yang masih setia menunggu.
Lampu perlahan-lahan malap. Sorakan mula bergema. Dan pada saat figura bernama Zamani muncul di pentas, seluruh ruang seolah-olah melepaskan rindu yang telah lama terpendam. Ya, tidak saya nafikan, aura itu masih sama. Malah mungkin lebih mahal daripada dahulu. Barangkali kerana kini kita memahami bahawa masa adalah sesuatu yang tidak boleh dibeli semula. Lantas ketika melihat seorang legenda berdiri megah di hadapan mata, ianya menjadi sesuatu yang sangat berharga.


Malam itu membuktikan bahawa anugerah vokal Zamani masih berada pada kelasnya yang tersendiri. Nada tinggi yang suatu ketika dahulu membuatkan ramai penyanyi lain mengangkat tangan masih mampu dilunaskan dengan cukup cemerlang. Lenggok suaranya masih menyimpan karakter yang sukar ditiru. Ada kelembutan. Ada kerinduan. Ada luka yang tidak pernah benar-benar sembuh. Dan itulah keistimewaan Zamani. Dia tidak sekadar menyanyikan lagu, dia menghidupkan semula emosi yang pernah kita simpan bersama lagu tersebut.
Babak pertama dibuka menerusi "Sinar Menunggu". Pilihan yang cukup simbolik. Lagu ini terasa seperti salam pembuka kepada sebuah pertemuan yang sudah lama tertangguh. Belum pun Zamani menghabiskan rangkap pertama, ribuan suara sudah mula menyambung lirik bersama-sama. Momentum diteruskan dengan "Biarkannya" dan "Kurnia". Kedua-dua lagu ini membawa suasana yang lebih intim. Zamani kelihatan cukup selesa mengawal pentas. Pengalaman berpuluh tahun jelas terpancar dalam setiap gerak tubuh dan lontaran vokalnya. Suara itu masih punya magis yang sama. Masih punya karakter yang sukar dicari penggantinya. Masih mampu bikin goosebumps!


Menerusi "Satu Jalan Satu Pegangan" dan "Mentari Muncul Lagi", suasana semakin hangat. Penonton mula benar-benar tenggelam dalam perjalanan nostalgia yang sedang dibina. Saya dapat melihat ramai yang menyanyi sambil tersenyum sendiri. Dan ketika "Rindiani" berkumandang, Mega Star Arena bertukar menjadi lebih romantis. Lagu ini sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam katalog Slam. Malam itu, ia kedengaran lebih matang, lebih dalam dan lebih beremosi berbanding yang pernah saya dengar sebelum ini. Selanjutnya konsert diteruskan dengan "Syair Pari-Pari" dan "Entah Mengapa", dua karya yang membuktikan bahawa kekuatan Slam tidak hanya terletak pada lagu-lagu popular mereka, tetapi juga pada keupayaan menghasilkan melodi yang terus hidup merentasi generasi.
Selesai babak pertama yang dipenuhi karya-karya malar segar Slam, pentas kemudiannya bertukar wajah. Jika sebelum itu seluruh dewan hanyut dalam nostalgia yang dibawa Zamani, segmen seterusnya menjadi sebuah penghormatan kepada bahasa enam tali yang sejak sekian lama menjadi nadi kepada perjalanan muzik rock tanah air. Malam itu bukan hanya tentang vokal. Malam itu turut meraikan mereka yang selama ini berbicara melalui jari dan fretboard. Sorakan penonton kembali bergema apabila figura pertama yang muncul ialah Aznan Alias. Nama yang tidak asing bagi pencinta muzik tempatan itu mengambil alih perhatian menerusi lagu "Sentuhan Listrikmu". Petikan demi petikan yang lahir daripada gitarnya mengalir penuh keyakinan, membuktikan bahawa pengalaman puluhan tahun tidak pernah meninggalkan sentuhannya.


Setiap nota yang dimainkan kedengaran bersih dan matang. Tidak berlebihan, tidak juga terlalu teknikal sehingga kehilangan rasa. Sebaliknya Aznan memilih untuk berbicara melalui emosi. Solo-solonya disambut sorakan panjang daripada penonton yang jelas menghargai kehalusan permainan seorang gitaris yang telah lama menjadi sebahagian daripada sejarah muzik negara. Belum sempat Mega Star Arena reda, Jo Branko mulai menjajah pentas.
Sebaik sahaja intro "Intanku Kesepian" menerjah telinga, nuansa menjadi lebih sentimental. Ada sesuatu yang sangat istimewa tentang cara Jo Branko menyentuh gitarnya. Permainannya sentiasa mempunyai karakter tersendiri. Romantik, melankolik dan sarat rasa. Malam itu memperlihatkan mengapa namanya terus dihormati dalam kalangan pemuzik dan peminat rock Melayu. Setiap lenggok gitar yang dilontarkan seolah-olah mempunyai cerita tersendiri. Lagu yang sememangnya sudah kaya dengan emosi itu menjadi lebih hidup apabila dihiasi dengan permainan gitar yang sepenuh jiwa.



