
oleh: zizi hashim
Langkah memasuki Sungei Wang Plaza sepanjang musim Ramadan tahun ini terasa seperti sebuah perjalanan pulang ke halaman lama. Ruang yang selama ini dikenali sebagai nadi gaya hidup kota Kuala Lumpur kini bertukar wajah menjadi sebuah perkampungan Raya yang sarat kenangan, melalui kempen istimewa bertajuk “The Glow Up Raya” yang berlangsung dari 28 Februari hingga 29 Mac 2026.
Kempen ini dianjurkan bersempena sokongan kepada inisiatif Visit Malaysia 2026 oleh Tourism Malaysia, sekali gus memperlihatkan bagaimana pusat beli-belah ikonik itu terus memainkan peranan sebagai titik pertemuan budaya, gaya hidup dan komuniti di tengah ibu kota.
Sepanjang tempoh kempen, pengunjung akan disambut dengan dekorasi yang menggabungkan nostalgia tradisi dengan sentuhan moden kota Kuala Lumpur. Centre Court dan pintu masuk utama Sungei Wang Plaza diubah menjadi latar perkampungan Raya yang memancarkan suasana pulang ke kampung halaman menjelang Syawal.


Fasad rumah kayu klasik berdiri megah sebagai latar utama, dihiasi dengan perincian batik yang menjuntai seperti kanopi di ruang terbuka. Alat tenun batik turut menjadi elemen dekoratif yang mengangkat seni tekstil tempatan sebagai simbol warisan budaya. Cahaya lampu berona hangat pula membingkai keseluruhan ruang dengan suasana mesra yang seakan mengundang pengunjung untuk berhenti sejenak, merasai nostalgia dan mengabadikan momen.
Menurut Joseph Teo, Pengurus Besar Sungei Wang Plaza, konsep Glow Up Raya tahun ini dirancang bagi membawa pengunjung merasai semula kemeriahan Raya tradisional sambil menyerap elemen gaya hidup moden.
“Tahun ini, Glow Up Raya direka untuk membawa pengunjung menyelami nostalgia sambutan kampung tradisional sambil menggabungkan elemen moden yang mencerminkan gaya hidup masa kini. Daripada dekorasi berinspirasikan batik hingga persembahan yang meriah, kami mahu setiap pengunjung merasai Raya sebagai satu pengalaman budaya yang hidup dan bermakna,” jelas beliau.


Kemeriahan kempen ini mencapai kemuncaknya menerusi Glow Up Raya Musical Showcase yang akan berlangsung pada 29 Mac 2026 (Ahad) di Centre Court Sungei Wang Plaza. Persembahan penutup berskala besar ini dijangka menjadi antara momen paling dinanti-nantikan sepanjang kempen berlangsung. Acara tersebut dianjurkan dengan kerjasama ERA FM sebagai rakan radio rasmi dan akan dikendalikan oleh penyampai popularnya, Sha Sha. Kehadiran beliau dijangka menambah lagi suasana santai dan ceria sepanjang persembahan berlangsung.
Barisan artis tempatan yang bakal memeriahkan pentas termasuk MimiFly, Aufa Hanie, Zubir Khan dan Ammar Haikal, yang akan membawakan lagu-lagu Raya kontemporari serta persembahan kegemaran ramai. Gabungan tenaga muzik dan semangat perayaan dijangka menarik kehadiran pengunjung dari pelbagai latar, sekali gus menjadikan Centre Court sebagai titik tumpuan utama sambutan Raya moden di tengah kota. Musical showcase ini bukan sekadar acara hiburan. Ia dirancang sebagai ruang pertemuan komuniti: tempat keluarga, rakan-rakan, golongan muda dan pelancong berkumpul, menyanyi bersama dan merakam kenangan dalam suasana yang penuh kegembiraan.


Selain persembahan muzik, pelbagai program kebudayaan turut dianjurkan sepanjang kempen bagi merancakkan suasana di seluruh pusat beli-belah. Antara tarikan utama ialah Ketupat Mascot Walkabout yang berlangsung pada 21, 22 dan 23 Mac 2026, menampilkan maskot Raya yang ceria serta sesi bergambar interaktif untuk pengunjung.
Elemen fesyen tradisional turut diketengahkan menerusi Festival Warisan Nusantara Fashion Show yang akan berlangsung pada 6 dan 7 Mac 2026. Pertunjukan fesyen ini menampilkan busana tradisional yang meraikan kepelbagaian identiti budaya Nusantara, sekali gus memperlihatkan bagaimana warisan tekstil dan rekaan tradisional terus berkembang dalam konteks moden.
Bagi peminat muzik santai, persembahan khas oleh Persatuan Pencinta Ukulele pada 15 Mac 2026 akan menyuntik suasana ceria dan komuniti ke dalam ruang pusat beli-belah. Melodi ringan daripada alat muzik kecil itu memberikan sentuhan santai yang menyenangkan sepanjang hari.


