Tourism Malaysia & Weixin Pay Meterai Kerjasama Strategik Perkukuh Pasaran China

oleh: zizi hashim

Putrajaya menyaksikan satu langkah penting apabila Tourism Malaysia dan Weixin Pay memformalkan kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum of Collaboration (MoC), satu usaha berimpak tinggi yang dirangka bagi memperhalusi pengalaman pelawat China serta memperkukuh promosi Malaysia sebagai destinasi pilihan di pasaran tersebut. Kesepakatan ini mencerminkan iltizam bersama kedua-dua pihak untuk menggabungkan kekuatan, sumber dan kepakaran masing-masing menyatukan promosi destinasi dengan transformasi digital yang semakin menjadi nadi industri pelancongan moden.

Fokusnya jelas: membina ekosistem perjalanan yang lancar, intuitif dan serasi dengan keperluan pelawat China yang semakin sofistikated. Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Encik Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, menegaskan China kekal sebagai antara pasaran sumber paling strategik buat Malaysia. Pelawat China hari ini, katanya, mengharapkan integrasi digital menyeluruh sepanjang kembara mereka, bermula daripada perancangan perjalanan hinggalah kepada penyelesaian pembayaran. Kerjasama bersama Weixin Pay dilihat sebagai lonjakan signifikan dalam memperkukuh kehadiran Malaysia di China, meningkatkan keterlibatan pelawat berpotensi, serta menyuntik momentum kukuh ke arah kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Nada optimistik turut disuarakan oleh Pengarah Urusan Weixin Pay bagi Asia Tenggara dan Amerika Utara, Ben Yang. Menurut beliau, Weixin Pay komited memperluas jejaknya di Malaysia melalui kerjasama rapat bersama rakan tempatan, sekaligus menawarkan pengalaman pembayaran rentas sempadan yang licin dan meyakinkan. Inisiatif ini membuka ruang buat pengguna Weixin Pay meneroka kepelbagaian tarikan dan kekayaan budaya Malaysia dengan rasa selesa, tanpa kehilangan sentuhan kebiasaan.

Selari dengan MoC tersebut, Tourism Malaysia dan Weixin Pay bakal menggerakkan pelbagai inisiatif pemasaran digital bersama, penerapan teknologi serta promosi bersepadu bagi meningkatkan keterlihatan Malaysia di pasaran China. Usaha ini turut memberi manfaat langsung kepada peniaga tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), melalui pemanfaatan rangkaian alat digital Weixin Pay yang komprehensif, membolehkan pengalaman pembayaran tanpa tunai yang lebih mudah dan efisien untuk pelawat China sepanjang berada di Malaysia.

Penerimaan Weixin Pay di Malaysia menunjukkan pertumbuhan pesat merentasi sektor pengangkutan, makanan dan runcit, termasuk lokasi tumpuan utama seperti KLIA Ekspres dan Pavilion Kuala Lumpur. Kerjasama berterusan antara Weixin Pay dan Payments Network Malaysia (PayNet) turut memperluas capaian, apabila semakin banyak PKS tempatan kini menerima Weixin Pay menerusi DuitNow QR, memudahkan pelawat China bertransaksi menggunakan kaedah pilihan mereka.

Impak integrasi digital ini terserlah menerusi data transaksi bagi separuh pertama 2025, dengan nilai dan volum transaksi Weixin Pay di Malaysia mencatat pertumbuhan berlipat kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Sepanjang cuti Hari Kebangsaan China dan Festival Pertengahan Musim Luruh pada Oktober lalu, transaksi yang diproses melalui PayNet melonjak lebih tiga kali ganda dari segi volum dan nilai berbanding tempoh sama pada 2024.

Prestasi memberangsangkan ini bergerak seiring dengan momentum kukuh industri pelancongan negara. Dari Januari hingga November 2025, Malaysia merekodkan 38.3 juta ketibaan pelawat antarabangsa, peningkatan 12 peratus tahun ke tahun. China kekal sebagai penyumbang utama dengan 4.3 juta ketibaan, bersamaan pertumbuhan 25.9 peratus, sekali gus menegaskan peranan penting pasaran tersebut dalam strategi pemulihan dan peluasan pelancongan negara.

Pelaksanaan dasar bebas visa bersama antara Malaysia dan China sejak Julai 2025 turut membuka fasa baharu perjalanan rentas sempadan yang lebih rancak dan berterusan. Dalam landskap ini, kerjasama Tourism Malaysia dan Weixin Pay dijangka memperdalam pertukaran pelancongan, mengukuhkan hubungan dua hala, serta menghasilkan manfaat nyata kepada industri dan pengunjung kedua-dua negara.

Pemeteraian MoC ini akhirnya memperlihatkan komitmen bersama untuk memposisikan Malaysia sebagai destinasi yang berdaya saing, berteraskan digital dan mesra pelawat dari China, satu persiapan strategik menuju pentas global Visit Malaysia 2026.