Kemuncak segmen istimewa ini hadir apabila Kid muncul dengan gitar di tangan mencuri perhatian saya menerusi lagu kegemaran "Gadisku". Nama Kid tidak perlu diperkenalkan lagi. Auranya hadir sebaik serentak kelibatnya muncul di bawah limpahan tatacahaya pentas. Sorakan yang bergema jelas membuktikan statusnya sebagai antara figura gitar paling berpengaruh dalam sejarah muzik rock Malaysia. "Gadisku" menjadi bukti sentuhan gitar Kid sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hati peminat. Permainan beliau begitu santai namun penuh berkarisma. Setiap petikan kedengaran hidup, setiap solo mempunyai signatur tersendiri.
Apa yang paling saya suka ialah bagaimana ketiga-tiga gitaris ini tidak hadir untuk berlumba menunjukkan siapa yang paling hebat. Sebaliknya mereka hadir sebagai simbol kepada sebuah generasi pemuzik yang telah membantu membentuk landskap muzik tanah air selama berdekad-dekad. Aznan Alias, Jo Branko dan Kid membawa warna yang berbeza, tetapi ketiga-tiganya berkongsi satu bahasa yang sama. Bahasa enam tali yang berjaya menghubungkan pentas dengan ribuan hati yang memenuhi ruang dewan. Ketika segmen tersebut berakhir, saya sedar ia adalah salah satu kemuncak sebenar konsert. Sebuah penghormatan kepada para maestro gitar yang selama ini mungkin tidak sentiasa berdiri di hadapan pentas, tetapi sentuhan merekalah yang membantu membina sebahagian besar memori muzik kita.


Sejenak "Kembali Merindu" pun berkumandang. Pada saat itu saya merasakan seluruh arena berubah rentak. Seolah-olah semua yang hadir sedang memasuki fasa paling peribadi dalam konsert ini. Lagu demi lagu selepas itu hadir seperti helaian surat cinta yang dibuka satu persatu. "Jika Kau Rasa Getarnya" mengundang sorakan panjang. "Manisnya Rindu" pula membuatkan ribuan penonton sing-along sebelum hadirnya "Kita Terpaksa Bermusuhan". Di sinilah saya mula melihat ramai yang benar-benar larut dalam emosi. Lagu itu punya kuasa aneh. Ia berbicara tentang kehilangan, perpisahan dan takdir dengan cara yang sangat dekat dengan kehidupan manusia. Mungkin sebab itu reaksinya sentiasa luar biasa.
"Buat Seorang Kekasih" dan "Tak Mungkin Berpaling" menjadi momen paling dinanti. Ribuan suara bergabung menjadi satu. Tiada siapa yang mahu membiarkan Zamani menyanyi seorang diri. Mereka mahu menjadi sebahagian daripada lagu dan kenangan itu. "Nurkasih" dan "Kembali Terjalin" pula membawa suasana yang lebih mendalam.Seperti sebuah perjalanan yang perlahan-lahan menuju penghujungnya. Namun semua orang tahu lagu yang paling ditunggu masih belum tiba. Dan apabila intro "Gerimis Mengundang" kedengaran, seluruh arena meledak. Inilah lagu yang menjadi passport Slam merentasi sempadan negara. Inilah lagu yang menjadikan nama Zamani kekal abadi dalam sejarah muzik Nusantara. Inilah lagu yang menyatukan beberapa generasi dalam satu melodi yang sama. Saya meremang ketika mendengar ribuan suara menyanyikan bait pertama bersama-sama.


Dari sudut teknikal, konsert ini berada pada tahap yang sangat memuaskan. Kualiti bunyi cukup bersih. Keseimbangan antara vokal dan instrumen dijaga dengan baik. Permainan pencahayaan tidak terlalu sarat tetapi cukup efektif membina emosi setiap segmen. Visual latar yang digunakan pula memberi ruang kepada muzik untuk menjadi fokus utama. Tiada gangguan. Tiada elemen berlebihan. Semuanya disusun bagi memberi penghormatan kepada lagu-lagu yang menjadi nadi utama persembahan.
Saya pulang dengan senyuman. Dan seperti ramai yang hadir malam itu, saya turut meninggalkan Mega Star Arena dengan satu perasaan yang sukar dijelaskan. Seolah-olah sebahagian daripada diri saya yang pernah tertinggal pada tahun-tahun lalu, akhirnya pulang semula. Terima Kasih Slam! Terima Kasih SS Karya Venture! Sampai jumpa lagi di konsert mendatang...