Menjelang penghujung kempen, pentas Sungei Wang Plaza akan terus meriah dengan persembahan Beats on Stage Concert 2026 dan Suara Kita Raya pada 28 Mac 2026, menampilkan persembahan langsung yang lebih dinamik dan berenergi. Seni persembahan tradisional turut menjadi sebahagian penting daripada kempen ini. Persembahan Tarian Kebudayaan oleh Alumni ASWARA akan berlangsung pada 28 Februari serta 7, 14, 21 dan 28 Mac 2026, mempamerkan pelbagai tarian tradisional Malaysia dalam persembahan yang penuh warna dan ekspresi.
Sementara itu, Tourism Malaysia turut menampilkan persembahan tarian kebudayaan pada 14 dan 28 Mac 2026, memperlihatkan keindahan seni tari tempatan kepada pengunjung termasuk pelancong antarabangsa. Bagi keluarga yang ingin mencuba aktiviti kreatif, Raya Miniature Workshop oleh MinNature Malaysia menawarkan pengalaman yang unik dan menyeronokkan. Bengkel ini berlangsung di JUMPA, Aras LG pada 7, 14, 21, 22, 23 dan 28 Mac 2026, dengan dua sesi setiap hari iaitu pada jam 1 petang dan 4 petang.


Bengkel ini direka mesra keluarga serta sesuai untuk peserta baharu. Ia membuka ruang kepada ibu bapa dan anak-anak menghasilkan miniatur bertemakan Raya sambil memupuk kreativiti serta penghargaan terhadap seni pertukangan miniatur. Tarikan lain yang tidak kurang meriah ialah Glow Up Raya Bazaar yang berlangsung sepanjang kempen di Centre Court. Bazar ini menghimpunkan pelbagai usahawan tempatan, vendor perayaan serta jenama khusus yang menawarkan pelbagai produk kelengkapan Raya termasuk pakaian, aksesori dan barangan perayaan unik.
Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai ganjaran menarik melalui Glow Up Raya Redemption Programme. Pembelian minimum RM80 dalam maksimum dua resit membolehkan pengunjung menebus Glowing Raya Packet. Perbelanjaan RM250 pula melayakkan penebusan Gleaming Raya Tiffin yang praktikal dan bergaya. Bagi ahli CapitaPlus, perbelanjaan RM350 dalam maksimum dua resit memberikan peluang menebus CapitaPlus Exclusive Cookie Jar, yang direka khas untuk musim perayaan. Semua hadiah ini tersedia sementara stok masih ada.


Kempen ini turut membawa nilai kemanusiaan melalui inisiatif Raya Give and Glow, yang menggalakkan orang ramai menyumbangkan pakaian terpakai di hab thrifting Aras 2 Sungei Wang Plaza. Penyumbang akan menerima baucar diskaun daripada kedai terlibat, manakala barangan yang dikumpulkan akan disalurkan kepada komuniti pelarian dengan kerjasama United Arakan Institute Malaysia.Satu lagi inisiatif komuniti ialah sesi Berbuka Puasa bersama Pusat Gelendangan Anjung Kembara yang akan berlangsung pada 11 Mac 2026. Program ini menghimpunkan kakitangan, penyewa serta komuniti untuk berkongsi rezeki dan menyemai nilai empati sepanjang Ramadan.
Menurut Ng Yih Chen, Pengerusi Sungei Wang Plaza, pusat beli-belah tersebut sejak sekian lama menjadi ruang pertemuan masyarakat dari pelbagai latar belakang. “Sejak berdekad lamanya, Sungei Wang Plaza menjadi tempat pertemuan masyarakat pelbagai lapisan. Dalam menyokong Visit Malaysia 2026, The Glow Up Raya mengukuhkan peranan kami sebagai mercu tanda budaya dan pelancongan di Kuala Lumpur. Kempen ini merangkumi semangat perpaduan, perayaan serta memberi kembali kepada komuniti,” katanya.


Kempen The Glow Up Raya 2026 direalisasikan dengan sokongan ERA sebagai Rakan Radio Rasmi, Jumpa dan MinNature Malaysia sebagai Rakan Kempen, serta United Arakan Institute Malaysia sebagai Rakan CSR. Sepanjang sebulan kempen berlangsung, Sungei Wang Plaza mengajak pengunjung untuk merasai sambutan Raya yang merangkumi budaya, hiburan, kreativiti dan semangat kebersamaan: sebuah perayaan yang menghidupkan kenangan lama sambil merangkul semangat masa kini.