
oleh: zizi hashim
Rentak industri pelancongan Malaysia kembali bergetar dengan nuansa optimisme apabila Tourism Malaysia dan Vivo mengesahkan kerjasama strategik yang bakal memetakan wajah baharu promosi negara menuju Visit Malaysia 2026 (VM2026). MoC yang dimeterai pada 9 Disember 2025 itu bukan sekadar usaha formal dua organisasi besar, tetapi simbol gabungan kreativiti, kecanggihan teknologi, dan aspirasi nasional untuk memperkenalkan Malaysia melalui naratif visual yang lebih memukau.
Kerjasama ini menghubungkan kecekapan pemasaran destinasi Tourism Malaysia dengan kepakaran Vivo dalam teknologi imejan mudah alih. Dalam era pengembara digital yang memilih destinasi melalui lensa telefon pintar, penyatuan ini menjadi langkah strategik untuk membawa keindahan Malaysia terus ke skrin global dari hutan purba yang mempesona, hinggalah kota moden yang tidak pernah padam cahayanya.

Harapan itu turut digema oleh Samuel Lee, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, yang melihat kolaborasi ini sebagai bukti pentingnya hubungan antara sektor awam dan swasta dalam merancakkan agenda pelancongan negara. Baginya, gabungan teknologi dan daya tarikan budaya mampu menghasilkan naratif visual yang lebih hidup; naratif yang mengundang dunia untuk hadir sendiri ke bumi Malaysia.
Nada optimis yang serupa dikongsi Mike Xu, Ketua Pegawai Eksekutif Vivo Malaysia. Beliau menyatakan bahawa inovasi teknologi bukan hanya soal kecanggihan, tetapi tentang memperkaya pengalaman manusia. Melalui VM2026, Vivo mahu membantu dunia menemukan “kisah-kisah Malaysia” melalui lensa yang lebih intim dan bertenaga.
Kerjasama ini akan memperkukuh usaha mencapai sasaran 47 juta pelancong antarabangsa, dengan inisiatif yang merangkumi pembangunan kandungan kolaboratif, kempen pemasaran bersama, serta aktivasi promosi di pasaran utama seperti China, India, dan Asia Tenggara, wilayah yang turut menjadi kekuatan rangkaian global Vivo.

Momentum pelancongan Malaysia juga berada pada landasan yang menggalakkan. Dari Januari hingga Ogos 2025, negara mencatat 28.2 juta ketibaan antarabangsa, peningkatan sebanyak 14.5% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Sementara itu, 1 Januari 2026 bakal menjadi detik simbolik apabila semua pelawat antarabangsa disambut serentak di 52 pintu masuk negara, menandakan pembukaan rasmi VM2026.
Dengan MoC ini, Malaysia menghantar isyarat jelas bahawa negara bersedia bukan hanya untuk menerima kedatangan pengembara dunia, tetapi juga untuk memperlihatkan wajahnya dengan cara yang lebih bertenaga, moden dan autentik. Gabungan destinasi yang kaya budaya serta teknologi imejan bertaraf global barangkali menjadi formula baharu untuk mendekatkan Malaysia dengan jutaan pengembara yang mencari pengalaman bermakna.
VM2026 bakal menjadi panggung besar, dan melalui kerjasama Tourism Malaysia dan Vivo, Malaysia kini memiliki “lensa” yang lebih tajam untuk bercerita kepada dunia.
